Shima Anuar
SHIMA Anuar merupakan pelakon yang semakin menempah nama dalam arena seni tanah air.
Bakat lakonannya tidak boleh disangkal apatah lagi gadis berumur 23 tahun ini merupakan pemegang diploma bidang Seni Lakon dari Universiti Teknologi Mara (UiTM).
Dikenali melalui filem-filem antaranya Sumpahan Kum-Kum, Bini-biniku Gangster, Flat 3A dan 7 Petala cinta, kerjaya Shima memerlukannya sentiasa kelihatan langsing di hadapan kamera.
Keyakinannya menggayakan apa sahaja fesyen dan potongan baju di samping kelihatan cantik dalam masa sama membuatkan ramai yang tertanya-tanya akan rahsia selebriti ini kekal langsing.
Ketika ditemui dalam satu majlis pratonton filem Isnin lalu, aktres jelita berketinggian 164 cm ini tidak lokek berkongsi tips dan rutin kecantikannya bersama Zass.
Apa pengertian cantik dan sihat bagi anda?
Bagi saya, kecantikan luaran mesti diperoleh dengan cara yang sihat. Contohnya kalau kita inginkan bentuk badan yang langsing, kena dapatkan melalui cara semula jadi yang tidak memudaratkan diri sendiri.
Sebagai seorang pelakon, bagaimanakah anda menjaga pemakanan agar sentiasa kelihatan langsing?
Saya bukanlah seorang yang sudah sedia memiliki tubuh langsing. Berat saya senang naik dan senang turun. Tapi, sebagai seorang pelakon saya wajibkan diri untuk kawal berat badan sebab dalam televisyen atau skrin kita akan kelihatan lebih besar.
Berat yang ideal dengan saya adalah 50 kg. Saya pernah mencecah sehingga ke 54 kg, jadi bila saya saya timbang dan rasa sudah berlebihan berat badan, saya akan diet kurangkan makan nasi. Dalam seminggu, boleh katakan sangat jarang saya makan nasi.
Tapi, saya gantikan dengan oat dan makanan berserat tinggi yang lain. Saya juga jadikan kemestian untuk makan buah seperti epal dan pisang untuk gantikan pengambilan nasi.
Bagaimana pula dengan senaman? Adakah anda sering berkunjung ke gimnasium untuk bersenam?
Saya memang amalkan senaman, malah saya mempunyai mini gym sendiri di rumah. Selalunya saya kerap bersenam menggunakan treadmill dan peralatan senaman lain yang simple.
Kerjaya sebagai pelakon memerlukan anda sentiasa mengenakan mekap. Bagaimanakah anda menjaga wajah anda agar bebas dari jerawat atau masalah kulit yang lain?
Ya, saya akui memang saya sentiasa kena pakai mekap bila bekerja, kadang-kadang sampai sehari suntuk mekap tersebut melekap di wajah.
Bila mekap di set pula selalunya beramai-ramai dan gunakan peralatan yang sama, jadi saya tak nafikan memang kulit saya ada juga naik jerawat kecil-kecil tu (whiteheads).
Pun begitu, kalau tak ada penggambaran memang saya takkan pakai mekap langsung untuk biarkan kulit bernafas. Waktu malam sebelum tidur pula, tak kira penat macam mana sekalipun saya akan buang mekap dan cuci muka sebersihnya serta pakai pelembap wajah.
Alhamdulillah, kulit saya tidak begitu sensitif atau bermasalah. Saya cuma perlu konsisten jalani rutin penjagaan wajah yang asas tu.
Apakah produk kecantikan yang ada gunakan?
Saya guna set kecantikan produk SKII. Memang dah lama pakai dan ternyata ia memang sesuai dengan kulit saya.
Bagaimana pula dengan rutin kesihatan? Apakah cara anda untuk memastikan tubuh kekal sihat dan bertenaga dalam menjalani jadual padat sebagai pelakon?
Saya jaga kesihatan dengan cara paling mudah, iaitu minum air kosong. Setiap hari, saya wajibkan diri minum sekurang-kurangnya dua botol besar air mineral 1.5 liter tu. Sebab kalau kita sakit pun, doktor akan nasihat benda yang sama, iaitu banyakkan minum air kosong.
Penjagaan rambut juga penting untuk kelihatan cantik. Adakah anda mempunyai rutin tertentu bagi menjaga rambut anda?
Ya, saya rajinkan diri untuk buat rawatan rambut di salon seminggu sekali. Sebab rambut saya kering dan diwarnakan, jadi rawatan rambut memang penting dan perlu dilakukan dengan kadar yang diperlukan.
Pernahkah anda mengalami masalah berkaitan berat badan dan kesihatan?
Pernah, semuanya gara-gara terlalu obses ingin kurus suatu ketika dahulu. Saya pernah tak makan sehari suntuk sampai kena gastrik yang teruk dan dimasukkan ke hospital.
Bila tahu sakitnya macam mana bila kena gastrik dan masukkan ubat dalam badan ni, saya tak mahu buat macam tu lagi dan pilih untuk amalkan diet secara sihat.
Tips anda kepada pembaca untuk kekal cantik dan sihat?
Kalau nak ikutkan, saya pun bukanlah seorang yang memiliki badan langsing semula jadi. Saya pernah berbadan besar. Jadi, kita kena letak target berapa berat badan ideal yang ingin kita capai sebagai motivasi. Dan pastikan benda yang kita buat tu sihat dan konsisten.
Selain itu, jangan ambil pil pelangsing sebab ia menimbulkan kesan sampingan dalam jangka masa panjang. Sebab saya pun pernah ambil pil-pil macam tu juga, kesannya terasa bila rambut saya mula gugur. Jadi, saya tak galakkan orang ambil pil untuk kurus.
Paling penting, kena minum banyak air dan bersenam sebab tiada jalan pintas untuk kurus.
Apa perkembangan terbaru anda?
Projek lakonan saya yang sedang ditayangkan adalah filem Awak Nak Kahwin Dengan Saya? dan drama Suamiku Jururawat Isteriku Doktor. Selain itu, saya bakal menjalani penggambaran telefilem Raya untuk Astro.