AC Mizal kembali tubuh 4U2C


AC Mizal

PASTINYA ada yang merindui kumpulan rap 90-an, 4U2C.

Masakan tidak, sudah hampir dua dekad kumpulan ini terbubar selepas melancarkan album terakhir mereka Kembalilah Fiona pada 1996.

Pun begitu, bagi mengembalikan semula kerinduan peminat, salah seorang ahlinya, Datuk Mizal Zaini berhasrat untuk mencari ahli kumpulan 4U2C yang baru melalui satu projek khas yang kini sedang berjalan.

Pelakon dan pengacara itu yang lebih mesra disapa sebagai AC Mizal memberitahu bagi merealisasikan hasrat berkenaan dan memperkemaskan lagi kerjaya nyanyiannya, dia juga telah menandatangani kontrak bersama syarikat rakaman Sony Music.

Selain itu, AC juga bakal kolaborasi dengan beberapa artis tempatan dan antarabangsa.






Menceritakan mengenai projek khasnya itu, AC menjelaskan bahawa idea mengenai projek khas itu datang secara tiba-tiba dan tanpa dirancang.

"Saya tidak merancang langsung mengenai projek ini. Idea itu datang ketika saya sedang duduk dan terkenang masa lalu bersama 4U2C,” katanya.

Tambahnya, kumpulan popular 90-an itu adalah kenangan terindah buat dirinya dan dia tidak dapat melupakan semua memori yang terpahat sama.

"Jadi, sebab itu saya mengambil keputusan untuk membuat projek khas ini dengan ahli baru sekali gus mengabdi dan memperingati kenangan terhadap 4U2C.

"Lagi pun, projek ini juga adalah hadiah kepada peminat-peminat yang sentiasa menyokong kami," katanya.

Jelasnya, dia memerlukan sekurang-kurangnya enam ahli baru 4U2C untuk merakamkan single baharu yang akan dikeluarkan menjelang Ramadan ini.

"Kepada sesiapa yang berminat, hantarkan video nyanyian dan tarian anda menyanyikan lagu-lagu 4U2C kepada saya menerusi akaun Twitter, @datoacmizal dan menerusi akaun Instagram yang saya kongsi bersama isteri, @emyliarosenaida," katanya.






Isteri jadi tulang belakang

Dalam perkembangan lain, AC juga baharu saja merangkul anugerah Pengacara Lelaki Popular, baru-baru ini.

"Kemenangan ini adalah untuk isteri saya, Emylia Rosnaida kerana dia adalah tulang belakang saya sekali gus individu yang berjaya membawa saya hingga ke tahap ini.

"Tidak lupa juga buat peminat-peminat yang mengundi saya," katanya.

Tambahnya lagi, dek pencapaiannya itu, dia kini lebih bersemangat untuk meneruskan program pengacaraannya di masa akan datang.
Previous Post Next Post