Imam Muda Hassan perjelas status kontroversi


Ustaz Hassan

Di sebalik perhatian seluruh masyarakat di atas tragedi malam membabitkan pesawat MH17, kecoh seketika apabila juara Imam Muda musim kedua, Mohd Hassan Adli Yahya seolah mempersoalkan tugas wartawan berhubung insiden tersebut.

Dek kerana itu, ada segelintir wartawan berkecil hati dengan Hassan yang juga mesra disapa dengan panggilan Ustaz Hassan ini.

Tidak mahu mengeruhkan keadaan, Hassan yang dihubungi Zass menjelaskan, dia tidak mempunyai niat untuk menimbulkan rasa kurang senang terutamanya dalam kalangan wartawan.

"Pertama sekali, saya mohon maaf andai ada wartawan yang terasa, khususnya yang membuat liputan berkaitan tragedi tersebut.

"Tapi status berkenaan bukan dimuat naik oleh saya sebaliknya, ada rakan yang saya minta dia bantu saya untuk mengendalikan akaun terbabit memandangkan saya agak sibuk.

"Namun kami sudah mengambil iktibar di atas kejadian ini dan saya sudah nasihatkan dia untuk merujuk saya terlebih dahulu jika mahu memuat naik status yang agak sensitif," ujarnya yang enggan memanjangkan perkara itu lagi.

Jelasnya, dia tidak mengetahui mengenai status tersebut yang menjadi perhatian di laman sosial pada mulanya sehinggalah dimaklumkan oleh seorang lagi bekas peserta Imam Muda.

“Selepas mengetahui mengenai perkara tersebut, saya ada menghubunginya untuk memadamkan status terbabit kerana saya juga tidak mahu mengeruhkan keadaan.

"Cuma ketika menaik status permohonan maaf, saya tidak ceritakan dengan lebih lanjut kerana tidak mahu memanjangkan cerita dan mengundang lebih banyak salah faham," katanya.

Hassan berkata, dia tidak bercadang untuk memecat atau pun mengendalikan akaun itu sepenuhnya kerana dia mempunyai masa yang agak terhad.

"Macam bulan Ramadan ini, jadual saya memang agak padat, jadi saya memang memerlukan seseorang untuk mengendalikan fan page berkenaan.

"Cuma saya dah minta agar dia lebih banyak memuat naik tazkirah dan jika ada isu sensitif yang ingin dikongsikan, saya minta dia rujuk saya dulu," jelasnya.

Hassan menerusi akaun Facebooknya Jumaat lalu, menimbulkan kemarahan pengamal media di negara ini apabila dia dikatakan memuat naik status merendah-rendahkan tugas wartawan yang membuat liputan mengenai tragedi pesawat MH17.

Status itu menimbulkan rasa kecewa pengamal media yang bekerja tidak mengenal erti penat dan lelah demi memberi liputan terbaik agar orang ramai mendapat gambaran sebenar termasuklah luahan hati keluarga mangsa.

Bagaimanapun status kontroversi itu telah dipadamkan dan digantikan dengan permohonan maaf.




Previous Post Next Post