Syarif (kanan) dan Alyph.
Kumpulan Sleeq mendedahkan mereka pernah kerugian kira-kira RM15,000 gara-gara ditipu oleh syarikat pengurusan lama ketika mula-mula ingin mengukir nama sebagai penyanyi baharu pada tahun 2009.
Salah seorang ahlinya, Syarif Ahmad berkata, walaupun dia bersama seorang lagi anggota Sleeq iaitu Alyph Abdullah mendapat pelbagai undangan persembahan, namun mereka tidak mendapat wang yang sepatutnya diterima.
"Nak menjadi penyanyi bukannya senang. Gara-gara tersalah pilih syarikat pengurusan, saya dan Alyph pernah ditipu sehingga RM15,000. Daripada bayaran duit undangan persembahan sehinggalah ke isu royalti ia menjadi masalah.
"Sampaikan kami rancang mahu meminjam wang daripada makcik-makcik serta nenek kami bagi menghasilkan sendiri album. Tetapi mujurlah, Aaron Aziz sudi membantu kami menjadi artis naungannya iaitu Aaron Aziz Production.
"Apa-apa pun semua itu menjadi pengalaman dan pengajaran untuk kami menjadi lebih matang," katanya.
Syarif atau nama sebenarnya Ahmad Syarifullah Ahmad dan Alyph ditemui pada majlis pelancaran album ketiga mereka iaitu SleeQ The Album 2014 di restoran The Bee, Publika, di sini pada Selasa.
Sleeq menerima penghargaan daripada pengedar album mereka, Warner Music. Foto ROHAIZAT MD DARUS
Album tersebut memuatkan sebanyak lapan buah lagu iaitu Salam Semua, #1, Tiba Masa, Lari, NGTU, Untuk Dia, Tepi Sikit dan Salam Semua (unplugged).
Beritahu Alyph, lagu-lagu tersebut merupakan kisah perjalanan mereka sepanjang 10 tahun bergelar penyanyi berkumpulan bermula di Singapura sehinggalah mereka berhijrah ke Kuala Lumpur.
"Walaupun kebanyakan lagu menampilkan penyanyi-penyanyi lain seperti Najwa Latif (Untuk Dia), Hazama (Lari), Aaron Aziz (Salam Semua), Joe Flizzow (Tepi Sikit), tetapi liriknya berkisarkan tentang kehidupan kami.
"Selepas Tepi Sikit, lagu #1 akan menjadi single terbaharu kami. Ia mengisahkan tentang kekasih kami serta wanita-wanita lain di luar sana," ujarnya.
Beritahu Alyph mereka juga merancang untuk mengadakan konsert pada tahun depan sebagai menghargai peminat-peminat di Malaysia serat Singapura.
"Apa-apa pun kami akan selesaikan urusan perkahwinan kami dahulu di mana saya akan berkahwin pada 13 September depan manakala Syarif pula pada 22 Noverber 2014," tuturnya.