ANUAR ZAIN mendakwa dia merupakan seorang bapa saudara yang tegas.
"AYAH saya merupakan seorang mentor dan idola sepanjang saya bergelar anak seni. Saya sangat menyayanginya," tutur penyanyi Anuar Zain ketika disoal tentang pengertian sambutan Hari Bapa yang jatuh pada hari ini.
Menurut penyanyi berumur 44 tahun itu, bapanya, Zain Abdullah banyak memberikan inspirasi kepadanya terutama mengenai selok-belok dunia hiburan dan perjalanan kariernya sebagai penyanyi.
"Bapa saya merupakan seorang individu yang sangat disenangi oleh orang lain. Dia disayangi oleh ahli keluarga serta rakan-rakan kerana sifatnya itu.
"Itu merupakan salah satu sifat yang ada padanya yang membuatkan saya banyak belajar tentang menghargai kehidupan dan orang lain," ujarnya ketika ditemui pada majlis pengumuman program percutian bersama Anuar ke Jordan di Restoran Songket, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Tambah pelantun lagu Sedetik Lebih itu lagi, bapanya tidak pernah putus memberikan semangat serta dorongan kepadanya sejak dia bergelar penyanyi.
"Dia merupakan figura yang banyak membantu saya dalam kerjaya dan dia harus tahu betapa saya sangat menyayanginya," ujarnya.
Melanjutkan perbualan mengenai dedikasi sambutan Hari Bapa yang disambut hari ini, Anuar merasakan perasaan kasih sayang seorang bapa itu sudah lama meresap dalam dirinya.
Tiada zuriat
Walaupun masih bujang dan belum mempunyai zuriat namun hubungan rapat bersama anak-anak buahnya menjadikan Anuar tidak ralat setiap kali menjelangnya Hari Bapa.
"Saya masih menganggap anak-anak kepada adik-beradik saya seperti anak-anak saya sendiri.
"Jika ada antara mereka melakukan kesalahan, saya pasti akan menegur. Saya merupakan seorang pak cik yang tegas," tuturnya sambil tersenyum.
Anuar menambah, anak-anak buahnya turut menjadi pengubat penat tatkala melihat keletah dan kerenah mereka saat pulang daripada bekerja.
"Setelah seharian bekerja dan melihat mereka bercanda dan bergurau sesama sendiri, itu sudah memadai untuk menghilangkan penat saya," ujar Anuar yang sering memanjakan anak-anak buahnya dengan membelikan coklat sebagai hadiah.
Dalam perkembangan lain, Anuar bersama-sama syarikat pelancongan Scenic Leisure & Event dan FBA Media Sdn. Bhd. bakal menganjurkan sebuah program percutian bersama 250 orang peminatnya ke Jordan pada 13 November depan.
Ujar Anuar, dia berasa teruja untuk melawat tempat-tempat bersejarah di Jordan bersama dengan peminat sementelah inilah kali pertama dia mengambil bahagian dalam program seumpama itu.
Show tepi pantai
"Sejujurnya, saya tidak sabar untuk melawat tempat-tempat seperti Jerash, Petra dan Laut Mati. Sebagai seorang yang gemar melancong, saya juga berasa teruja untuk berkongsi pengalaman ini bersama para peminat saya," katanya.
Ujar Anuar, selain beramah mesra dan mengambil gambar bersama, para peminat yang mengikuti percutian ini juga berpeluang untuk menikmati persembahan mini yang berlatarkan Laut Mati pada hari terakhir program tersebut.
"Buat masa ini, saya masih belum membuat keputusan tentang senarai lagu-lagu yang bakal dinyanyikan. Namun, ia akan menjadi persembahan yang istimewa sebagai penutup program sebelum pulang ke Malaysia," katanya lagi.
Pakej percutian tujuh hari lima malam itu dijual pada harga RM9,999. Bagi yang berminat, pakej tersebut boleh ditempah menerusi talian 03-8073 3648.