
FIGURA ini tidak mahu menyalahkan mana-mana pihak berhubung pembatalan konsertnya.
PERANCANGAN yang tidak menjadi. Itu yang berlaku terhadap Konsert I Am Ziana Zain yang dijadualkan berlangsung pada 27 September depan di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Melaka.
Sebagaimana luluh hati peminat-peminat yang menunggu, begitu juga hancurnya hati Ziana Zain, apatah lagi setelah 15 tahun menunggu sebuah konsert yang berskala besar.
“Sudah tentu saya mengharapkan konsert ini sebab sudah 15 tahun saya impikan sebuah konsert besar seperti ini. Bila konsert ini diberitahu tidak jadi, memang saya berasa terkilan sebab peminat saya juga begitu mengharapkan konsert ini,” luah penyanyi berusia 46 tahun itu ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Menganggap tiada rezeki, Ziana tidak mahu menyalahkan mana-mana pihak termasuk penganjur konsert I Am Ziana Zain, Gold Earth Pictures.
Bahkan, pelantun lagu Setia Ku Di Sini itu mengakui, dia berasa sedikit lega kerana pihak penganjur tidak bersikap lepas tangan, memaklumkan perkara itu (pembatalan konsert) lebih awal sebelum ia menjadi lebih rumit.
“Ini pertama kali syarikat itu (Gold Earth Pictures) menganjurkan sebuah konsert. Saya tidak salahkan Gold Earth Pictures secara seratus peratus kerana ia dikatakan berpunca daripada beberapa individu dalam syarikat itu juga. Nasib baik mereka bersikap profesional memaklumkan perkara itu lebih awal dan saya reda dengan keputusan itu,” ulas Ziana.

ZIANA biasa mengenakan hijab setiap kali menjemput anak-anaknya pulang dari sekolah agama.
Sementara itu, menurut Pengarah Gold Earth Pictures, Azemi Abd. Rahman, pihaknya terpaksa membatalkan penganjuran konsert tersebut kerana masalah dalaman yang serius.
Jelasnya, masalah serius itu melibatkan kos perbelanjaan yang didapati tidak diuruskan secara teratur dan lengkap.
“Kami juga ingin memaklumkan beberapa individu yang dipertanggunjawabkan untuk menguruskan dan menyelaraskan konsert ini telah ditamatkan perkhidmatannya.
“Malah, pihak kami juga sudah berbincang dan bertemu dengan Ziana sendiri bagi memaklumkan mengenai perkara ini. Kata sepakat telah diambil untuk membubarkan konsert solo Ziana itu pada tahun ini,” jelasnya.
Bagi mengelakkan keadaan menjadi lebih rumit, Azemi juga memberitahu, pihaknya dengan kerjasama Ticketpro akan memulangkan semula semua duit pembeli-pembeli tiket konsert mulai 30 Julai hingga 3 Ogos 2014 dengan syarat mereka harus tampil dengan resit sah pembelian.
Belum bertudung
Dalam pada itu, dua hari lalu Kosmo! mendapati Ziana ada memuat naik sekeping gambar memakai hijab bersama anak-anaknya.
Enggan membuat telahan penyanyi berasal dari Merlimau, Melaka itu sudah berhijab sepenuhnya, Kosmo! bertanya sendiri mengenai perkara itu kepada Ziana.
Mengakui belum berhijab sepenuhnya, jelas Ziana, dia memang sudah terbiasa mengenakan hijab setiap kali menjemput anak-anaknya daripada sekolah agama sejak beberapa tahun yang lalu.
“Begitulah rutin saya setiap kali mahu mengambil anaknya-anak di sekolah. Lebih-lebih lagi apabila saya mahu berjumpa dengan ustaz dan ustazah di sekolah anak-anak saya itu.
“Insya-Allah, hasrat untuk memakai hijab itu sudah ada, malah ibu saya juga lebih suka melihat saya keluar mengenakan hijab,” ungkapnya.