Rabbani bertahan demi amanat



DESAS-desus berhubung ketua kumpulan Rabbani, Azadan Abd Aziz, 40 untuk meninggalkan kumpulan itu sudah mula menjadi tanda tanya ramai sejak kebelakangan ini.

Berita itu akhirnya terjawab apabila Azadan sendiri mengaku mempunyai hasrat untuk meninggalkan kumpulan itu sejak 2007 lagi.

"Berita yang didengari mengenai saya itu memang benar, namun saya diamkan diri kerana mahu menghormati ahli-ahli kumpulan yang lain," katanya.

Mengenangkan perjalanan Rabbani selama ini, agak berat baginya untuk melangkah jauh mahupun meninggalkan kumpulan itu.

Sementelah memegang amanat daripada Allahyarham Ustaz Asri yang mahukan mereka terus bersatu dan memperjuangkan Rabbani yang sudah 18 tahun usianya.

Menurut Azadan, kesibukan dengan perniagaan miliknya menjadi antara punca untuk dia meninggalkan kumpulan itu tetapi sehingga kini terus bertahan demi ahli kumpulan yang lain.






"Selepas perbincangan dengan ahli-ahli lain, mereka banyak memberi ruang dan peluang untuk meneruskan perniagaan, akhirnya saya terus bertahan sehingga hari ini.

"Saya terlalu sibuk dengan urusan kerja sendiri dengan menguruskan syarikat pengurusan acara, kedai makan, taska dan kafa.

"Kesibukan dan komitmen saya terhadap perniagaan telah menyebabkan saya kurang menghadiri acara yang melibatkan Rabbani," katanya ketika ditemui selepas majlis pelancaran Iftar Ramadan di Dewan Orkid PKPS, Shah Alam.

Azadan turut menafikan hasratnya untuk meninggalkan kumpulan itu adalah disebabkan perselisihan faham dengan ahli-ahli kumpulan lain.

Bagaimanapun dia tidak menolak kemungkinan bahawa setiap kumpulan pasti akan ada berlaku salah faham dan tidak akan lari daripada membuat kesilapan.

"Ia sudah menjadi asam garam dalam berkumpulan dan yang penting ia perlu diselesaikan dengan baik," katanya.

Ahli beri sokongan

Bagi ahli kumpulan Rabbani yang lain, Mohd Asri Ubaidullah, 42 berkata, kesemua ahli mengetahui Azadan mempunyai perniagaan sendiri yang perlu diusahakan dan mereka tidak pernah menghalang, sebaliknya menyokong perniagaan itu.

"Kami tidak kisah Azadan menguruskan perniagaan, selagi dia boleh tolong tengok-tengok Rabbani dan turut serta dalam acara atau persembahan yang melibatkan kumpulan sudah tidak menjadi masalah," katanya.

Menurutnya, kalau Azadan benar-benar mahu keluar dari dahulu lagi dia sudah keluar. Namun, Alhamdulillah dia masih tetap bertahan sehingga hari ini.

"Dia terlalu sayangkan Rabbani. Walaupun sibuk, dia akan cuba juga datang ke persembahan Rabbani dan akan muncul secara tiba-tiba.

"Bukan saja Azadan, ada juga ahli-ahli lain yang turut mempunyai perniagaan sendiri. Tapi kami tetap menyokong antara satu sama lain," katanya.

Asri turut memuji dan bangga dengan Azadan yang sehingga kini banyak membantu kumpulan mereka dalam mendapatkan persembahan lagi-lagi menjelang Ramadan ini.

Persembahan Ramadan di PKPS

Setiap kali menjelang Ramadan, kumpulan Rabbani sangat sinonim dengan persembahan di Hotel Singgahsana. Bagaimanapun, tradisi selama 22 tahun itu terhenti selepas hotel itu ditutup kerana proses pembinaan.

Ternyata nasib masih menyebelahi mereka setelah menerima tawaran persembahan sepanjang Ramadan di Dewan Orkid Wisma Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS).

Malah bermula 1 Ramadan ini, peminat dapat menyaksikan Rabbani membuat persembahan ketika berbuka puasa.

"Alhamdulillah tahun ini, secara kebetulan kami dipelawa oleh PKPS untuk membuat persembahan di sini.

"Rabbani pernah beberapa kali membuat persembahan di sini sebelum ini. Lagipun lokasinya di Shah Alam memudahkan pergerakan kami," katanya.

Iftar Ramadan di Dewan Orkid akan bermula 1 hingga 28 Ramadan dengan menawarkan kadar bayaran RM58 bagi dewasa, RM45 warga emas dan RM39 bagi kanak-kanak di tujuh hingga 12 tahun ke atas.

Terdapat 90 jenis juadah akan disediakan setiap hari meliputi menu istimewa puteri berendam, makanan kampung, barat, Jepun, tradisional, gril dan BBQ, mi, pencuci mulut dan minuman.

Hasrat terbit album baharu

Mengulas berhubung perancangan untuk membuat album baharu, Asri berkata, Rabbani memang ada niat untuk membuat album baharu cuma kekangan masa dan keadaan tidak mengizinkan.

"Kami memerlukan kos untuk membuat album dan kos itu biarlah datang daripada pihak kami sendiri," katanya.
Previous Post Next Post