CAHAYA di wajah tiga wanita itu bersinar bahagia. Daripada ulas senyuman dan lirikan mata, masing-masing menyatakan keterujaan. Eja Saifuddin, Betty Banafe dan Noryn Aziz masing-masing sudah melengkapi pencarian menjadi wanita sejati.
Mereka bercerita dalam nada yang sama dan ketawa mengenangkan alpanya zaman muda. Paling membahagiakan, gelombang keibuan yang sarat dalam jiwa sudah mampu dikongsi bersama.
"Cerita tentang anak sampai akhir zaman pun tidak akan habis. Sekarang corak hidup, bahasa dan lenggok pertuturan kami lebih kurang sama.
"Mungkin itu yang mengakrabkan lagi hubungan ini," ungkap Eja saat dicungkil bicaranya bersama Betty dan Noryn yang sedang menghitung detik sebelum bergelar ibu itu.
Besar hati dikunjungi Eja dan Betty untuk sama-sama menceriakan suasana, Noryn sebenarnya agak mengah membawa perut. Usia kehamilan yang sudah menjengah 34 minggu itu sebenarnya memaksa Noryn menjadi kurang aktif, tetapi semangat dan tawanya masih sama.
"Kalau ikutkan hati, mahu juga saya merasa puasa di Terengganu seperti tahun-tahun sebelum ini, tapi suami kata lebih baik saya tak ke mana-mana. Insya-Allah puasa dan raya tahun depan, daripada berdua kami akan jadi bertiga," jelas isteri kepada Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad itu teruja.
Membawa bersama puteri sulungnya, Julia Claire Dargus yang baru berusia tujuh bulan, Betty Banafe pula harus mencatu waktu. Dia tidak boleh leka bercerita kerana ada ketika, anak kecil itu merengek mahu disusukan.
Begitulah suasana pertemuan tiga wanita yang berbeza fasa keibuan ini. Diajak bercerita tentang rencana sambutan lebaran yang tidak lama lagi datang bertandang, masing-masing membayangkan kemeriahan yang dilimpahi cahaya.
FASA keibuan dan bercerita dalam nada yang sama mengeratkan hubungan Eja, Noryn dan Betty.
Syawal bulan kemaafan - Eja
Setiap orang punya pengertian dan perbezaan suasana sambutan hari raya.
"Masa muda dahulu, sambut raya mesti nak berlebih-lebih. Tapi apabila sudah masuk usia 40-an, saya lebih kerap mendekatkan diri dengan majlis agama, perasaan yang lebih besar ialah sayunya hendak meninggalkan Ramadan.
"Tapi, raya tetap raya juga. Ramadan bulan untuk kita memohon keampunan daripada Allah manakala Syawal bulan kita untuk berjumpa dengan sanak-saudara dan sahabat-handai serta bermaaf-maafan," kata Eja.
Ibu kepada Nur Eishal, 5, itu seperti kebanyakan ibu yang lain. Sejak menjadi ibu, perkara pertama yang perlu difikirkan menjelang hari raya ialah persiapan untuk anak.
"Soal persiapan hari raya, kami sebenarnya tidak pernah memakai pakaian sedondon. Suami akan pakai baju Melayu yang sudah ada dalam almari, saya pula selalu ada baju yang ditempah.
"Selalunya kami akan cari baju Eishal agar warnanya boleh dipadankan dengan baju yang kami ada," ujar Eja yang bakal menyambut raya di rumah keluarga suaminya di Ipoh, Perak tahun ini.
Tambah Eja: "Kalau raya di rumah ibu saya di Puchong, Selangor raya kami biasa-biasa sahaja sebab adik-beradik pun tak ramai, anak-anak buah pun begitu juga.
"Tetapi di Ipoh, suasananya berbeza, di sana riuhnya lain macam. Bayangkan saya sudah ada cucu saudara di sana. Ketika itu, Eishal sudah entah ke mana, dah tak lekat dengan saya lagi dah," cerita Eja.
DI mata Noryn, Eja seperti kakak yang dihormati, manakala Noryn menjadi sahabat yang selalu ada untuk Betty.
Noryn kawal selera makan
Sarat hamil pada bulan puasa, Noryn mengakui ada masanya dia tidak dapat menunaikan ibadah berpuasa dengan sempurna. Namun, kemuliaan Ramadan yang dalamnya ada malam yang mengatasi rahmat seribu bulan itu cuba digunakan sebaik-baiknya oleh Noryn.
"Saya gunakan bulan ini untuk beribadat dan memohon doa agar proses kelahiran anak saya nanti dipermudahkan. Harap dapatlah juga beraya," ujar Noryn yang dijangka bersalin sekitar September nanti.
Ketika perasaan bahagia menyelubungi dada dan keterujaan menimang cahaya mata yang tidak mampu dibendung, namun, Noryn turut terkesan atas kejadian malang menimpa pesawat Malaysia Airlines MH17 serta serangan yang berlaku di Gaza, Palestin.
"Ramadan dan raya tahun ini buat kita berfikir. Tak habis dengan serangan di Gaza, kita dikejutkan pula dengan berita pesawat MH17 yang terhempas akibat ditembak. Mesti ada hikmah di sebalik semua kejadian itu," Noryn meleraikan keluhan di dada.
Melanjutkan perkongsian, wanita berumur 37 tahun itu juga sedikit risau apabila doktor menyarankan agar dia mengawal selera makan.
"Kalau berat badan saya melebihi berat yang sepatutnya, kandungan gula dalam darah juga naik, doktor risau saya berisiko untuk bersalin secara pembedahan. Kalau boleh saya nak bersalin normal.
"Jadi, sepanjang nak raya dan raya nanti saya kena kawal selera makan. Sekarang sudah terbayang-bayang ketupat, lemang dan rendang. Harap bayi dalam perut bersabar, tunggu habis raya dulu sebelum keluar tengok dunia," lentur Noryn yang bakal berhari raya di rumah baharunya di Damansara, Kuala Lumpur tahun ini.
Raya pertama sebagai ibu - Betty
Dramatis berdarah Arab, Betty Banafe, 34, pasti mempunyai rencana Aidilfitri yang berbeza berbanding dua sahabatnya, Noryn dan Eja. Dia yang membina rumah tangga bersama Bruce Dargus, lelaki berketurunan Inggeris dan Amerika di sebelah ibu manakala berdarah Arab dan Lebanon di sebelah bapanya. Baru 18 bulan bergelar isteri, Betty kini diulit bahagia dengan kehadiran puteri sulung, Julia, 7 bulan.
"Tahun ini buat pertama kalinya saya akan beraya sebagai seorang ibu, perasaannya lain macam. Tentulah banyak persiapan untuk Julia, tapi saya bersyukur sebab rezekinya cukup murah.
"Begitu juga dengan Ramadan, tahun ini juga tahun pertama saya berpuasa dengan menyusukan anak," lentur Betty, 34.
Paling disyukuri, suaminya Bruce juga sudah boleh berpuasa dengan baik.
Mengucap syukur atas anugerah paling berharga dalam hidupnya, Betty menyifatkan Julia sebagai pengikat kasih sayang antara dia dan suami begitu juga dengan keluarga mentua.
"Atas permintaan suami dan keluarga mentua juga, tahun ini, buat pertama kali dalam seumur hidup, saya tidak akan beraya bersama keluarga di Johor Bahru. Sebaliknya, saya akan beraya di Kuala Lumpur bersama keluarga mentua.
"Sedih memanglah terasa, tetapi itulah adat berumah tangga. Saya dan suami memang sedang belajar untuk bertoleransi dalam banyak perkara," katanya yang sedang berkira-kira menu juadah hari raya untuk dimasak di rumah mentua kelak.