Awie Jangan menyibuk



SEHARI sebelum konsert Wings Tanpa Distortion Ahad lalu, nama Awie muncul di benak ramai apabila tiba-tiba sahaja berita mengaitkan seorang rockers terkenal mengasari isterinya di salah sebuah bank di Ampang, Kuala Lumpur.

Mujurlah konsert berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) seperti dirancang malah tidak menampakkan banyak kekurangan. Cuma Awie yang terlihat beremosi terutama ketika menyampaikan lagu yang didedikasikan kepada wanita dan ibu-ibu yang berjudul Ibu, nyanyian asal kumpulan Blues Gang.

Tangisan dan emosi sebak Awie ketika lagu itu dinyanyikan memberi satu isyarat, mungkinkah ada kesedihan yang tidak terluah di dadanya. Sehabis konsert selama lebih dua jam itu, permintaan media untuk menemui Awie tidak kesampaian.

Vokalis kumpulan Wings, Ahmad Azhar Othman, 46, itu tidak perlu bersembunyi. Dua hari penantian media untuk bersemuka dengannya akhirnya terlaksana. Kemunculan Awie sewaktu majlis pelancaran rangkaian produk minuman kesihatan lelaki, Long Jack Extra di Restoran Bora Ombak, Ampang berjaya merungkai persoalan yang bermain di minda peminat dan pengikutnya.

Tanpa berselindung, Awie bertegas dengan prinsip. Awie hanya akan memberi penjelasan seandainya dakwaan itu dapat dibuktikan oleh pihak lain di luar sana.






"Saya tiada komen berhubung insiden yang berlaku itu. Saya tidak mahu mengiyakan atau menidakkan. Kalau benar saya melakukan perbuatan itu, biar pihak lain buktikan dulu barulah saya akan memberi penjelasan," katanya dalam nada yang tenang.

"Sedangkan lidah lagi tergigit, inikan pula suami isteri. Pertengkaran dalam hal rumah tangga itu perkara biasa. Saya percaya semua orang pernah melaluinya. Namun, biarlah masalah rumah tangga hanya saya yang menyelesaikannya kerana itu adalah hak privasi," jelas Awie yang kelihatan agak sugul berbanding kebiasaan.

Mengulas lanjut mengenai insiden tersebut, Awie menganggap penyebaran gosip dia membelasah isterinya merupakan satu tuduhan yang cuba memporak-perandakan rumah tangganya.

"Berita tersebut tidak langsung menyebut nama saya. Buat apa saya perlu mengaku kerana dalam Malaysia, penyanyi rock bukan saya seorang.

"Ini adalah satu fitnah. Kalau saya memberikan komen, saya tidak tahu daripada mana perkara itu timbul. Adakah daripada pihak terdekat ataupun orang luar.

"Tapi sekiranya kenyataan itu disebarkan oleh pihak luar, saya nasihatkan 'jangan jaga tepi kain orang' kerana menuduh tanpa bukti adalah satu fitnah dan dosa besar," ujar Awie.

Biarpun helaian kisah hidupnya terus dilanda kontroversi, namun sehingga kini Awie dan Rozana Misbun, 35, masih lagi suami isteri.

Meleret menjadi sesi luahan perasaan, Awie sedar dia hanya manusia biasa yang tidak pernah lari daripada melakukan kesilapan. Malangnya, dia mudah dihukum dek kerana kesilapan silam.

Tidak berapa lama dahulu, Awie pernah didakwa bergaduh dan memukul seorang lelaki di sebuah pusat hiburan di Pulau Pinang pada 2008. Mengulas garis hitam yang melabel kelibatnya sebagai gengster dan kaki pukul, ternyata Awie mempunyai alasan yang tersendiri dalam mempertahankan dirinya.

"Memukul orang bukanlah gengster tetapi apabila bercakap soal mempertahankan diri daripada serangan orang, sebagai seorang lelaki sudah pasti saya akan mempertahankan diri apabila diserang.

"Soal bergaduh dan pukul, itu kisah lama. Takkan saya mahu memukul dengan sengaja sedangkan saya perlukan sokongan ramai untuk bertahan dalam industri seni.

"Saya bersyukur walaupun sering difitnah, namun saya masih diberi kepercayaan masyarakat serta peminat. Rezeki saya masih berjalan seperti biasa dan tiada pula yang takut untuk berdepan dengan saya," tutup Awie lagi.
Previous Post Next Post