BERSEMPENA dengan Minggu KaryaOne, Fakulti Filem, Teater dan Animasi (FiTA), Universiti Teknologi MARA (UiTM) menganjurkan pementasan 'Teater Muzikal Mencorak Destini : Perjuangan Maruah dan Airmata' pada 11 hingga 13 Jun lalu.
Projek pementasan ini merupakan penilaian akhir pelajar Semester 6 Program Pengurusan Seni dan Program Teater berlangsung hampir tiga jam di Dewan Agung Tuanku Canselor (DATC), UiTM Shah Alam.
Diarahkan pensyarah fakulti itu sendiri, Aminah Abd. Rhapor, teater ini merupakan sebahagian daripada program anjuran FiTA yang menawarkan pelbagai aktiviti akademik seperti wacana, bengkel, seminar dan persembahan; termasuk penayangan hasil-hasil kreatif pelajar fakulti tersebut.
Antara barisan pelajar yang menjayakan pementasan tersebut ialah Che Ammar, Suhana, Azmeer, Mazlan Tahir dan ramai lagi.
Menurut pengarah filem tersohor yang juga Dekan FITA, Professor A. Razak Mohaideen, pementasan teater muzikal ini memberi peluang kepada pensyarah dan pelajar mendapatkan pengalaman hand-on di samping dijadikan projek penilaian beberapa subjek di FiTA.
"Pementasan ini bukan sahaja membantu pelajar mendalami ilmu penganjuran teater menerusi pementasannya.
"Ianya juga mempunyai kandungan skrip yang baik dan selaras dengan matlamat UiTM dan kerajaan," katanya.
Teater muzikal ini mengisahkan tentang perjuangan mengubah destini seorang anak Melayu bernama Hamid yang lahir di dalam kemiskinan.
Berlatar belakangkan tahun 1960-an dan 70-an merupakan tempoh masa yang getir apabila berlaku kesukaran ekonomi, rakyat terutamanya orang Melayu yang terpaksa kehidupan yang agak susah ketika itu.
Peluang pekerjaan yang terhad, tahap pendidikan anak Melayu yang rendah dan negara yang menghadapi bahang 13 Mei 1969 menyebabkan manusia berjuang untuk mendapatkan sesuap nasi walaupun terpaksa meminta-minta.
Kemiskinan mengajar Hamid untuk memperbaiki diri, bercita-cita tinggi, membakar jiwa dan semangat sehingga menjadi salah seorang anak bangsa yang berjaya.
Beliau yang berjaya merempuh onak dan duri akhirnya berjaya membawa diri dan keluarganya keluar dari kepompong kemiskinan. Sejak itu, beliau tekad untuk membantu mencorak dan memartabatkan destini anak bangsa menerusi Universiti Teknologi MARA (UiTM).
Kisah suka duka, pengorbanan, cita-cita, kecekalan, kepercayaan, rintangan, ketegasan, perjuangan, semangat dan kejayaan ini diharapkan menjadi panduan, harapan dan pembakar semangat dalam melahirkan Anak Bangsa ke arah pembangunan diri, ilmu pengetahuan, memajukan masyarakat, cintakan budaya dan bangsa serta cintakan negara.
Jika diperhatikan menerusi teater ini, dari segi props dan audio wajar dipuji kerana mereka melakukan persediaan rapi sepanjang pementasan
Biarpun 20 buah lagu dinyanyikan secara 'miming' namun lagu-lagu tersebut nyata segar dan sesuai dengan jalan cerita.
Malah aksi pertarungan juga dilihat begitu bertenaga walaupun ada kalanya watak Hamid kelihatan agak kekok mulanya.
Secara keseluruhan, dari segi aspek masa perlu diperbaiki kerana pertukaran props yang terlalu banyak mengganggu tumpuan penonton.
Begitu juga aksi perlawanan yang dilihat agak ganas dan kurang sesuai dipertontonkan kepada kanak-kanak yang turut sama hadir.
Galas tiga tanggungjawab
Sementara itu, Pengarah Projek dan Pengarah Persembahan teater muzikal ini, Aminah Abd. Rhapor berkata pementasan teater muzikal ini bukan sahaja untuk merekodkan perjuangan Naib Canselor, Tan Sri Sahol Hamid Abu Bakar, tetapi juga untuk menyemaikan cinta kasihkan negara dan bangsa.
Sebagai pensyarah fakulti tersebut, dia menggalas tugas besar bagi menjayakan pementasan tersebut selama tiga hari.
Biarpun hanya terlibat pada dua malam pementasan namun Aminah dilihat mampu menjiwai wataknya sebagai ibu kepada Hamid dengan begitu berkesan.
"Penat, tak cukup tidur, hilang suara merupakan pengorbanan besar saya sebagai kepala dalam projek ini.
"Tetapi cabaran yang lebih besar apabila saya terpaksa menggalas tiga tugas besar termasuk salah seorang pelakon utama," katanya.
Bagi jalan cerita, dia berkata sangat bertuah kerana (Tan Sri) Sahol Hamid banyak memberikan pendapat dalam teater ini.
Bahkan, adik beradik beliau dikatakan turut menyumbang tenaga dan buah fikiran agar jalan cerita tidak lari daripada sejarah kehidupan Naib Canselor UiTM itu.
"Saya agak bernasib baik kerana hubungan kami agak rapat dan perbincangan sering dilakukan agar ia menepati kisah kehidupan Tan Sri (Sahol).
"Kebetulan watak ibu bertepatan dengan karakter saya sehingga menerima pujian daripada beliau dan adik beradiknya," katanya.
Sambungnya, selepas pementasan pertama tamat Sahol dikatakan menangis kerana jalan cerita tersebut mengingatkan beliau pada arwah ibunya.
Selain jalan cerita, Aminah babak pertarungan dilihat begitu asli kerana hasil latihan tanpa henti oleh kesemua pelakon yang terlibat.
"Saya mahu gambarkan kehidupan Tan Sri kepada umum yang ketika itu sangat aktif dengan sukan tomoi atau Muay Thai.
"Biarpun ditentang ibunya, namun Tan Sri begitu gigih mencari wang semata-mata untuk menyara keluarganya," katanya.
Tambah Aminah, ketika zaman 60-an, gangsterism berleluasa dan siapa yang lemah akan ditindas. Atas alasan tersebut, Tan Sri belajar seni mempertahankan diri selepas sering dibuli budak kampungnya.
Apa yang menarik mengenai pelakon-pelakonnya, dia berkata setiap watak mempunyai pelakon pengganti sekiranya berlaku masalah apabila pelajar atau pensyarah yang terlibat jatuh sakit.
Mirip Tan Sri Sahol
Sementara itu, teraju utama bagi teater ini, Che Ammar, 23, dipilih kerana wajahnya hampir seiras dengan Sahol Hamid ketika zaman mudanya.
Dia yang memegang watak sebagai Sahol sebenarnya pernah melakukan dokumentari mengenai Naib Canselor sebelum ini.
"Ramai yang menegur rupa saya agak sama dengan Tan Sri selepas membintangi dokumentari itu bersama pensyarah saya, Puan Aminah.
"Mungkin sebab itu saya dipilih untuk memegang watak utama kerana wajah saya dan sangat bersyukur diberi peluang ini," katanya.
Berkongsi pengalamannya ketika menjalani latihan pementasan, dia berkata akibat satu aksi yang dilakukan kakinya tercedera.
Katanya, ia merupakan kali pertama mengikuti latihan seni mempertahankan diri namun dia sebenarnya biasa melakukan aktiviti lasak.
"Malah ciri-ciri lain yang dilihat adalah bentuk tubuh saya yang sesuai untuk beraksi dalam sukan ini.
"Tidak dinafikan, walaupun agak letih dengan latihan ini namun saya sangat seronok dan teruja dengan pementasan ini," katanya yang agak lega selepas persembahan berakhir.
Dalam masa sama, Ammar berkata cabaran paling sukar dilalui sepanjang pementasan adalah babak bertarungan bersama samseng.
"Bukan sekali dua, tetapi banyak babak lawan yang perlu saya lakukan.
"Saya bernasib baik kerana kecederaan yang dialami tidak mengganggu prestasi lakonan saya," katanya.
Ditanya mengenai kerjaya seninya, Ammar berkata dia sudah bersedia untuk terjun ke dunia hiburan dan bersaing dengan pelakon yang sedia ada dalam industri.
"Jika ramai yang berkata bahawa pelakon tidak perlukan sebarang kelayakan untuk berlakon atau menyanyi.
"Bagi saya, pelajaran merupakan satu bonus dan saya menganggap ia sebagai satu tiket untuk bergerak ke hadapan," katanya.