Zara Zya Saya bukan artis kekwat



ZARA kesal dengan laporan sebuah akhbar hujung minggu lalu yang mengaitkan dirinya dengan pelakon Azlee.

JIKA sudah menjadi selebriti, mahu tidak mahu mereka pasti berhadapan pelbagai publisiti sama ada di media cetak atau portal hiburan.

Itulah yang menimpa Zainurul Razia Mohd. Zainuddin, 29, atau nama komersialnya, Zara Zya. Sebelum ini, dia didakwa bertengkar dengan hero drama bersiri popular, I Love U Mr Arrogant, Azlee Khairi.

Kontroversi tersebut timbul berikutan Zara dikatakan sering menyebarkan cerita buruk mengenai Azlee, sekali gus membangkitkan kemarahan pelakon lelaki kacak tersebut.






Menepis dakwaan tersebut, Zara yang jelas terkejut apabila Kosmo! Ahad mengasak soalan itu kepadanya. Dia mengakui bahawa laporan mengenai perkara tersebut dalam sebuah akhbar tempatan sebelum ini tidak berasas sama sekali.

Ikuti temu bual Kosmo! bersama pelakon yang baru sahaja dinobatkan sebagai Artis Baharu Wanita Popular menerusi Anugerah Bintang Popular (ABP) 2013 itu.

Benarkah dakwaan mengatakan Zara bermulut puaka gara-gara memburukkan Azlee Khairi?

Saya tidak mempunyai sebab untuk menyebarkan cerita-cerita buruk mengenai Azlee Khairi. Saya kesal apabila sebuah akhbar pada hujung minggu lalu menimbulkan spekulasi berkenaan tanpa bertanya kepada saya terlebih dahulu. Saya menganggap ia merupakan satu dugaan yang perlu dihadapi oleh setiap manusia yang bergelar anak seni.

Bagaimanakah sebenarnya hubungan anda dengan Azlee?

Hubungan kami baik sahaja. Bagaimanapun, kami tidak pernah berhubung di luar waktu pekerjaan melainkan ia berkaitan dengan hal pekerjaan sahaja.

Adakah anda pernah menjalinkan hubungan cinta dengan Azlee?

Tidak sama sekali. Saya tahu, ramai yang menginginkan kami bersama seperti apa yang ditonton dalam drama lakonan kami bersama.

Namun pada pandangan saya, tidak ada sebab untuk kami berhubung, jauh sekali bercinta. Perlukah untuk keluar meluangkan masa bersama jika kami berlakon bersama?

Sebenarnya, selain Azlee, saya memang tidak pernah keluar dengan mana-mana pelakon lelaki. Malah, saya juga tidak keluar dengan artis perempuan yang lain. Jika tidak bekerja, saya hanya selesa duduk di rumah sahaja.

Mungkinkah anda akan lebih berhati-hati pada masa akan datang supaya dapat mengelakkan isu ini supaya ia tidak timbul lagi?

Ya, mungkin ini dapat dijadikan suatu pengajaran dalam mematangkan saya supaya lebih berhati-hati dengan percakapan dan tingkah laku saya selepas ini.

Adakah anda masih belum mempunyai teman istimewa?

Belum. Buat masa sekarang saya hanya mahu tumpukan perhatian terhadap karier.

Ini ada satu lagi cerita kurang enak tentang anda. Selain kisah tentang anda bermulut jahat, ada juga yang mengatakan anda kini kekwat (sombong) apabila semakin dikenali dan popular?

Saya tidak pernah merasakan diri saya popular sebelum ini. Hanya orang yang mereka-reka cerita sebegini sahaja yang mempunyai jawapan untuk isu ini. Cuma orang yang tidak kenal saya dengan lebih dekat sahaja yang mengatakan saya sombong.

Apakah perkembangan terbaharu anda?

Saya kini sedang sibuk menjalani penggambaran untuk drama 13 episod terbitan TV9 bertajuk Delina.
Previous Post Next Post