
GAYA Yuna menceritakan kisah fotonya yang telah disunting kepada pihak media hingga menimbulkan kekecohan baru-baru ini.
GAMBAR saya telah dieksploitasi," itu jawab Yunalis Zarai atau lebih dikenali sebagai Yuna ketika disoal mengenai gambar dengan penampilannya yang kurang sopan dimuat naik di laman Facebook rasmi miliknya.
Sungguh, gambar yang dimuat naik itu telah menimbulkan rasa tidak puas hati ramai pihak. Pelbagai tohmahan telah dilemparkan kepada Yuna.
Namun, Yuna menjadikan sabar sebagai kunci kepadanya untuk terus bertahan. Menerangkan situasi sebenar, Yuna menganggap baju yang dipakainya itu tidaklah seksi seperti yang didakwa di laman sesawang.
Katanya, gambarnya itu telah diubahsuai sehingga menampakkan bahagian pusatnya sebelum disiarkan di dalam beberapa blog.

Gambar Asal

Gambar yang telah diubahsuai
Saya sungguh kecewa dan kesal dengan pihak yang tidak bertanggungjawab itu. Asalnya, gambar tersebut hanya diambil untuk satu sesi fotografi di sana (Amerika Syarikat). Tapi ada pihak yang telah menyunting gambar tersebut.
Jujur, saya memang agak cerewet dalam hal bergambar dan sebelum disiarkan saya akan pastikan gambar tersebut sesuai atau tidak," katanya.
Biarpun perkara itu menimpa dirinya, Yuna percaya keluarga adalah tulang belakang buat dirinya dalam mendepani apa jua kontroversi yang melanda.
Ibu adalah orang pertama yang saya hubungi apabila keluar kontroversi itu. Dia hanya menasihatkan saya agar tidak terlalu mengambil tahu perkara itu. Lagipun, mereka tahu siapa saya dan janji saya tidak buat.
Syukur, saya ada keluarga yang memahami diri saya dan sentiasa memberi semangat untuk saya. Kerana mereka, saya kuat untuk hadapi situasi itu.
Usia saya akan mencecah 28 tahun, jadi saya tiada masa untuk meluangkan banyak masa melayan kontroversi berkenaan.
Saya tahu apa yang saya buat. Bagi saya, asalkan saya masih lagi gembira dengan kehidupan saya di Amerika," katanya yang mengaku tidak mempunyai penasihat pakaian.
Menurut Yuna, sebagai wanita matang, dia faham benar dengan batasan kehidupan yang masih dipegangnya sehingga kini.
Bercakap soal keselesaan hidup, memang tidak dinafikan, saya cukup selesa dan memahami kehendak diri sendiri.
Apabila kita dinilai orang, saya anggap ia sebagai lumrah kehidupan. Saya sudah belajar menelannya sejak dulu lagi.
Tidak ada manusia yang sempurna. Apa yang berlaku saya terima dengan hati yang terbuka. Teguran yang datang saya ambil sebagai pengajaran jika betul saya buat silap," jelasnya.
Tidak tersinggung
Akibat tidak mahu gambar itu hangat diperkatakan, Yuna mengambil pendekatan untuk memadamnya.
Tindakan Yuna itu adalah salah satu cara untuknya menghentikan perbalahan yang timbul antara peminat hanya kerana gambar tersebut.
Mulanya, saya biarkan peminat memberi komen dan saya kadang-kadang tidak layan juga komen yang merepek.
Tetapi, lama-kelamaan saya melihat ramai pengguna laman Facebook terutama rakyat Malaysia bergaduh sesama sendiri.
Perkara itu saya lihat tidak manis dipandang oleh orang luar sehingga ambil keputusan untuk buang gambar tersebut dan juga tutup laman sosial Instagram saya.
Jujur, saya tidak tersinggung dengan banyak tohmahan tetapi saya tidak mahu dua pihak terus bertelagah mengenai isu gaun tersebut.
Jadi diri sendiri
Berjaya mencipta kejayaan sebagai penyanyi di Amerika Syarikat, Yuna sebenarnya tidak pernah meletakkan dirinya sebagai model yang perlu dicontohi oleh sesiapa.
Kata Yuna, adalah penting untuk penyanyi baharu mempunyai identiti sendiri tanpa menyamakan diri mereka dengan mana-mana penyanyi sedia ada termasuk dirinya.
Tidak salah jika kita menjadikan mana-mana artis sebagai inspirasi, namun janganlah sampai ke tahap cuba meniru.
Lagi bagus kalau mereka (penyanyi baharu) jadi diri sendiri dan cuba teroka muzik itu secara sendiri. Masing-masing ada bakat, apa salahnya.
Saya memang terharu apabila banyak yang menjadikan saya inspirasi. Dan saya harap inspirasi itu hanya kerana semangat bekerja saya tetapi bukan diri saya.
Saya juga memang tidak pernah menganggap diri saya ikon," katanya yang pernah meletakkan individu berpengaruh seperti Datuk Sheila Majid dan Ning Baizura sebagai sumber inspirasi hidup.
Berkongsi berkenaan album terkininya iaitu Nocturnal, Yuna berkata, album tersebut mendapat sambutan yang menggalakkan dengan kebanyakan siri jelajahnya dipenuhi peminat.
Tambah Yuna, peluang muncul dalam program bual bicara terkenal seperti Jimmy Kimmel Live dan Conan O'Brien Show dan mendendangkan karya miliknya disifatkan sebagai pintu rezeki yang sedang terbuka luas.