Fizi, Shakilla berteman mesra



PERIHAL isi hati dua bakat baharu, Fizi Ali dan Shakilla Khoriri jarang disentuh. Barangkali cerita cinta bukan prioriti untuk menghiasi kembara seni mereka.

Pertemuan eksklusif diaturkan beberapa bulan sebelum masing-masing mengosongkan jadual seharian suntuk untuk sesi fotografi bersama Kosmo! di Hotel Marriot, Putrajaya baru-baru ini.

Hadir bersama, baik Fizi mahupun Shakilla kedua-duanya tidak canggung untuk mengatur butir bicara dan membina sebuah atmosfera selesa bersama penulis.

Terus soalan pertama yang diajukan, tentang sejauh manakah hubungan mereka berdua setakat ini?

"Kami rapat yang kadang-kadang kami berkongsi semua perkara, susah dan senang. Selalu orang tanya kami bercintakah tapi saya tidak akui dan tidak nafikan.

"Sayang itu ada sebab dia (Fizi) merupakan orang yang paling banyak tahu mengenai diri saya. Saya tidak anggap kami bercinta sakan sekarang kerana risau nanti tak jadi orang akan mengata, jadi biarlah perkara itu (cinta) mengalir dengan sendirinya," jelas Shakilla.






Tempoh tamat

Bagaimanapun, kata empunya nama sebenar Nurul Shakilla Mohd. Khoriri, 25, seandainya mereka akan kekal bersama sehingga suatu tempoh tertentu yang dirancangnya, tidak mustahil untuk masing-masing memilih untuk membina mahligai bahagia bersama.

"Saya berikan tempoh tiga tahun, kalau kami masing-masing tidak laku, kami kahwin satu sama lain sahaja. Penat sebenarnya untuk memulakan perhubungan baharu, tambah-tambah dengan individu yang tidak dikenali.

"Sepanjang mengenali Fizi pun saya selesa dan dia merupakan kawan lelaki yang paling saya rapat buat masa sekarang," tambahnya.


FIZI mengulas tentang soal perkahwinan manakala Shakilla pula memperkatakan tentang ikatan tali pertunangan.

Perkenalan Fizi dan Shakilla bermula sejak tiga tahun lalu apabila mereka digandingkan bersama dalam sebuah drama, namun hubungan itu terputus selepas tamatnya penggambaran tersebut.

Ceritanya bermula kembali apabila mereka mula berinteraksi melalui laman sosial Twitter sehingga melarat setelah Fizi menyertai kelompok teman rapat Shakilla sekitar tahun lalu.

Malah, Fizi dan Shakilla selesa untuk melakukan beberapa aktiviti bersukan dan mengembara bersama-sama. Keakraban makin berputik apabila mereka mula berkongsi masalah berdua.

"Dulu, memang saya tidak suka Fizi tapi hanya dia saja individu yang ada ketika saya memerlukan dan membuatkan saya tidak sunyi.

"Perasaan dia pada saya sukar untuk ditelah tapi apabila dia sanggup memotong rambut selepas saya menegur penampilannya nampak selekeh, saya lihat dia ada nilai seseorang yang boleh dijadikan teman.

"Fizi sekarang menjadi pendengar setia saya dan kami saling menasihati. Adakalanya saya tergelincir daripada landasan tapi adanya dia adalah untuk menyedarkan saya," katanya.

Ibu kawal

Berada dalam ruang selesa bersama, Shakilla turut memperkenalkan Fizi kepada keluarga terutama ibunya yang cakna terhadap hubungan yang dijalinkan Shakilla.

"Ibu saya sangat mengambil berat dengan siapa saya berkawan dan ke mana saya pergi setiap hari. Disebabkan itu juga saya memperkenalkan Fizi kepada keluarga saya supaya tidak timbul sebarang syak wasangka dan fitnah kemudian hari.

"Memang saya akui, keluarga saya sangat tegas terutama dengan adik-beradik perempuan saya. Ada juga mereka usik kami, tanyakan bilakah mahu berkahwin tapi saya masih sifatkan hubungan kami masih terlalu baharu.

"Hal yang sama juga terjadi apabila kami berada di luar, kadang-kadang gurauan kami melampau dan orang akan fikir kami bercinta," ujarnya mengenai fasa baharu hubungan seriusnya dengan Fizi yang baru mencecah usia sembilan bulan.

Shakilla bagaimanapun tidak menolak seandainya hatinya berubah tiba-tiba dan memilih untuk mengikat tali pertunangan dalam masa terdekat.


BERCINTA atau tidak? Shakilla menganggap Fizi sebagai kawan lelaki yang paling rapat dengannya buat masa ini.

"Kami belum bercinta lagi tapi mungkin akan datang siapa tahu dan tak mustahil kalau tiba-tiba tahun depan sudah sarung cincin.

"Usia kami masih muda dan saya tidak mahu terburu-buru. Banyak kali saya katakan pada Fizi, seandainya dia bertemu dengan gadis lain yang membuatkan hatinya terusik saya tidak akan halang untuk dia bersama individu itu.

"Bukannya saya mahu tarik tali dengan peminat berkenaan hubungan kami, cuma saya sukar untuk terangkan situasi sebenar," jelasnya yang baru selesai penggambaran drama bersiri, Delina untuk tayangan TV9.

Fizi tak letak harapan

Hal itu diakui Fizi atau nama sebenarnya, Muhd. Hafizuddin Alimuddin, 25, yang lebih banyak menggumam kata-kata berbanding Shakilla. Kata penyampai radio Ultra FM itu, fokusnya diletakkan untuk membangunkan karier berbanding kisah cinta.

"Untuk ada perasaan berlebih-lebih rasanya bukan sekarang waktunya, fokus saya pada kerja, keluarga dan mencari kewangan yang stabil.

"Insya-Allah, kalau ada jodoh kami terima saja tapi bukan dalam masa terdekat, lagipun ada banyak hati perlu dijaga sebelum membuat sebarang keputusan.

"Shakilla baru lapan tahun dalam industri dan saya pula baru dua tahun, karier kami baru nak naik, jadi berilah masa dahulu," ujarnya.

Terlanjur bercerita mengenai kisah hati, Fizi ditebak dengan soalan bagaimanakah majlis perkahwinan idamannya suatu hari nanti.

"Saya mahukan yang sederhana sahaja, cukuplah sekadar keluarga dan teman-teman hadir ke majlis saya. Saya tidak mahu istilah berhutang untuk berkahwin, lebih baik ringkas asalkan tidak menyusahkan kemudian hari.

"Apa yang saya utamakan adalah kehidupan selepas berkahwin sebab tanggungjawab itu lebih penting sebenarnya. Zaman bercinta dan berumah tangga tidak sama," katanya yang kini mengacarakan rancangan iPopular dan Selfie Stailo.


FIZI mengambil kesempatan pada Ramadan ini untuk menjual makanan takoyaki Apedon Corner di Enjoy's Corner, Taman Melawati, Selangor.

Ramadan, Syawal

Sementara itu, sempena kedatangan bulan Ramadan, Fizi mengambil kesempatan untuk menggiatkan bisnes makanan takoyaki Apedon Corner di Enjoy's Corner, Taman Melawati, Selangor.

"Rutin bulan puasa saya tahun ini berbeza daripada sebelum ini kerana sudah ada bisnes makanan dan kebanyakan waktu termasuk berbuka pun dihabiskan di gerai saya.

"Cuma ada beberapa kali sempat berbuka puasa bersama Shakilla di restoran berdekatan tempat saya berniaga. Kalau ditanya persiapan menyambut Aidilfitri rasanya tidak banyak lagi, selalunya kami membeli-belah pada saat akhir Ramadan," ujarnya.

Di samping itu, Fizi memberitahu, dia merancang untuk menyambut kedatangan bulan Syawal bersama-sama Shakilla dan keluarganya di Perak.

"Raya dengan dia mestilah ada sebab, banyak buat salah dan perlu minta maaf. Cuma 1 Syawal nanti saya mungkin bakal beraya di konti Ultra FM. Kelak, sekiranya dia (Shakilla) mengadakan rumah terbuka, ketika itulah kami akan beraya bersama," jelasnya berseloroh.
Previous Post Next Post