Kosong-kosong, buka Lembaran Baru



HADIRNYA, bulan mulia, Ramadan Al Mubarak pastinya mengajak setiap umat Islam menginsafi serta bermuhasabah diri.

Bahkan, dalam menghayati bulan yang penuh keberkatan ini, amal ibadah turut dipertingkatkan lagi.

Dan... jika disedari, pada setiap tahun, apabila tibanya Ramadan, ia memberikan semangat untuk memulakan satu bab baru dalam kehidupan mahupun perhubungan.

Perbuatan memohon maaf sesama ahli keluarga dan rakan taulan sambil bermuhasabah kesilapan lalu sekali gus berazam untuk memperbaiki diri seterusnya dapat mengeratkan silaturahim di antara satu sama lain.

Justeru, seiring dengan semangat inilah, Astro melancarkan 'Kosong-kosong, Buka Lembaran Baru', suatu kempen yang diinspirasikan daripada kesucian dan ketulusan hati dalam melupakan sengketa lampau apabila menyusun 10 jari!


Menghayati erti kemaafan

Bak perumpamaan, 'Buang Yang Keruh, Ambil Yang Jernih', itulah yang cuba disampaikan oleh Astro melalui kempen terbarunya, Kosong Kosong, Buka Lembaran Baru’ bagi menyambut ketibaan Ramadan dan Syawal tidak lama lagi.

Naib Presiden Bahagian Perniagaan Melayu Astro, Khairul Anwar Salleh berkata, kempen ini adalah bertujuan untuk mengajak masyarakat Malaysia dalam menghayati erti sebuah kemaafan.

"Kami mengajak semua masyarakat untuk menghayati erti sebuah kemaafan melalui pelbagai program dan aktiviti yang telah diatur dengan teliti mengikut selera semasa sambil tidak melupakan tuntutan kerohanian.

"Kami juga berharap Ramadan ini dapat membantu penonton beragama Islam mendalami lagi ibadah di bulan mulia ini," katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran kempen tersebut, baru-baru ini.

Jelasnya lagi, kempen tersebut diangkat melalui platform 'Tonton, Dengar dan Baca' yang tersedia di bawah payung Astro termasuklah televisyen, radio, penerbitan dan digital.

"Setiap platform memainkan peranan masing-masing dalam membawa mesej kempen berkenaan.

"Malah, setiap saluran ada program berbeza mengikut kesesuaian saluran itu sendiri," katanya.


Lebih 30 program menarik

Menariknya, kata Khairul Anwar lagi, mulai 28 Jun ini, terdapat lebih 30 program istimewa telah disediakan sempena menyambut Ramadan tahun ini.

Antaranya adalah seperti 30 Hari Puasa, Tanah Kubur Istimewa Ramadan, Syurga Untuk Lelaki, Dunia Pencetus Ummah, Anta Tanya Ana Jawab, Musykil Muslimah dan Kalau Dah Jodoh, Ustaz Kazim Elias yang disuntik dengan elemen Ramadan.

"Tidak lupa, kami juga bakal menawarkan rancangan-rancangan hebat seperti Primadona Ramadan, Hajat Ramadan 2014, Resipi Memikat Suami serta Romantika,

Selain itu, katanya, Astro Radio melalui ERA.fm, SINAR.fm, THR Gegar.fm. dan Hitz.fm akan menyampaikan mesej tema ini secara berterusan menerusi segmen di dalamnya.

"Penyampai dan selebriti turut mengajak pendengar mengambil bahagian dengan berinteraksi mengenai kempen ini di udara," katanya.

Tidak cukup dengan itu, saluranTV, stesen radio Astro, Astro Digital, Astro Shaw dan Skuad Era Baazar Ramadan juga akan melawat ke pelbagai lokasi Bazaar Ramadan yang terpilih sebagai sebahagian aktiviti lapangan pada Ramadan ini.

Tambahnya lagi, Astro mengambil inisiatif 360 darjah untuk memberikan pengalaman Ramadan yang lebih menyeluruh menerusi pelbagai landasan yang disediakan.

"Kami percaya tema kali ini menepati suasana bersalam-salaman dan bermaaf-maafan di Ramadan dan Syawal.

"Semoga ia dapat mengukuhkan lagi ikatan persaudaraan antara kita," katanya.


Berkongsi kisah

Dalam pada itu, Astro turut mengalu-alukan orang ramai agar ke laman sesawang www.kosongkosong.com.my untuk terlibat secara langsung dengan berkongsi pesanan atau bingkisan peribadi.

Katanya, Astro menggalakkan masyarakat agar berkongsi pengalaman dan cerita berkaitan dengan tema yang dibawakan mereka itu.

Jelasnya lagi, langkah ini diambil agar masyarakat di luar sana ada platform untuk berkongsi kisah atau cerita mereka.

"Hantarlah pesanan anda dalam bentuk cerita, imej, video atau audio sambil menggunakan #kosongkosong di laman sosial Facebook, Twitter atau Instagram untuk dikongsi bersama.

"Perlukan bantuan kami untuk menyatakan kemaafan? Hubungi kami melalui saluran yang disediakan.

"Mana tahu, kami dapat membantu?.
Previous Post Next Post