Jamal dikatakan menjalinkan hubungan cinta dengan wartawan hiburan Harian Metro.
Kisah terbaharu yang mengatakan bintang pop negara, Datuk Jamal Abdillah sedang hangat bercinta dengan seorang wartawan hiburan adalah tidak benar dan bersifat gosip semata-mata.
Perkara itu disahkan sendiri oleh wartawan berkenaan iaitu Ramlah Zainal yang bertugas di Harian Metro ketika dihubungi mStar Online di sini pada petang Rabu.
Ramlah berkata, dia terkejut dengan gosip tersebut sedangkan hubungannya dengan Jamal tidak lebih daripada seorang wartawan dan rakan artis.
"Kami hanya kawan dan hubungan kami hanyalah antara wartawan dan rakan artis sahaja. Gosip itu tidak betul.
"Saya terkejut apabila ada pihak menulis laporan gosip seperti itu," katanya kesal.
Sebuah portal hiburan pada Rabu melaporkan Jamal atau nama sebenarnya Jamal Ubaidillah Ali, 55, semakin akrab dengan seorang wartawan hiburan Harian Metro iaitu Ramlah.
Ramlah Zainal
Mereka dikatakan menjalinkan hubungan lebih serius memandangkan kedua-duanya berstatus solo.
Terdahulu, terdapat khabar angin mengenai percintaan Ramlah dan Jamal apabila mereka dikatakan kerap berjumpa.
Sementara itu Ramlah berharap penjelasannya itu dapat melenyapkan gosip tersebut yang dianggap mengarut.
"Saya harap kisah gosip ini tidak menjadi-jadi kerana kami sememangnya tiada apa-apa hubungan pun," tegasnya yang merupakan seorang ibu tunggal.