Zarul Umbrella Minta tempoh lima tahun



LIMA tahun tempoh ditetapkan oleh Zarul Husin untuk menentukan hala tujunya. Ketika ini Zarul tetap menganggap bidang nyanyian sebagai fokus utama meskipun dia masih terbang di awan biru.

Bagi vokalis kumpulan Umbrella ini kerjayanya sebagai pramugara di syarikat penerbangan Malaysian Airlines (MAS) masih diperlukan meskipun hatinya begitu ingin menyanyi sepenuh masa.

"Sukar sebenarnya nak buat keputusan sama ada mahu menumpukan terus kepada bidang muzik seperti dahulu atau meneruskan kerjaya sebagai pramugara.

"Tapi saya telah menetapkan beberapa pilihan. Jika pilihan pertama tidak menjadi, tentu sekali ada pilihan kedua. Apa-apa pun semuanya akan berlaku dalam tempoh lima tahun lagi," jelas Zarul kepada Pancaindera baru-baru ini.

Meskipun kekangan masa antara tugas di awan biru dengan kehendak menyanyi, Zarul tidak mahu menjadikan perkara itu sebagai sebab untuknya gagal dalam kedua-dua lapangan.

Ketika ini dia lebih menumpukan kepada kerjaya tetap tetapi jika ada masa senggang barulah Zarul menghiburkan peminat yang ternanti-nanti buah tangan terbarunya.






"Sejujurnya saya sendiri tak pernah terfikir untuk popular seperti zaman kegemilangan Umbrella dulu. Cukuplah kehadiran saya diiringi dengan lagu-lagu baru dan peminat masih menerima.

"Kalau tengok pada keadaan semasa, saya tak boleh lagi tertinggal. Apa-apa jadi pun saya mesti mengeluarkan satu lagu baru setiap tahun dan ini menjadi trend kepada semua penyanyi.

"Tak ada siapa yang berani untuk mengeluarkan album penuh seperti dulu. Bagi orang lama macam saya kena ikut rentak pasaran hari ini. Tak boleh tertinggal lagi," jelasnya.

Terbaru Zarul baru sahaja merakamkan lagu Satu Rasa yang menggandingkanya bersama dengan Marsha Milan. Lagu yang sedang rancak diputarkan di kebanyakan radio itu cepat menangkap di telinga pendengar.

Mengakui pemilihan Marsha sebagai sesuatu yang tepat, Zarul menganggap ada keserasian antara mereka saat kali pertama dipertemukan.

"Apabila menghasilkan lagu baru kena fikir banyak aspek. Sebelum ini saya telah menghasilkan rakaman lagu Ramalanku Benar Belaka 2013.

"Tapi sambutan kurang memberangsangkan. Biasalah apabila rakam semula lagu lama ada yang suka dan ada yang tidak. Sebab itu saya kena fikir banyak perkara sebelum membuat sebarang keputusan," jelasnya lagi.

Mengganggap lagu Satu Rasa sebagai sebuah lagu yang cukup mudah untuk diterima, Zarul lebih berminat untuk menghasilkan lagu-lagu yang mudah didengar dan tidak terlalu sukar diterjemah.

Menjelaskan perkara berkenaan, Zarul tidak menganggap lagu bertemakan kisah cinta hanya sesuai dinyanyikan oleh remaja sahaja seperti stigma masyarakat terhadap sesebuah lagu.

Sebaliknya lagu tersebut bebas dinyanyikan oleh sesiapa sahaja asalkan mempunyai asas yang kuat tetapi pada masa yang sama lebih bersifat terbuka.

Ditanya tentang perkembangan terbaru kumpulan Umbrella pula, Zarul menegaskan mereka mempunyai perancangan untuk merakamkan lagu baru sebagai simbolik kepada perjuangan seni mereka.

Pun begitu projek yang sedang diusahakan oleh ahli-ahli yang lain sedang dalam proses pembikinan dan akan mula masuk ke studio tidak lama lagi.
Previous Post Next Post