PEMENANG rekrut lelaki The Band (dari kiri), Akmal, Hadi, Juicy, Zaha dan Allan.
SEPANJANG tempoh sepuluh minggu bersiaran, rancangan realiti pencarian bakat nyanyian kumpulan pop baharu, The Band menerima tamparan hebat daripada setiap sudut.
Bukan sahaja penonton, bahkan program yang disiarkan setiap hari Sabtu pukul 10 malam di saluran Astro Ria (104 Astro) dan Mustika HD (134 Astro) itu turut mendapat reaksi bercampur-aduk daripada golongan artis.
Malah, ketika siaran langsung akhir The Band pada hari Ahad lalu pun rancangan itu masih mendapat kritikan hangat di laman-laman sosial.
Paling tidak pun, ada yang mempertikaikan kualiti persembahan rekrut yang tidak banyak berkembang dari minggu ke minggu.
Malah, ada juga komen yang menyamakan rancangan yang lahir daripada idea syarikat Kumpulan Sedania itu cuba mencedok konsep beberapa program televisyen terdahulu seperti Gangstarz dan Popstar.
Mengulas mengenai keberkesanan dan hala tuju 12 orang rekrut yang telah dipilih sebagai pemenang The Band, kata Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Sedania, Datuk Azrin Mohd. Noor, mereka akan didedahkan ke peringkat antarabangsa selepas ini.
“Ini baru permulaan kepada perjalanan rekrut memenangi The Band musim pertama dan mereka tidak boleh sia-siakan peluang yang telah diberikan.
“Walaupun pelbagai kritikan diterima saban hari sepanjang rancangan ini disiarkan tapi saya memuji keupayaan semua rekrut yang berusaha untuk menyanyi dan menari serentak pada satu-satu masa yang sebenarnya bukan mudah.
“Insya-Allah, kami telah berbincang dengan beberapa stesen televisyen di Eropah dan Amerika Syarikat untuk mengetengahkan rancangan ini ke peringkat antarabangsa.
“Malah, Singapura dan Indonesia bersetuju untuk membeli format rancangan ini untuk siaran di negara tersebut,” katanya selaku penyumbang idea asal The Band.
Menyokong usaha itu, kata salah seorang juri tetap The Band, Yusry Abdul Halim, tidak adil untuk membandingkan rekrut rancangan realiti itu dengan program TV sedia ada.
“Beri mereka peluang dan waktu, jangan terlalu cepat menilai mereka kerana saya yakin bukan senang untuk membina personaliti, menyanyi, menari dan memastikan stamina dalam keadaan terbaik,” ulasnya.
Menerusi konsert akhir The Band, 12 rekrut yang terdiri daripada enam lelaki dan wanita dipilih untuk membentuk kumpulan The Band.
Mereka ialah Ayu G, Zera, Jen, Heela, Mustika dan Wanie mewakili rekrut wanita manakala Allan, Zaha, Akmal, Juicy, Ikhwan dan Hadi selaku pemenang rekrut lelaki.
Setiap kumpulan memenangi wang tunai RM100,000 dan berpeluang untuk mengikat kontrak sebagai artis naungan Astro serta tajaan pembikinan album kompilasi serta trofi.