Ramadan membentuk akhlak mulia



SEBAGAI stesen televisyen (TV) Islamik pertama di negara ini, TV Al Hijrah (saluran 114), berusaha untuk menyediakan program terbaik demi mendidik jiwa masyarakat, lebih-lebih lagi sepanjang Ramadan ini.

Memilih tema 'Ramadan Membentuk Akhlak Mulia, Pengurus Besar Perolehan dan Pengurusan Penyiaran TV AlHijrah, Mokhtar Abdul Rahman berkata, pelbagai program dakwah yang berkonsep santai diketengahkan dalam pengisian program Ramadan\ kali ini. Ia dilakukan bertepatan dengan sasaran utamanya iaitu buat golongan muda dan remaja.

"Ramadan sinonim dengan bulan ilmu pengetahuan, jadi TV Al Hijrah membawakan pelbagai program yang berinformasi untuk tatapan penonton.

"Istimewanya, untuk tahun ini, TV Al Hijrah mengetengahkan rancangan yang lebih santai bersesuaian dengan semua lapisan peringkat umur," katanya.

Pada masa sama, program yang dipilih sarat dengan informasi dalam membentuk peribadi dan kerohanian penonton melalui perkongsian pengacara berpengalaman sepanjang mengendalikan rancangan.






Pelbagai program menarik

Sementara itu, Pengurus Penjenamaan TV Al Hijrah, Zulkarnain Mokhtar berkata, dari 20 program tersebut, 11 daripadanya telah dibeli daripada produksi luar negara.

"Kami memastikan setiap program mempunyai pendekatan tersendiri dalam usaha ke arah membantu membentuk akhlak mulia.

"Biarpun ‘rating’ yang dicatatkan TV AlHijrah bagi setiap program yang disiarkan sekadar memberangsangkan namun, apa yang penting maklum balas diperoleh daripada laman sosial seperti Facebook adalah amat menggalakkan.

"Setakat ini, Facebook TV AlHijrah berjaya menarik lebih 600,000 pengunjung yang memberikan sokongan positif mereka pada program yang disiarkan," katanya.

Antara program menarik lain yang disiarkan buat penonton TV Al Hijrah pada Ramadan ini ialah dokumentari seperti Ayat Riwayat, The Truth-Islam In Andalus dan Ramadan Around The World.

Bagi program berbentuk majalah, kemasyarakatan dan kerohanian pula seperti Diari Ramadan Bersama Pemimpin, Ihya’ Ramadan, Ahlul Zikri, Fattabiouni, Al Khawater, Cahaya Ikatan dan Kasih Ramadan.

Tidak ketinggalan, bagi menarik penonton wanita yang suka memasak turut disediakan program masakan seperti Hidangan Barakah, Santai Ramadan, Practical Tastes dan Bukan Sekadar Resipi.

Selain program untuk penonton wanita atau seisi keluarga, disediakan juga animasi istimewa yang padat dengan kisah teladan khusus buat kanak-kanak yang disiarkan menerusi slot Zon Aulad seperti Stories Of Righteous, Tijan Annour, Muslim Scientist, Min Qosas Al-Tabyeen dan fables Bah Ya Ba.
Previous Post Next Post