'Jangan leka!' : Datuk Yusof Haslam


Datuk Yusof Haslam

BERMULA Januari lalu sehingga kini, sebanyak 40 filem tempatan telah melalui proses tayangan di pawagam.

Sepanjang tempoh ini, pelbagai genre yang dipertaruhkan pengamal industri sebagai 'pelaris' untuk menarik golongan penonton ke pawagam.

Jika tahun lalu, filem terbitan, Tayangan Unggul Sdn Bhd, Husin, Mon & Jin Pakai Toncit, berjaya meraih kutipan tertinggi iaitu RM5.89 juta, tahun ini, filem Kantonis, The Journey, berjaya menarik perhatian penonton dengan kutipan jauh lebih tinggi, RM17.2 juta.

Kejayaan besar filem arahan Chiu Keng Guan, ini sekali gus mengetepikan kehebatan filem aksi, KL Gangster, yang berjaya memacu takhta filem paling berjaya pada 2011 tanpa saingan pada 2012 dan 2013.

Jika diperhatikan secara halus, kemunculan filem-filem Mandarin dan Kantonis, ini mula menampakkan 'taringnya' bermula awal tahun lalu.

Buktinya, lihat sahajalah filem, Once Upon A Time (Kantonis) dan The Wedding Dairy 2 (Mandarin) yang berjaya mencatat kutipan tinggi, masing-masing RM4.61 juta.






Walaupun sukar untuk menandingi filem Husin, Mon & Jin Pakai Toncit, namun jumlah itu jauh lebih baik daripada filem-filem Melayu lain yang rata-ratanya tidak membawa pulangan modal.

Percaturan itu ternyata memberi kejayaan buat pengeluar filem Cina apabila hampir keseluruhan filem mereka pada tahun ini mengaut hasil yang memberangsangkan.

Di saat kebanyakan filem tempatan hanya meraih ratusan ribu kutipan, beberapa filem Cina turut mencatat kutipan tinggi dan melebihi RM1 juta.

Antaranya termasuk, Huat Ah! Huat Ah! Huat!, Ah Beng The Movie, Bullets Over Petaling Street, MoKissU, The Beggar Hero dan In The Dark.

Meskipun jumlah itu dilihat terlalu kecil untuk dibandingkan dengan The Journey, namun ia dilihat sebagai penerimaan baharu masyarakat terhadap karya-karya berbangsa Cina di Malaysia.

Kebanyakan daripada karya mereka lebih berkisarkan genre komedi dan keluarga, namun rencah yang digunakan amat menarik sehingga menerima kunjungan penonton dari bangsa lain termasuk Melayu.

Tidak seperti filem Melayu yang sanggup berbelanja besar untuk langkah promosi dan iklan, filem-filem mereka tidak terlalu mengharapkan platform itu.

Bahkan, pemilihan pelakon juga bukanlah dari kelompok selebriti terkenal, malah kebanyakan daripada mereka amat kurang dikenali di kalangan masyarakat Melayu.

Persoalannya, apakah keistimewaan yang ada pada filem Cina berbanding filem Melayu yang turut menelan kos produksi berjuta-juta?

Adakah penonton mula muak dengan karya-karya Melayu yang dilihat semakin 'klise' dengan isu-isu yang dipertaruhkan?

Zass mendapatkan penjelasan menerusi temubual bersama Presiden Persatuan Penerbit Filem Malaysia, Datuk Yusof Haslam, mengenai perkara ini.

Secara keseluruhan, apa pandangan Datuk mengenai industri perfileman tempatan kini?

Saya memandang perkembangan industri tempatan secara positif. Walaupun ada naik turun dari segi kutipan dan penerimaan penonton di pawagam, namun ianya bukanlah perkara baru dalam industri. Malah, ketika zaman kegemilangan Shaw Brothers dahulu, perkara ini sudah lama berlaku. Namun bezanya kini, kita berdepan dengan pelbagai jenis cabaran, tambahan pula penonton sekarang semakin kreatif. Kita banyak terdedah dengan puluhan stesen televisyen dan Internet yang membolehkan penonton mendapatkannya dengan mudah hasil bantuan teknologi yang serba canggih.

Bagaimana pula dengan perkembangan filem Cina tempatan?

Bagi saya, tiada bezanya dengan perkembangan filem Melayu tempatan, di mana ada filem yang hebat dan juga sebaliknya. Namun, saya akui, pengeluar filem Cina tempatan kini semakin menguatkan saingan dengan menghasilkan lebih banyak karya-karya mereka berbanding dulu. Malah, saya tidak nafikan, filem terbitan Astro Shaw, The Journey, digarap dengan baik dan layak menerima sambutan seperti itu. Namun, ada juga di antara filem Cina yang kurang mendapat sambutan dan hanya meraih kutipan sekitar RM200,000 sahaja. Secara umumnya, tidak semua filem Cina itu hebat dan kejayaan sesebuah filem adalah perkara yang di luar jangkaan.

Menerusi rekod Finas, kebanyakan filem Cina tempatan meraih kutipan RM1 juta ke atas. Namun, filem Melayu masih banyak yang hanya mengutip puluhan dan ratusan ribu sahaja. Kenapa?

Perkara ini terlalu subjektif untuk diperkatakan kerana kita tidak boleh nilai perkara ini secara rambang. Sebagai pengeluar filem, sesiapa sekalipun tidak dapat menduga selera penonton. Perkara ini terjadi mungkin kerana filem Melayu lebih banyak dihasilkan berbanding filem Cina. Sekiranya mereka menghasilkan beberapa filem sahaja berbanding filem Melayu. Namun, saya tertarik dengan masyarakat Cina yang kini lebih memilih untuk menyokong filem-filem tempatan. Apa yang saya lihat, sepanjang tempoh 2013 dan 2014 ini, penonton Cina lebih banyak memberi kepercayaan kepada filem Cina tempatan dan memberi sokongan di belakang.

Adakah penonton dan masyarakat Melayu tidak seperti masyarakat Cina yang sentiasa menyokong karya-karya mereka?

Saya tidak rasa begitu kerana karya-karya kita masih berada di hati penonton. Sekiranya karya itu bagus, berkualiti dan memenuhi kehendak dari segi promosi, sudah tentu ianya menggerakkan hati penonton untuk menonton. Saya percaya, filem yang bagus akan dapat sambutan daripada penonton. Namun, saya akui, bukan mudah untuk menduga selera penonton.

Kebanyakan karya-karya Cina tempatan tidak banyak mengadakan promosi besar-besaran seperti filem kita. Namun, penerimaan daripada penonton cukup memberangsangkan...

Sebenarnya, mereka juga banyak melakukan langkah-langkah promosi, malah ada yang lebih hebat daripada kita. Mereka akan mempromosikan filem-filem itu menerusi akhbar mereka dan juga di Internet. Cuma kita sahaja yang kurang tahu mengenai perkara ini.

Pengeluar filem Cina tempatan semakin menunjukkan taringnya. Sebagai salah seorang pengeluar filem Melayu tempatan, adakah Datuk tidak merasa tercabar dengan kemampuan mereka?

Sebagai orang industri dan pengeluar filem, saya berbangga dengan kemampuan pengeluar filem Cina tempatan yang kini dilihat semakin menunjukkan persaingan dalam industri. Namun, dalam masa yang sama, kita perlu berjaga-jaga dan jaga terleka kerana mereka mampu 'tapau' industri sekiranya mutu filem kita masih berada pada takuk yang sama, lemah dan dibuat sambil lewa. Dalam industri, ramai di kalangan orang Cina yang menghasilkan karya-karya Melayu. Ada juga anak-anak Melayu yang menghasilkan karya Cina. Namun, bagi saya, ada baiknya jika anak-anak Melayu yang lebih banyak menghasilkan karya-karya Melayu.

Adakah pemilihan genre memainkan peranan dalam menduga selera penonton?

Tidak! Selera penonton sering berubah-ubah dan sebagai orang lama dalam industri, saya sendiri tidak dapat menduga selera mereka. Sebagai contoh, The Journey mempertaruhkan genre kekeluargaan, namun sekiranya ada naskhah lain yang turut memilih genre yang sama, tidak memberi jaminan karya itu akan mendapat sambutan seperti filem arahan Chiu Keng Guan itu. Begitu juga dengan latar belakang pengarah, waima filem saya sendiri ataupun Syamsul Yusof sekalipun, belum tentu penerimaannya sama seperti Sembilu atau KL Gangster. Namun, kita perlu bekerja keras dari segi persembahan, kualiti dan promosi yang dilihat mampu membantu sesebuah karya.

Akhir sekali, adakah karya Melayu tempatan masih berdepan dengan lambakan?

Ya, saya tidak nafikan perkara ini di mana ada di antara pengeluar filem yang mempertaruhkan filem mereka terlalu banyak sehingga membuatkan penonton mula muak. Saya sendiri hairan bila ada produksi yang mampu menghasilkan lebih 20 filem dalam masa setahun. Bagaimana pula dengan hasil kerja mereka sekiranya penghasilan filem itu tidak jauh bezanya dengan drama bersiri? Sebenarnya, dalam proses pembikinan filem, jumlah yang paling relevan dalam masa setahun hanyalah lima filem sahaja.

Malah, untuk menjaga mutu serta kualiti filem, ada baiknya hanya dua atau tiga filem sahaja untuk sesebuah produksi dalam masa setahun. Ini bukanlah soal menghalang atau menutup periuk nasi setiap produksi, namun saya memikirkan mengenai industri. Jika situasi ini berterusan, lama-kelamaan, ia akan membunuh industri kita sendiri. Jika mereka ingin menghasilkan filem untuk tujuan mengaut keuntungan semata-mata, baik lupakanlah hasrat itu kerana lama-kelamaan penonton akan 'muntah' bila disogok dengan benda yang sama secara berlebihan.
Previous Post Next Post