Nad Zainal buat laporan polis



NAD berasa kurang selesa selepas menerima panggilan daripada seorang wanita misteri yang mengugutnya untuk menjatuhkan maruahnya jika tidak menjalin semula hubungan dengan Azwan.

PUTUSNYA hubungan cinta antara pasangan pelakon Nad Zainal dan Azwan Kombos yang berlaku sejak awal bulan lalu tidak terhenti setakat itu sahaja. Baik pihak media mahupun para peminat, keretakan hubungan mereka masih lagi diperkatakan sehingga kini .

Namun, baru-baru ini, Nad atau nama sebenarnya, Farah Nadia Zainal Abidin, 24, telah membuat laporan di Balai Polis Ampang, Selangor dan mendakwa bekas kekasihnya itu mempunyai kaitan terhadap gangguan serta ugutan yang diterimanya sejak seminggu lalu.

Pelakon yang mula dikenali dengan drama bersiri Bukan Bidadari itu dikatakan menerima beberapa panggilan misteri daripada seorang wanita yang mengugut untuk membuka aibnya kepada wartawan jika dia tidak kembali menyambung hubungan cintanya bersama Azwan.

Nad ketika dihubungi Kosmo! semalam menyatakan rasa kurang senang terhadap panggilan barbaur ugutan yang diterimanya itu. Disebabkan perkara tersebut, dia mengambil keputusan untuk membuat laporan polis. Ikuti temu bual selanjutnya:






Kosmo!: Apakah yang menyebabkan anda mengambil keputusan untuk membuat laporan polis?

NAD ZAINAL: Pada awalnya, presiden kelab peminat saya telah menerima panggilan daripada seorang wanita. Katanya, dia akan membuka kisah-kisah peribadi saya kepada wartawan hiburan jika saya tidak menyambung kembali hubungan bersama Azwan dalam masa seminggu. Namun, apabila saya sendiri menerima panggilan tersebut, saya terus berasa kurang senang dan mengambil keputusan untuk membuat laporan polis.

Setakat ini, sudah berapa kali anda menerima panggilan daripada wanita tersebut?

Sudah tiga kali saya dihubungi dengan nombor yang berbeza. Saya berasa kurang selamat kerana saya tidak pernah memberikan nombor saya kepada orang yang saya tidak kenal.

Apakah yang sering diutarakan oleh wanita tersebut setiap kali dia menghubungi anda?

Dia memarahi saya kerana mengkhianati cinta saya bersama Azwan dan meminta agar kami kembali bersatu.

Apakah dakwaan yang anda lakukan terhadap Azwan menerusi laporan tersebut?

Saya tidak boleh memberitahu tentang laporan tersebut, tetapi apa yang saya boleh katakan, saya begitu ingin tahu identiti sebenar pemanggil itu. Dia seperti sudah diapi-apikan oleh seseorang sehingga sanggup menelefon saya dan memberikan ugutan yang bukan-bukan. Tetapi, saya ada menyimpan rakaman perbualan telefon serta setiap khidmat pesanan ringkas (SMS) yang dihantar pada saya untuk dijadikan bahan bukti.

Cerita putus cinta anda seperti tidak berkesudahan. Apakah komen anda tentang perkara tersebut?

Sejujurnya, saya fikirkan cinta itu hanya perkara biasa. Tidak sangka pula bekas kekasih saya itu banyak mengeluarkan kenyataan kepada pihak media. Selama ini saya hanya berdiam diri. Banyak juga dakwaannya yang bercanggah dengan apa yang sebenarnya berlaku.

Setakat ini, adakah gangguan itu sudah selesai?

Semalam (kelmarin) dia ada menghubungi presiden kelab peminat saya lagi. Katanya, jika dia tidak boleh menjatuhkan saya dengan membuka aib saya kepada wartawan, dia akan melakukannya secara halus. Cara halus apa yang dimaksudkan, saya kurang pasti.

Apakah tindakan susulan anda?

Saya masih menunggu hasil siasatan daripada pihak berkuasa. Namun, saya berharap agar identiti wanita tersebut dapat dibongkar.
Previous Post Next Post