Jimmy Shanley masih bersama Ultra FM

JIMMY (duduk, dua dari kanan) bersama warga kerja Ultra FM dan Hawa Hamid (berdiri kanan).

TIMBUL desas-desus baru-baru ini mengatakan penyampai radio Ultra FM, Jimmy Shanley dijangka bakal menamatkan kontraknya bersama stesen radio itu selepas lebih setahun bersama.

Khabar angin yang disebarkan menerusi ruangan forum gosip di Internet itu menyatakan penyampai radio yang mengendalikan segmen pagi itu perlahan-lahan mengundur diri daripada stesen radio itu.

Jimmy dikatakan mahu memberikan fokus kepada bidang lain selain keluarga.

Jimmy atau nama sebenarnya Jimmy Shanley Norjahan Saleh, 34, baru mendirikan rumah tangga kali kedua, kali ini bersama seorang gadis bernama Mariam Jamilah Abdul Jalil, 27, sekitar awal bulan Jun lalu.

Mengukuhkan spekulasi itu, Jimmy kini sedang berada di Korea Selatan untuk mempelajari bahasa ibunda negara itu.

Dia cuma sempat mengendalikan segmennya di Ultra FM kurang sebulan selepas pulang dari berbulan madu di beberapa buah negara Eropah bulan lalu.

Kosmo! mendapatkan reaksi daripada Pengurus Besar Ultra FM, Hawa Abdul Hamid berkenaan perkara itu sempena majlis iftar Ultra FM di Pecel Lele Lela, Shah Alam baru-baru ini. Ikuti temu bual berikut.

Kosmo!: Benarkan khabar angin mendakwa bahawa Jimmy Shanley bakal keluar daripada stesen radio Ultra FM?

HAWA: Kami ada mendengar dan sedia maklum mengenai gosip itu, apakah yang ada di hati Jimmy kami tidak tahu. Sepanjang bekerjasama dengan Ultra FM, dia tidak akan menyembunyikan sebarang maklumat kepada kami. Rasanya, tiada sebarang masalah setakat ini. Cuma dia tidak ke udara selama empat minggu sahaja.

Adakah Jimmy direhatkan atau sedang mengusahakan projek lain?

Dia mahu menjalankan bisnes dan sekarang dia berada di Korea beberapa minggu sebelum pulang ke Malaysia untuk menyambung kembali pembelajarannya di sini. Dia akan kembali bertugas di konti dan ingin saya tegaskan dia bukan direhatkan.

Bagaimanakah perundingan atau perbincangan antara Jimmy dan pihak Ultra FM untuk melepaskan dia mengusahakan bidang lain contohnya bisnes?

Dia seorang yang senang untuk bekerjasama dan memang dari dulu lagi saya tahu dia minat bisnes tapi pada masa sama juga dia minat menjadi penyampai radio. Asalkan dia boleh mengimbangi masa antara kerjaya, keluarga dan urusan lain, kami tiada masalah. Sebelum ini pun, apabila dia menyuarakan hasrat untuk sambung belajar, saya tidak menghalang.

Sehingga ini adakah dia pernah menyuarakan hasrat untuk meninggalkan Ultra FM?

Dia sangat menyokong, rajin dan boleh bergantung harap. Belum pernah lagi dia menyatakan mengenai perkara itu kepada kami tapi saya percaya dia bukan seorang yang bermasalah. Saya tidak boleh menghalang dia daripada melakukan perkara yang dia mahukan asalkan kami masih boleh berbincang dan bekerjasama.

Selepas berkahwin, bagaimanakah prestasinya di Ultra FM?

Selepas berkahwin dan berbulan madu, dia sempat bersiaran selama tiga minggu. Dia sangat rapat dengan keluarga isterinya dan memang dari dulu lagi dia lebih banyak meluangkan masa bersama mereka. Saya sendiri nampak perubahannya dan sekarang dia lebih gembira dan tenang.

Sekiranya sampai masanya Jimmy memutuskan untuk keluar dari Ultra FM, apakah tindakan anda?

Kalau dia sudah tiada hati untuk bekerja dengan Ultra Fm saya tidak boleh memaksa. Sebelum ini pun, saya sudah berdepan dengan pelbagai pengalaman penyampai radio yang mahu berhenti. Andai disogokkan duit banyak sekalipun, kalau mental dan hati sudah tidak mahu, program pun jadi tidak menarik. Saya tidak boleh meletakkan sebarang janji tapi kami masih ada persefahaman dan dia masih boleh memberikan kerjasama yang baik.

Agaknya, bagaimanakah boleh timbul cerita sebegini?

Saya pun tidak tahu tapi disebabkan banyak sangat kisah terdahulu mengenai Jimmy sampai membuatkan saya tidak ambil kisah sangat. Saya reda dan ingin saya tegaskan sekali lagi tiada isu Jimmy direhatkan. Tapi kami tidak menghalang Jimmy untuk merancang masa depannya.




Previous Post Next Post