
MACAM orang tak rasional. Itu yang dilemparkan kepada penyanyi rap popular negara, Joe Flizzow selepas dia didakwa sengaja mencetuskan kontroversi menerusi sekeping gambar yang dimuat naik di laman sosial Instagram yang bukan miliknya. Gambar itu memaparkan Joe memakai baju bertulis perkataan Jantan dan dia bergambar bersama dua kenalan yang memakai baju dengan perkataan berunsur lucah. Persepsi awal tentu sekali meletakkan Joe sebagai seorang artis yang tidak menitikberatkan soal sensitiviti masyarakat negara ini, lebih-lebih lagi di kala seluruh umat Islam sedang bersiap untuk menerima kehadiran Ramadan yang mulia. Ekoran daripada itu bertubi-tubi hujah negatif dan makian dilemparkan kepada Joe yang kemudiannya mendesak lelaki berusia 35 tahun ini untuk tampil bersuara. Ketika dihubungi Pancaindera, Joe dalam nada kesal meluahkan apa yag terbuku di hati tentang isu panas ini.
Apa yang ada dalam fikiran Joe sehingga tergamak bergambar dengan baju bertulis Jantan dan bertulis K*T* itu?
Pertama sekali anda perlu tahu, yang memakai pakaian bertulisan lucah itu bukan saya. Ya, saya pakai baju bertulis Jantan. Tetapi bagi saya itu tidak membawa maksud lain dan adalah satu panggilan yang sama dengan lelaki. Jadi saya rasa tak ada isu. Bagaimanapun saya meminta maaf kerana bergambar dengan mereka yang memakai pakaian yang tidak sepatutnya.
Joe kenal mereka berdua?
Kejadian itu berlaku semasa saya menghadiri Kuala Lumpur Fashion Week (KLFW) baru-baru ini. Kedua-dua mereka cuma kenalan dan masa saya diminta bergambar bersama-sama, saya pun tak perasan. Awak boleh tengok wajah saya dalam gambar itu. Nampak kekok. Saya pula tidak jangka yang ada pihak memuat naik gambar itu dan menyebarkannya di Internet sehinggalah saya menerima kritikan daripada banyak pihak tentangnya.
Khabarnya masih ada yang menghentam Joe walaupun anda sudah buat permohonan maaf secara terbuka di Twitter.
Memang betul saya sudah minta maaf di Twitter. Tapi saya tak boleh tutup mulut orang. Saya sebenarnya sedih dengan keadaan ini. Kalau ikutkan, ini bukan salah saya tetapi saya minta maaf juga kerana tidak mahu memburukkan keadaan.
Saya sedih kerana ada pihak mengambil kesempatan terhadap isu ini untuk memburukkan nama dan melemparkan pelbagai kata-kata negatif pada saya. Ingin saya tekankan, bukan saya yang menimbulkan hal ini.
Ada yang mendakwa pakaian dengan perkataan-perkataan begitu adalah daripada rangkaian pakaian yang dihasilkan oleh Joe sendiri. Apa pula penjelasan Joe?
Saya tak pernah menghasilkan rangkaian jenama sendiri. Tidak pernah! Sebelum ini saya hadir dengan Havoc dan ada baju bertulis Havoc tetapi itu untuk tujuan promosi album dan untuk dijadikan barangan jualan cenderahati. Itu sahaja. Namun saya faham ada industri fesyen yang ekstrem dalam bab-bab ini, cuma saya tidak pernah terlibat. Jadi jangan salah faham dan tuduh apa yang mereka pakai dalam gambar itu datangnya daripada idea saya. Tak masuk akal.
Apabila ramai yang menuduh, adakah Joe rasa tertekan dengan keadaan yang berlaku?
Terus terang semasa isu ini timbul, pada awalnya saya rasa tertekan dan perasaan bercampur baur. Iyalah, bukan salah saya. Malah disebabkan rasa tertekan, saya rasa macam nak lari sekejap ke luar negara, rasa nak balik Johor pun ada. Tapi lama kelamaan, saya semakin okey dan cuba untuk kendalikannya dengan rasional.
Cubalah fikir sebelum ini saya tak ada pun keluar dengan kontroversi mengarut. Saya jaga perkara ini. Kalau bab pakaian, senang cerita, saya ini orangnya mudah. Saya tak pakai baju yang apabila saya balik rumah, mak saya pun tak mahu pandang saya. Apa pandangan orang tua? Apa pandangan kanak-kanak? Fikirlah.
Malu tak dengan keadaan yang berlaku ini?
Saya tak malu tetapi rasa tak adil sebab bukan berpunca daripada saya dan kemudian orang hukum saya kerana dalam gambar itu. Orang boleh bercakap apa sahaja tetapi mereka tidak kenal saya.
Joe akan bersikap lebih berhati-hati selepas ini?
Memang saya tersepit. Tetapi saya belajar bahawa sejauh mana kita baik, orang akan tetap cari kesalahan kita. Apa pun, saya tak mahu salahkan sesiapa. Sekali lagi, saya minta maaf kepada semua.