
"SAYA sudah bersedia untuk berkahwin." Demikian tegas Mila Jirin kepada Pancaindera baru-baru ini. Biarpun masih berteka-teki tentang calon suami, Mila tidak menolak tanggapan bahawa ketika ini dia sedang mengenali hati budi seorang lelaki berstatus ahli perniagaan yang sudah lama dikenalinya.
Bagi Mila, perkenalan antaranya dengan lelaki tersebut sudah berlanjutan sejak awal kemunculannya dalam industri seni tetapi mereka mula menjalinkan hubungan serius sejak setahun lalu.
"Macam-macam cerita yang timbul berkaitan dengan hal peribadi saya sejak dulu lagi. Kalau nak ikutkan bukan sekali dua orang menuduh saya dibela oleh sugar daddy dan sebagainya.
"Malah cerita-cerita karut yang disebarkan oleh pihak tidak bertanggungjawab ini telah lama berlaku. Ada kala saya sendiri rasa kurang senang kerana masih ramai yang mempercayai berita tak benar itu.
"Itu juga menjadi antara sebab mengapa saya tak mahu terlalu kerap mencari publisiti macam dulu. Rasa trauma itu masih lagi ada apabila orang berterusan menuduh yang bukan-bukan tentang saya.
"Paling menyakitkan apabila cerita tersebut tak pernah habis diperkatakan sampai hari ini," jelasnya satu persatu.
Masih enggan mendedahkan secara terperinci lelaki yang bertakhta di hatinya, Mila seboleh-bolehnya enggan memberikan apa-apa janji kepada peminat tentang hari bahagianya yang dirancang tahun depan. Baginya jika perkara tersebut tidak dapat ditunaikan mengikut apa yang dirancang, sudahnya yang menanggung malu adalah dirinya sendiri.
"Antara saya dan lelaki tersebut memang serius tetapi kami masih lagi belum sampai ke tahap nak meletakkan tarikh kahwin dan sebagainya. Cuma hubungan itu semakin rapat dari sehari ke sehari.
"Semuanya masih dalam perancangan dan saya perlu mempersiapkan diri jika jodoh itu datang bila-bila masa sahaja," jelasnya lagi.
Labur wang
Jatuh bangun dalam bisnes bukan perkara baru bagi penyanyi yang pernah popular dengan lagu Persis Mutiara ini. Jika ada yang masih ingat Mila pernah mengeluarkan produk kecantikan Luv Mila sekitar 2008.
Meskipun terpaksa melaburkan wang ratusan ribu ringgit untuk bisnes kosmetik berkenaan, Mila menanggung rugi apabila produk tersebut tidak mendapat sambutan daripada pengguna.
Menganggap perkara berkenaan sebagai pengajaran dan pelajaran berharga buatnya, Mila kini bangkit daripada kegagalan lalu.
"Memang pada waktu itu saya mengalami kerugian yang cukup besar. Wang yang dilaburkan tak pulang modal langsung.
"Tapi saya belajar banyak perkara. Untuk buat bisnes kecantikan, kena ada banyak modal untuk pengiklanan. Itu paling penting sebab orang sentiasa nak tengok produk kita ada.
"Pada awalnya saya kecewa juga dan hampir dua tahun menyepikan diri daripada sebarang perniagaan. Waktu itu saya hanya menumpukan kepada bidang nyanyian semata-mata," cerita Mila lagi.
Pun begitu rajuk Mila tak panjang apabila dia kembali menubuhkan syarikat pengurusan di bawah nama Luv Mila Corporation Sdn. Bhd. selepas itu. 2010 menyaksikan kegemilangan Mila apabila syarikat tersebut berjaya menganjurkan pelbagai acara dan berkembang maju seperti yang diharapkan.
Selain itu Mila juga telah mengembangkan perniagaan makanan dengan membuka Restoran Embun Urai di Puchong, Selangor yang mampu bertahan lebih empat tahun.
Terbaru Mila sedang mengusahakan jualan baju kurung jenama Mila secara dalam talian sejak bulan Mac yang lalu. Hampir seribu pasang baju berjaya dijual oleh Mila setiap bulan. Bagi mereka yang ingin melihat sendiri koleksi berkenaan boleh melayari www.facebook.com/bajukurung.milla untuk maklumat lanjut.