Pengorbanan Irma Hasmie


Irma Hasmie

BAKAT seni yang dimiliki Irma Hasmie, tidak terbatas pada bidang lakonan dan pengacaraan semata-mata, sebaliknya aktres berusia 32 tahun ini juga berbakat besar dalam menghasilkan rekaan busana.

Malah, dek minatnya yang mendalam terhadap bidang fesyen, maka lahirlah jenama pakaian Muslimah, Debumas sejak 2013 lagi.

Menggunakan laman Instagram sebagai platform jualannya, Irma memberitahu Debumas adalah jenama pakaian hasil rekaannya sendiri.

"Rekaan yang terdapat dalam Debumas tercetus daripada idea saya sendiri mengikut cita rasa yang praktikal.

"Malah, untuk koleksi terbaru, pelanggan boleh melihatnya di Instagram mulai 1 Ramadan ini," katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran Program Ramadan TV Al Hijrah, baru-baru ini.

Dalam pada itu, biarpun Irma kini sibuk dalam bidang pengacaraan, namun dia mengakui rindu untuk berlakon semula.

Lebih-lebih lagi, apabila pemilik nama penuh Irma Hasmie Ibrahim ini mengakui sudah lebih dua tahun tidak muncul dalam mana-mana drama mahupun filem.

"Kali terakhir saya terlibat dalam bidang lakonan ketika saya masih belum berkahwin lagi.

"Kadang-kadang, apabila saya teringatkannya (lakonan), rasa gementar pula," katanya.

Malah, kini walaupun sarat mengandung, Irma masih lagi menerima tawaran berlakon daripada beberapa syarikat produksi.

"Saya masih mendapat tawaran lakonan tetapi buat masa sekarang saya terpaksa menolak kerana dua perkara, keadaan yang sedang sarat mengandung dan komitmen terhadap anak yang masih kecil dan sedang menyusu badan.

"Lagi pun, berlakon sangat memerlukan tempoh yang panjang," jelasnya.

Jelasnya lagi, situasinya kini membuatkan dia lebih berfokus kepada program pengacaraan.

Bahkan, Irma kini terus aktif sebagai hos program Assalamualaikum yang bersiaran secara langsung di TV Al Hijrah.

Jelasnya, keadaannya itu tidak membebankan dan jadual tugasnya juga fleksibel.

"Alhamdulillah, setakat ini masih ada kekuatan untuk bekerja dan ia sebenarnya membantu saya supaya bergerak aktif selain menjaga anak sulung.

"Biasalah, jika kadang-kadang berasa penat kerana berbadan dua tetapi itu tidak menjadi halangan buat saya," katanya.

Teruja dapat anak perempuan

Dalam pada itu, Irma turut melahirkan perasaan terujanya apabila doktor mengesahkan dia dan suaminya akan menimang anak perempuan, tidak lama lagi.

Malah, sejak disahkan hamil pada akhir tahun lalu, aktres berusia 32 tahun itu sememangnya mengimpikan untuk mendapat anak perempuan dan bersyukur doanya dimakbulkan ALLAH SWT.






"Mula-mula saya agak resah juga. Sudah beberapa kali membuat imbasan sebelum ini, tapi masih belum nampak jantinanya.

"Alhamdulillah, ketika usia kandungan saya memasuki enam bulan, doktor akhirnya mengesahkan yang saya bakal mendapat bayi perempuan.

"Saya rasa seronok sangat apatah lagi apabila kelahiran bayi ini, maka lengkaplah keluarga kami kerana sebelum ini saya sudah dapat anak lelaki," katanya yang sudah mempunyai nama untuk anaknya itu.

Biarpun teruja menanti kehadiran 'orang baharu', Irma mengakui persiapan yang dilakukan hanyalah dibuat secara sederhana.

Masakan tidak, kebanyakan barangan bayi milik anak lelakinya, Redza Syah Irfhan, yang kini berusia setahun tiga bulan masih elok dan boleh digunakan lagi.

"Kalau banyak 'memborong' pun, hanyalah dari segi pakaian dan beberapa keperluan lain.

"Tetapi, ada juga beberapa barang kepunyaan Irfhan yang masih elok, kami gunakannya semula," katanya yang dijangka bersalin pada 18 Julai depan.
Previous Post Next Post