Percaturan Farid Sanullah



MESKIPUN Farid Sanullah dilahirkan di Malaysia, anak muda berusia 23 tahun ini dibesarkan di Australia manakala keluarganya pula berasal dari Pakistan.

Dek latar belakangnya yang pelbagai, maka tidak hairanlah jika anak kepada komposer, Firoz Sanullah ini tidak begitu fasih berbahasa Melayu.

Begitu pun, perkara itu tidak menjadi satu halangan besar buat dirinya.

Dua tahun lalu, Farid pernah mencuba nasib menerusi muzik dan lagu yang cukup santai tetapi sangat bermesej, Don’t Forget ALLAH.

Lagu berkenaan berjaya melonjakkan namanya sehingga terus menjadi bualan ramai. Malah, lagu dan muzik videonya pula sering dimainkan di medium elektronik.

Ekoran kejayaannya itu, Farid berhasrat untuk muncul dengan lagu tersebut lagi tetapi kini dalam versi Bahasa Melayu, tidak lama lagi.

Mengakui ia sangat mencabar, namun Farid yakin, dia dapat menghadapinya dengan baik.

"Saya tiada masalah untuk hafal lagu dalam Bahasa Melayu apatah lagi, sebelum ini saya juga ada mempelajari beberapa bahasa.

"Mungkin ia agak mencabar, tapi saya dapat belajar dan hafalnya dengan baik," katanya.

Tambahnya, lirik Bahasa Melayu bagi lagu Don’t Forget ALLAH telah dihasilkan oleh Frizdan.

"Sebelum ini, Frizdan pernah menterjemahkan lagu Maher Zain, Insha ALLAH ke Bahasa Melayu," katanya.






'Nasyid itu indah'

Darah seni yang mengalir dalam tubuh Farid Sanullah datang dari bapanya yang juga komposer, Firoz Sanullah yang banyak bekerjasama dengan nama besar seperti Datuk Suhaimi Md Zain dan Azlina Aziz.

Biarpun punya bapa yang terlibat dalam bidang seni, namun jejaka kacak ini sekali pun tidak pernah mengambil kesempatan di atas populariti bapanya itu.

Buktinya, Farid mengambil masa sehingga dua tahun untuk tampil dengan album sulungnya, Don't Forget ALLAH yang memuatkan lapan lagu seperti Don’t Forget ALLAH, SubhanALLAH, Orphan Child, No Shorcut To Heaven, Repent, Lost, Which Will You Deny dan Mum.

Album ini adalah terbitan Highest Heaven Records dan diedarkan oleh Inteam Records Sdn Bhd dengan kerjasama Sony Music.

"Terlalu banyak perkara yang berlaku. Tetapi ayah selalu memberitahu, ia adalah perkara normal dan tidak perlu terburu-buru.

"Jika, album saya siap awal, belum tentu saya akan bertemu dengan Inteam Records. Mungkin saya dengan syarikat lain.

"Alhamdulillah, ia terbit pada masa yang tepat dan Inteam Records banyak membantu saya merealisasikannya," katanya yang juga terbabit sebagai penggubah lagu dan lirik bersama-sama bapanya itu.

Jelasnya, album Don't Forget ALLAH berjaya terjual lebih 5,000 unit sejak dipasarkan pada April lalu.

Dek sambutan yang memberangsangkan, Farid menyifatkan tempoh masa dua tahun bagi menyiapkannya adalah sangat berbaloi.

Malah, dia juga gembira dan teruja melihat perkembangan positif genre nasyid di Malaysia.

"Banyak kumpulan dan artis solo yang lahir dan semuanya diterima baik peminat.

"Saya melihat komposer di negara ini juga bagus dan tidak hairanlah album ini mendapat sentuhan komposer Malaysia dan Singapura. Saya minat menyanyi sejak di tadika lagi dan tertarik dengan nasyid kerana ia sesuatu yang indah.

"Lagi pun, ayah yang beri idea kepada saya untuk mencuba nasib di Malaysia. Dia yakin dengan pasaran di sini kerana pendengarnya sangat terbuka,” katanya yang agak teruja dengan maklum balas positif pendengar album sulungnya itu.

Dalam perkembangan lain, Farid ingin berkolaborasi dengan beberapa artis seperti Jamal Abdillah, Lah VE dan In Team bagi menyanyikan lagu ciptaannya dan bapanya sempena Syawal kelak.

Dibayangi Maher Zain?

Jika diteliti, album sulung Farid ternyata banyak persamaan dengan artis antarabangsa dari Sweeden, Maher Zain, apatah lagi apabila kedua-dua artis ini membawakan konsep muzik sama sekali gus menyebabkan ada pihak mentafsirkan kemunculannya bagaikan dibayangi penyanyi antarabangsa itu.

"Kali pertama, saya menyanyikan lagu Don’t Forget ALLAH sehinggalah ia disiarkan di radio, saya mendapat maklum balas daripada peminat yang bertanya adakah lagu ini dinyanyikan oleh Maher Zain?. Ia bagaikan satu penghormatan besar buat diri saya apabila dikaitkan dengan penyanyi hebat seperti Maher Zain," katanya.

"Saya tidak ralat sekiranya ada yang membandingkan saya dengan dia kerana kami membawa genre yang sama.

"Saya bersifat fleksibel dengan perkara ini, jadi tidak wujud istilah saya lebih baik atau kurang daripadanya.

Begitu pun, kata Farid lagi, setiap daripada mereka mempunyai keistimewaan masing-masing.

"Saya tidak fikir langsung mengenai persaingan atau perbandingan. Saya tidak kisah jika ada yang hendak membandingkan kerana genre yang kami bawakan adalah sama. Saya juga tak pernah mendakwa album ini bagus daripada orang lain.

"Ada baiknya perkara ini diserahkan kepada pendengar untuk menilai kerana hanya mereka yang berhak berbuat demikian. Lagipun matlamat kami sama iaitu menghiburkan di samping memberi mesej berguna kepada pendengar," katanya.



Tak mudah terpengaruh

Sewaktu sidang media berlangsung, dapat dilihat Farid adalah seorang yang sangat peramah, riang dan 'simple'.

Bahkan, sebagai pendatang baru, imejnya juga masih lagi bersih.

Justeru, ketika di tebak bagaimanakah dia akan menjaga imejnya itu, Farid ternyata punya jawapannya sendiri.

"Saya seorang yang sangat bersederhana dan tidak mudah terpengaruh dengan perlakuan negatif.

"Imej ini tidaklah terlalu berat, apatah lagi saya seorang yang yang 'simple'. Saya tidak nampak imej ini adalah sesuatu yang berat.

"Contohnya, walaupun ada rakan-rakan yang pernah mengajak saya ke arah keburukan tetapi saya tidak mudah terpengaruh. Saya ada pendirian sendiri. Insya-ALLAH, mudah-mudahan," katanya yang akan berada di tanah kelahirannya ini sehingga sambutan Aidilfitri kelak.
Previous Post Next Post