Pelakon Nora Danish akui terkejut apabila ada rakan artis yang turut bersubahat dengan bekas isteri kekasihnya, Nedim Nazri untuk menyindir tanpa pengetahuannya.
Sindiran tersebut berpunca apabila Nora atau nama sebenarnya Nora Mohd Danish Hanif, 32, dilihat kerap memuat naik foto bersama satu-satunya anak kekasihnya iaitu Nedrin bersama bekas isteri, Nabilah Khan.
Tindakan Nora itu mendapat reaksi yang kurang menyenangkan apabila beberapa pihak memberi komen negatif menerusi Instagram milik Nabilah termasuklah tuduhan Nora sebagai perampas.
"Terus-terang saya sangat terkejut dengan berita ini dan tidak sangka pula ada pihak yang tidak senang dengan kehidupan saya sekarang. Saya sendiri tak tahu siapa rakan artis itu.
"Tapi, salahkah saya muat naik gambar anak mereka? Saya memang suka ambil gambar dengan budak-budak kecil, saya rasa itu tidak salah.
"Lainlah kalau saya ini perampas dan baru logik saya tidak boleh bergambar dengan anak dia. Mereka berpisah sebelum saya kenal rapat dengan Nedim lagi," katanya ketika majlis preview filem Pengantin Malam kelmarin.
Nora diminta mengulas apabila ada sekumpulan pihak yang memihak kepada bekas isteri Nedim termasuk rakan artis yang telah menyindirnya di sebuah laman sosial instagram daripada salah seorang individu daripada pihak tersebut.
Jelas Nora lagi, dia tidak menyangka bekas isteri kekasihnya itu bertindak sedemikian kerana dia sendiri tidak pernah berjumpa atau mengenali Nabilah secara rapat.
"Saya tidak pernah berjumpa apatah lagi bergaduh dengan dia dan saya juga tidak pernah buat kenyataan di media tentang dia atau keluarga dia pun.
"Saya pelik mengapa mereka berbuat demikian kepada saya, mungkin mereka iri hati dengan kebahagiaan saya sekarang.
"Mungkin juga sebab saya suka gambarkan kebahagiaan saya di Instagram dan tidak tahu pula ia menjadi masalah kepada orang lain,"luahnya.
Dalam perkembangan lain, filem lakonannya Pengantin Malam bersama Farid Kamil dan beberapa pelakon lain sedang ditayangkan di pawagam sejak 16 Jun lalu.