Rita Rudaini tiada masa fikir tentang lelaki



KEMELUT antara pelakon jelita, Rita Rudaini dengan bekas suaminya, Aidil Zafuan nampaknya masih belum reda. Terbaharu, pelakon berusia 38 tahun itu melahirkan rasa sedih dan kecewa apabila mendakwa Aidil sudah hampir empat bulan tidak berjumpa dengan dua anak mereka iaitu Airit Rayyan Rizqin, 5, dan Airit Qaqa Arjuna, 2.

Kali terakhir, bekas suaminya itu meluangkan masa bertemu dua anaknya adalah pada dua minggu sebelum melangsungkan perkahwinan keduanya dengan Zarema Zainal pada 14 Mac lalu.

Ikuti luahan perasaan Rita kepada ARTISMELETOP!. Selain itu, Rita juga bercerita mengenai perkembangan kes mahkamahnya dan juga tentang dirinya yang tiada masa memikirkan tentang lelaki dalam hidupnya.






ARTISMELETOP!: Boleh Rita kongsikan mengenai perkembangan mahkamah?

RITA: Buat masa ini, kes tuntutan nafkah anak sedang dibicarakan. Ada dua kes baharu di Mahkamah Tinggi Shah Alam yang sedang dibicarakan iaitu nafkah tertunggak isteri dan nafkah mutaah (satu bayaran yang wajib ke atas suami yang diberi kepada isteri yang telah diceraikan tanpa sebab munasabah mengikut Hukum Syarak).

Apabila kes mahkamah ini berlarutan lama, adakah ia menganggu kehidupan anda?

Tak menganggu pun sebab saya sudah naik turun mahkamah hampir dua tahun.

Aidil sudah berkahwin. Bagaimana pula dengan Rita?

Ramai orang tanya saya bila lagi hendak cari pengganti. Kadang-kadang ada kawan-kawan yang menyuruh saya cari teman lelaki. Mereka tidak faham sebab perkara ini kena datang dari hati. Saya tiada masa fikir untuk mencari pengganti. Diri saya sudah tidak penting. Apa yang penting sekarang adalah anak-anak saya. Sebab saya seorang diri yang membesarkan mereka. Sayalah ibu dan sayalah bapa kepada mereka.

Ada yang beranggapan anda mewahkan anak-anak? Benarkah?

Saya bukan mewahkan anak-anak. Sebenarnya saya rasa anak-anak kurang dapat kasih sayang. Mereka hanya dapat kasih sayang saya sahaja. Saya belikan apa yang penting untuk mereka. Saya hantar mereka ke sekolah mahal sebab inginkan yang terbaik untuk mereka.


RITA tidak menyangka Aidil kini telah melupakan segala janji yang dibuatnya untuk dua anak mereka ini.

Andai kata tidak bertemu jodoh sampai bila-bila, adakah anda sudah bersedia?

Saya selesa sangat duduk dengan anak-anak. Bila balik rumah penat selepas bekerja (berlakon) tengok anak-anak, saya rasa gembira. Kadang-kadang, saya fikir juga kalau ada suami balik rumah nanti bergaduh dengan suami pula. Namun, benda ini tidak terjadi pada saya. Walaupun penat bekerja, apabila balik saya rasa gembira. Ia tidak merisaukan saya jika tidak bertemu jodoh lagi. Saya tidak berasa sunyi sebab dua anak saya itu pun sudah cukup menggembirakan saya.

Adakah mana-mana lelaki yang cuba mendekati anda?

Memang ada yang menghantar mesej menegur saya tetapi saya sekat orang itu.

Bagaimanakah hidup anda dalam membesarkan dua anak seorang diri?

Orang selalu cakap apa yang saya peroleh tidak kira dalam bidang lakonan itu semua adalah rezeki daripada anak. Saya berlakon sebab ingin cari rezeki untuk anak-anak. Segala perbuatan mahupun pekerjaan yang saya buat saya niat untuk anak-anak. Alhamdulillah, rezeki sentiasa ada untuk saya dan anak-anak.

Bilakah waktu Aidil berjumpa dengan anak-anak?

Dia sudah tidak berjumpa dengan anak-anak sejak dia berkahwin kali kedua. Sebenarnya sebelum dia berkahwin, sudah sembilan bulan dia tidak bertemu dengan anak-anak. Dua minggu sebelum berkahwin, saya beri dia jumpa anak-anak. Saya minta supaya dia tidak lagi tinggalkan anak-anak. Saya cakap, tolong jangan tinggalkan anak-anak lagi. Walaupun sudah berkahwin, setiap hari telefon atau mesej anak-anak supaya anak itu ingat dia. Memang dia berjanji dengan saya dan anak-anak tetapi perkara itu (tidak jumpa anak-anak) terjadi lagi. Selepas berkahwin, sehingga kini dia belum lagi berjumpa dengan anak-anak.

Apakah perasaan anda apabila Aidil berbuat demikian?

Perkara sebegini bukan kali pertama. Sudah banyak kali terjadi. Saya rasa cukuplah. Biar Allah yang tunjukkan dan selesaikan perkara ini. Saya sudah tidak mahu peningkan kepala dengan orang yang buat anak saya sedih. Saya kasihan dengan anak saya yang kecil sebab dia sudah kenal dan boleh panggil daddy. Tetapi bila dia hilang lagi, anak-anak bertanya, ‘kenapa daddy sudah lama tidak datang?’

Paling sedih, dia berjanji untuk menyara dan menyekolahkan anak-anak. Tetapi sampai sekarang dia senyap sahaja. Saya yang menguruskan semuanya.

Adakah anda masih mengharapkan Aidil berjumpa dengan anak-anak?

Sekarang saya sudah tidak berharap dia bertemu dengan anak-anak. Jangan lagi buat anak-anak saya sedih. Saya sudah berusaha tetapi dia sia-siakan. Bersumpah itu memang makanan dia.
Previous Post Next Post