Berkat Ramadan: UNIC tampil single baharu


UNIC

SEMPENA menyambut Ramadan pada tahun ini, kumpulan nasyid popular, UNIC tampil dengan single duet terbaharu Pesona Ramadhan bersama kumpulan Simfoni.

Lagu berdurasi empat minit ini adalah hasil karya salah seorang anggota UNIC yang dikenali sebagai Bazli dan liriknya ditulis pakar motivasi terkenal, Pahrol Md Juoi.

Berkongsi lebih lanjut mengenai single itu, Ahmad Fadzli Abd Aziz mewakili dua lagi anggotanya, Bazli Hazwan Che Osman dan Mohd Fakhrul Radhi Kamarudin memberitahu, lagu itu dicipta untuk berkongsi kepada peminat supaya tidak mensia-siakan Ramadan yang penuh berkat.

“Lagu ini menggambarkan suasana di bulan Ramadan di mana umat Islam perlu lebih mempertingkatkan amal ibadah untuk mendapat ganjaran ALLAH yang sangat hebat nilainya.

“Setiap masa yang ada tidak kira siang mahupun malam, perlulah diisi dengan sebaiknya bagi meraih keredaan ALLAH.

“Selain itu lagu ini menceritakan tentang kelebihan yang terdapat di bulan Ramadhan,” katanya.

Apa yang menariknya mengenai lagu ini, ia diberikan secara percuma sebagai tanda terima kasih UNIC kepada peminat setia mereka.

“Sebenarnya lagu ini dilancarkan di media sosial pada 28 Jun 2014 iaitu sehari sebelum umat Islam berpuasa.

“Kali ini juga UNIC sangat berbesar hati memberikan lagu ini secara percuma kepada peminat sebagai tanda terima kasih dan penghargaan kami kepada peminat yang banyak menyokong dan mendoakan aktiviti seni UNIC selama ini.

“Kepada peminat yang mahu mendengar Pesona Ramadan, mereka boleh memuat turunnya menerusi www.unicmyshop.com,” ujarnya.



Bantu pelarian Syria

Selain terlibat dengan aktiviti seni, kumpulan UNIC juga sering terlibat dengan aktiviti kemanusiaan.

Pada April lalu, ketiga-tiga anggota UNIC ini telah menyertai program kemanusiaan iaitu Muslim Care Malaysia untuk menyampaikan bantuan daripada hasil sumbangan rakyat Malaysia kepada pelarian Syria di Yarmouk, Jordan.

Bercerita mengenai pengalaman itu, Fadzli memberitahu penyertaan mereka dalam program ini merupakan satu pengalaman yang tidak dapat digambarkan.

“Melihat sendiri penderitaan dan kesukaran hidup mereka di sana, kami berharap lebih banyak bantuan dapat disalurkan kepada mereka.

“Bagi kami sendiri, ini adalah satu permulaan untuk menyertai misi-misi bantuan seperti ini dan insya-ALLAH kami akan terus komited untuk membantu mereka yang memerlukan bersama Muslim Care Malaysia.

“Di samping itu juga, kami memohon supaya seluruh rakyat di negara ini turut sama berganding bahu membantu meringankan beban mereka yang kurang bernasib baik ini,” katanya yang mensasarkan RM1 juta kutipan sumbangan untuk disampaikan kepada pelarian Syria.

Sumbangan boleh disampaikan melalui akaun Muslim Care Malaysia, Maybank (564490413882) / Bank Islam (140140- 1014- 7470) / Bank Muamalat (140-1000-7654-717).




Previous Post Next Post