Rock Kapak belum 'terkubur'



DI ERA 90-an dulu lagu-lagu rock kapak sering menjadi halwa telinga penggemar-penggemar muzik tanah air. Dari semasa ke semasa, industri muzik tanah air mula berubah warna dan corak dengan kemunculan pelbagai genre lain seperti Hip-Hop, RnB dan pelbagai jenis muzik moden lain.

Seiring peredaran zaman, lagu-lagu rock kapak tidak lagi menjadi kegilaan ramai seperti di waktu kegemilangan era rock dulu.

Pun begitu, muzik rock ternyata punyai peminat tersendiri memandangkan sehingga kini, lagu-lagu bernostalgia ini masih dimuat naik dan dimuat turun di laman sesawang.

Bagi penggemar muzik tanah air di luar sana yang meminati alunan muzik rock zaman 90-an, anda boleh mula rasa teruja dengan kehadiran Festival Empire Rock Malaysia 2014 anjuran Kelab Penggiat Kumpulan Rock Malaysia dengan kerjasama Langkah Karya Production yang bakal diadakan pada 23 Ogos tahun ini.

Festival ini akan diadakan di Matic, Jalan Ampang bermula jam 5 petang hingga jam 11.30 malam dan antara aktiviti menarik yang akan diadakan ialah sesi artis bersama peminat, jualan dan lelongan dan juga persembahan khas yang bakal menampilkan lima kumpulan lagenda rock tanah air seperti Samudera, Junction, Sofea, Sejati dan Putera.

Dengan mempertaruhkan kumpulan-kumpulan ‘otai’ ini sebagai pembuka tirai Festival Empire Rock Malaysia 2014, acara ini dijangkakan akan menjadi acara tahunan yang akan menampilkan kumpulan-kumpulan berbeza setiap tahun.






Kumpulan Samudera yang popular dengan lagu Salam Sejahtera, Silaturahim dan Sudah Takdir Begitu bakal menggegarkan festival tersebut dengan kemunculan penyanyi asal kumpulan tersebut Ujang buat pertama kalinya di pentas konsert.

Selain itu, Junction yang popular dengan lagu Akan Ku Kenang, Sofea dengan lagu Bunga Padang Pasir, Sejati dengan lagu Bila Bunga Dipetik Orang dan Putera dengan lagu Cinta Kain Putih turut akan menghiburkan peminat-peminat mereka dengan tiket yang berharga RM45 sahaja.

Pihak penganjur masih mencari tajaan untuk menjayakan festival ini dan mereka bercadang memasukkan festival ini di dalam Tourism Malaysia dengan harapan ia bakal menjadi tarikan pelancong luar negara untuk datang ke Malaysia dan menyaksikan festival ini.

Himpun peminat rock

Idea untuk mengadakan festival sebegini sememangnya telah lama timbul, namun di atas sebab-sebab tertentu, ia baru dapat dilaksanakan pada tahun ini.

Presiden Kelab Penggiat Kumpulan Rock Malaysia, Mohd Faiz Mat Yap berkata, idea ini timbul atas dasar minat dan sebenarnya peminat sendiri yang merealisasikan impiannya untuk mengadakan festival sebegini.

“Sebenarnya saya sudah lama berhasrat mengadakan festival sebegini. Bila kita dapat kumpulkan semula otai-otai lama untuk membuat persembahan di hadapan peminat-peminat, ia satu kepuasan,” katanya.

Bagi Pengerusi Langkah Karya Production, Hazmimi Johar pula, belum ada sesiapa yang berani mempertaruhkan untuk mengadakan festival rock sebegini kerana bimbang akan penerimaannya.

Namun, Hazmimi yakin rock sebenarnya tidak pernah mati dalam hati peminat muzik tanah air dan dengan adanya festival sebegini, kegemilangan industri muzik rock boleh bangkit semula dalam industri muzik.

“Sampai sekarang masih ramai lagi yang meminati lagu-lagu rock kapak zaman 90-an dan saya merupakan salah seorang daripadanya. Sebab bila tengok dalam telefon bimbit anak-anak muda terutamanya, antara lagu-lagu yang dimuat turun untuk halwa telinga mereka adalah lagu-lagu rock kapak,” kata penerbit drama Anak Lorong ini.

Undang perkara negatif?

Muzik rock sering dikaitkan dengan perkara negatif dan salah satu daripadanya adalah dadah. Begitu juga dengan konsert baru-baru ini yang mengejutkan kita dengan kematian sekumpulan remaja akibat penyalahgunaan dadah di sebuah konsert di ibu negara.

Semua ini sedikit sebanyak menyumbang persepsi negatif daripada masyarakat terhadap konsert rock di tanah air. Pun begitu, pihak penganjur menyedari mengenai hal ini dan akan memastikan perkara sebegitu tidak berlaku ketika festival itu berlangsung nanti.

“Kita memang sedia maklum dengan kemungkinan yang akan berlaku di konsert-konsert sebegini. Semestinya sepanjang berlangsungnya festival ini, akan ada pihak berkuasa yang akan memantau pengunjung-pengunjung bagi mengelakkan perkara yang tidak diingini daripada berlaku.

“Perkara negatif yang melibatkan penyanyi rock sedikit sebanyak mengakibatkan penyanyi seangkatan terkena tempiasnya. Masalah stereotaip dalam pemikiran orang ramai sememangnya sukar diubah. Pun begitu, saya yakin terhadap penerimaan orang ramai terhadap acara ini,” kata Hazmimi.

Untuk keterangan lanjut, layari laman Facebook Empire Rock Kapak Malaysia di www.facebook.com/RockKapakMalaysia.
Previous Post Next Post