AKTOR Fauzi Nawawi mengakui berasa amat bersyukur dan teruja kerana dikurniakan anak lelaki pertama hasil perkongsian hidupnya dengan aktres, Lisdawati.
Fauzi berkata, anak bongsunya itu diberi nama Ahmad Nur Fyrdaus dan pemilihan nama itu dilakukan sendiri oleh Lisdawati atau mesra dipanggi Lisda.
“Alhamdulillah, anak saya selamat dilahirkan pada 13 Jun lalu secara normal dan biarpun saya sudah dikurniakan anak lelaki hasil perkongsian hidup dengan bekas isteri sebelum ini, namun kelahiran Fyrdaus membuatkan saya rasa seronok dan bersyukur sangat sehingga tidak tahu bagaimana mahu saya jelaskan kegembiraan saya.
“Bagi saya dia juga adalah pewaris memandangkan saya dan Lisda sama-sama berkecimpung di dalam bidang seni.
“Pemilihan nama Ahmad itu juga diinspirasikan dari seorang abang saya yang sudah berjaya hidupnya dan kami berharap Fyrdaus akan membesar menjadi anak yang berjaya dunia dan akhirat,” katanya ketika dihubungi Zass.
Fauzi berkata, seperkara lagi yang menarik mengenai kelahiran anaknya kali ini adalah percubaan pertama mereka memilih hospital kerajaan untuk melahirkan anak.
“Sebelum ini ada orang kata layanan di hospital kerajaan teruk dan bermacam lagi, tapi Alhamdulillah sepanjang kami berada di sana, layanan daripada jururawat, doktor semuanya amat mengagumkan.
“Malah apa yang boleh saya kata, bilik yang Lisda duduk juga lebih selesa dari hospital swasta dan paling penting ketika proses melahirkan, saya tak rasa tekanan kerana mereka semua banyak membantu memudahkan proses kelahiran.
“Rasa seolah-olah macam program ‘game show’ sedang berlaku di dalam Dewan Bersalin tersebut (ketawa),” ujar Fauzi.
Fauzi berkata, Lisda akan berpantang di rumah mereka dan dia sudah mengupah seorang tukang urut untuk membantu mengurut Lisda sepanjang tempoh berpantang ini.
Menurutnya, bukan dia seorang sahaja yang teruja dengan kelahiran Fyrdaus, bahkan dua kakak Fyrdaus iaitu Nur Aina Farhana, 6 dan Nur Aina Fazneesya, 5, turut sama teruja.
“Farhana ketika dapat tahu Lisda sudah bersalin siap berpesan kepada saya, cepat-cepat bawa adiknya pulang. Sebelum itu dia dan Fazneesya kerap bertanya bila adik mahu keluar dan kenapa adik lambat keluar,” katanya.
Sementara itu, Lisdawati menerusi akaun Instagramnya berkongsi mengenai kelahiran Fyrdaus.
“Syukur alhamdulillah atas kelahiran Ahmad Nur Fyrdaus. Terima kasih Fauzi Nawawi dan juga ibu peneman setia saat detik kelahiran ini. Terima kasih Hospital Selayang atas layanan yang daripada semua staff,” ujar Lisda.
Rezeki murah
Dalam pada itu Fauzi berkata, sejak kelahiran Fyrdaus, rezekinya juga semakin murah dan banyak tawaran yang diterimanya.
“Saya akan berlakon di dalam filem Rentap terbitan Twins Production dan saya juga akan terlibat dengan penggambaran drama bersiri Kerambit terbitan Suhan Movie.
“Alhamdulillah di awal 40-an ini saya akan kembali menjayakan filem dan drama bergenre aksi dan saya rasa ia adalah masa yang cukup sesuai buat saya kembali beraksi.
“Sebelum ini saya hanya diberikan watak yang romantik, antagonis sahaja, jadi memang rindu untuk menjayakan babak aksi,” katanya yang sibuk menguruskan sebuah syarikat produksi bersama seorang rakan.