Mahu dikenali sebagai Rafidah



KOLABORASI dalam nyanyian bukanlah sesuatu yang mudah direalisasikan. Menyedari perkara itu, baik Rafidah mahupun Qalam Band, kedua-duanya memberikan kerjasama yang sepenuhnya bagi menjayakan lagu duet mereka, Rintihan Kalbu, yang kini semakin mendapat tempat di corong-corong radio tempatan.

Tiada istilah menumpang populariti sesiapa, jelas Rafidah, pengalaman duet yang lalu banyak membantunya untuk menjayakan duet bersama Qalam Band.

Jelasnya, idea kolaborasi ini datangnya daripada penerbit kumpulan ini sendiri, Syeikh Qalam yang bersungguh-sungguh ingin menggandingkannya bersama Qalam Band.






"Pada saya, lagu ini mempunyai lirik yang sangat menarik. Jika lagu sebelum ini (Apa Kono Eh Jang) memerlukan saya menyanyi dalam nada tinggi dan agak laju, namun kali ini ia lebih perlahan. Namun ia tetap memberikan cabaran baharu dan saya sudah berusaha sebaik mungkin untuk lagu ini," kata Rafidah.

Ditanya mengenai Qalam Band, penyanyi yang manis bertudung ini berkata, dia sangat berpuas hati dapat bekerjasama dengan kumpulan baharu itu. Meskipun Qalam Band tidaklah sepopular kumpulan lain, namun bagi Fida, band yang dianggotai lima anak muda ini mampu pergi lebih jauh.

"Sebelum ini mungkin ramai yang kurang mengenali Qalam Band, namun insya-ALLAH dengan gandingan kami menerusi lagu Rintihan Kalbu, pastinya makin ramai yang ingin mengenali mereka. Lagipun mereka memang berbakat besar dalam bidang muzik," katanya.

Sementara itu, Qalam Band, yang dianggotai Muhammad Zainol Mohd Nor Erfan, selaku vokalis, Alias Mohd Esa sebagai pemain drum, Faizwan Farman Farod Hasfardy (gitar), Mohamad Hanif Omar (pemain keyboard) dan Wan Mukhammad Mukhrizad Wan Mokhtar (vokalis kedua) mengakui sangat teruja dapat berduet dengan penyanyi jelita itu.

Menyifatkan Rafidah sebagai artis yang mempunyai pakej lengkap dengan keunikan suara tersendiri, bagi Qalam Band, kontroversi yang sering melanda pelakon Kasih Alia itu tidak pernah menggugat kerjasama mereka.

“Kami tidak memandang perkara seperti kontroversi kerana dalam dunia hiburan, memang kontroversi sukar dielak.

“Bagi kami Rafidah memang berbakat besar sebagai penyanyi dan kami tidak berdepan sebarang masalah sepanjang bekerjasama,” kata mereka kepada Zass.

Mengulas lanjut mengenai kerjasama antara mereka, lagu ini merupakan duet pertama yang pernah dihasilkan oleh Qalam Band. Selaku vokalis, Zainol memberitahu, ia memberikan pengalaman baharu buat kumpulan mereka.

"Sebelum ini, kami tak pernah berduet dengan mana-mana artis. Jadi sebaik saja penerbit mencadangkan gandingan ini, kami terus bersetuju.

"Syukurlah, gandingan ini menjadi dan lagu Rintihan Kalbu semakin mendapat tempat di hati peminat. Malah kami yakin genre lagu yang dipilih ini tak akan lapuk sampai bila-bila pun," katanya.

Menurut Zainol, Rintihan Kalbu turut mendapat sentuhan penerbit mereka sendiri, Syeikh Qalam bersama Manusia Putih, mengisahkan sebuah percintaan yang dilanda salah faham yang mengakibatkan perpisahan antara dua insan.


Bukan 'band hingusan'

Nama Qalam Band mungkin agak janggal bagi segelintir peminat muzik. Bagaimanapun, lima anak muda ini tidak pernah mengenal erti kalah. Bagi mereka, dunia muzik juga ibarat medan tempur yang sentiasa berisiko dan memerlukan usaha keras kesemua ahli kumpulan.

Mengakui masih 'hijau' dalam industri, Qalam Band bukanlah 'band hingusan' yang boleh di pandang enteng. Mula ditubuhkan sejak tiga tahun lalu, Qalam Band giat mengatur pelbagai strategi menerusi karya mereka. Jika di awal kemunculan dulu mereka memilih konsep rock, namun kini mereka lebih selesa genre pop rock.

"Memang kami masih baru dan banyak perkara yang perlu dipelajari. Setakat ini, kami dah bekerja keras dan akan memperbanyakkan lagi karya-karya baru.

"Dengan cara itu, kami berharap peminat lebih dapat menerima kehadiran kami," kata Zainol.

Mengimbau perjalanan seni mereka, Qalam Band bermula selepas menyertai satu program uji bakat RTM di Ipoh, Perak. Sejak itu, bakat mereka dikesan oleh Sheikh Qalam dengan menawarkan mereka sebagai artis rakaman, Sheikh Qalam Records Sdn Bhd, sekitar pertengahan tahun 2012.

"Pada mulanya kumpulan kami dikenali dengan nama Ajim Band dan ditukarkan kepada CNC Band selepas bernaung di bawah syarikat rakaman ini.

"Bagaimanapun atas sebab-sebab yang tertentu, nama kumpulan kami ditukar lagi kepada Qalam Band ," ujar Zainol.

Menjadikan kumpulan Sixth Sense sebagai idola dan sumber inspirasi, kelima-lima anak muda berbakat yang berasal dari negeri Perak ini turut memasang impian untuk berduet dengan band tersohor itu.






Mahu dikenali Rafidah

Siapa yang tidak mengenali wanita yang seiras dengan wajah penyanyi tersohor negara, Datuk Siti Nurhaliza ini. Mula dikenali menerusi program realiti, Siti Nurhaliza Mencari Bintang Pantene (2007), pemilik nama Rafidah Ibrahim ataupun lebih dikenali sebagai Fida ini bagaimanapun sering dilanda kontroversi.

Selain kisah cintanya bersama beberapa selebriti seperti Mamat (Sepahtu) dan Zaliff Sidek, anak jati Kuala Lumpur ini juga dihimpit kontroversi hebat apabila didakwa sebagai artis yang bermasalah.

Enggan lagi menoleh ke belakang, Fida yang kini mahu dikenali sebagai Rafidah berkata, ia bukanlah penghalang untuknya terus berjaya dalam industri seni. Malah keputusannya untuk dikenali sebagai Rafidah bukanlah petanda dia kecewa dalam industri.

“Saya sebenarnya tidak tahu dari mana timbulnya nama Fida. Sejak dari mula lagi, saya membahasakan diri sebagai Rafidah. Tapi media yang selalu panggil nama Fida itu.

"Bukan saya tak suka, tapi untuk dalam industri, saya lebih suka dikenali sebagai Rafidah. Malah untuk lagu duet terbaru ini pun saya pakai nama ini.

"Gelaran Fida itu biarlah hanya digunakan untuk membahasakan diri saya bila bercakap saja," katanya.


Kurang tawaran seni?

Sejak akhir-akhir ini, wajah Rafidah agak jarang muncul di kaca televisyen. Situasi ini seolah-olah mengiakan tawaran seninya semakin terjejas dek kontroversi yang selalu menyelubunginya.

Menafikan perkara itu, Rafidah memberitahu, dia kini sibuk dengan bisnes yang diceburinya. Jelas Rafidah, dia telah membuka syarikat pembinaan dan memerlukan komitmen yang sangat tinggi.

"Bukannya tak ada tawaran lakonan yang datang. Saya pun baru sahaja selesai penggambaran telemovie raya, Syukri Syukriana yang dijangkakan akan ditayangkan di saluran RTM, raya nanti.

"Tetapi buat masa ini, saya harus selektif terima tawaran lakonan kerana fokus utama saya terhadap bisnes yang baru berkembang.

“Ia memerlukan saya hadir mesyuarat ke sana sini dan saya menaruh harapan yang tinggi untuk berjaya dalam perniagaan ” kata pelakon Runtun Qalbu ini.


Pernah diberi Amaran

Akui bukan mudah bergelar anak seni, Rafidah berkata, sejak awal penglibatannya dalam dunia hiburan lagi, dia telah diberi amaran oleh pengurusnya.

“Pengurus saya dah cakap awal-awal, dunia hiburan ini merupakan satu industri yang mencabar dan kita sebagai artis, jangan cepat melatah.

"Kalau jenis tak tahan, tak payahlah nak jadi artis. Tapi saya bukan jenis yang cepat melatah. Bila terkena kontroversi begini, saya terima dengan tenang dan beri penjelasan dengan baik sekiranya ditanya.

"Kita memang tidak akan dapat menjaga hati semua orang dan sebagai manusia, kita tidak akan dapat lari daripada melakukan kesilapan,” jelasnya.
Previous Post Next Post