Kematangan Sherry Ibrahim



SEJAK tahun 2006 kelibat penama sebenar Syarizad Ibrahim, 31, atau lebih dikenali sebagai Sherry Ibrahim masih dilihat tenggelam timbul dalam industri hiburan tanah air.

Biarpun telah terbabit dengan banyak drama, anak kelahiran Petaling Jaya, Selangor itu masih lagi belum diberi kepercayaan untuk mendukung watak utama dalam sesuatu naskhah filem.

Sekadar diberi watak sampingan, Sherry tidak berkecil hati dengan tawaran dan kepercayaan yang diberikan kepadanya. Walaupun sekadar mendapat watak sokongan, namun perkara yang selalu membuat Sherry bahagia dan bersyukur ialah apabila dirinya tidak pernah putus dengan tawaran.

Bercerita mengenai perjalanan kariernya, Sherry berkata, dalam usia yang kini mencecah 30-an dia merasakan masih terlalu awal bagi dirinya untuk berpaling tadah dan meninggalkan bidang lakonan. Akuinya, biar masih belum diberi peluang menonjol seorang diri, untuk sekali lagi meninggalkan selamat tinggal kepada dunia yang dicintainya tidak akan berlaku lagi.






“Masih banyak yang perlu saya kecapi kerana bidang seni ini luas, terutamanya dalam bidang lakonan. Saya mengakui masih banyak yang perlu dipelajari dan saya masih menunggu watak yang saya idamkan.

“Walaupun kini saya mengembangkan karier seni kepada bidang nyanyian, saya tetap memberi keutamaan dalam dunia lakonan kerana minat yang mendalam terhadap bidang tersebut,” katanya.

Tidak puas dengan bidang lakonan, Sherry juga kini sedang berjinak-jinak dalam bidang seni suara. Dia yang kini sibuk menghasilkan single pertamanya dengan kerjasama seorang penyanyi dari seberang iaitu Gusti Arya bakal diterbitkan menjelang penghujung tahun ini.

Namun demikian, segalanya masih lagi dalam perancangan dan tuntutan terhadap karier lakonannya terpaksa menyebabkan hajat tersebut ditangguhkan.

“Buat masa sekarang, saya masih lagi mempunyai komitmen terhadap bidang lakonan dan saya berharap perancangan dalam bidang nyanyian dapat berjalan tanpa sebarang masalah,” ujarnya.


SHERRY teruja menantikan penghasilan single sulungnya yang masih dalam pembikinan.

Psiko

Bercerita lebih lanjut mengenai watak yang diidamkan selama ini, Sherry dengan teruja berkata, dia sangat menginginkan untuk memegang watak seorang yang mempunyai penyakit mental atau psiko.

“Sudah lama saya menginginkan watak tersebut. Permainan emosi dalaman yang banyak sememangnya sangat mencabar daya mutu lakonan sama ada daripada segi mental dan fizikal.

“Ironinya, peluang untuk watak tersebut agak jarang ditawarkan kepada pelakon kerana kita masih kekurangan naskhah yang bergenre seperti itu,” ujar pelakon yang pernah membintangi drama adaptasi novel Teduhan Kasih itu.

Mengakui dirinya sinonim dengan watak antagonis, Sherry berkata, dia cuba ingin lari daripada stereotaip itu. Dia lebih suka mempelbagaikan bidang lakonan supaya mendapat ilmu baharu dalam kariernya.

Katanya: “Kepelbagaian watak sangat penting bagi seseorang pelakon, walaupun kebiasaannya pengarah akan memberikan watak yang selalu dilakukan oleh pelakon itu, namun watak yang pelbagai dapat menjadikan seseorang pelakon itu versatil.

“Bagaimanapun, saya tidak pernah memilih jika diberi tawaran berlakon. Bagi saya, setiap watak yang diberikan merupakan cabaran yang perlu dihadapi untuk seseorang itu untuk bergelar anak seni.”


SUDAH berusia 31 tahun, Sherry yang baru putus cinta tidak mahu membebankan dirinya dengan soal jodoh. Dia kini mahu lebih fokus terhadap kariernya.

Cinta Ibadah

Mengulas mengenai perkembangan terbaharunya, Sherry berkata dia kini sedang sibuk dengan penggambaran drama Cinta Ibadah sebanyak 80 episod. Pada masa yang sama, dia juga sedang bersiap sedia menjalani sebuah telemovie raya arahan Michael Ang.

“Ramadan ini, jadual saya agak padat, tetapi disebabkan penggambaran drama Cinta Ibadah yang panjang, saya mempunyai ruang masa untuk menjalani telemovie di bawah produksi Rozita Che Wan tersebut. Selain saya, telemovie ini turut dijayakan Dafi AF,” jelasnya.

Berkongsi pengalamannya menjalani penggambaran Cinta Ibadah yang memulakan penggambaran sejak April lalu, Sherry berkata, momentum dan mood sangat penting dalam memastikan watak disampaikan dengan baik.

“Saya cuba sedaya upaya untuk mengekalkan momentum lakonan supaya konsentrasi terhadap watak yang dipegang konsisten.

“Hal ini disebabkan walaupun hanya mendukung watak sampingan. Jangka masa penggambaran yang panjang boleh menyebabkan pelakon itu hilang konsentrasi.

“Namun, segalanya dalam perancangan kerana jadual penggambaran yang tidak begitu padat membolehkan saya mengambil masa sendiri dan tidak terburu-buru,” jelasnya.

Teman hidup

Tidak lengkap cerita tanpa bertanya kepada Sherry tentang perkembangan cintanya dengan jejaka Mauritius seperti yang pernah dikongsikan sebelum ini.

Sherry dalam senyuman bagaimanapun memberitahu, ia kini sudah menjadi sejarah buat dirinya. Hubungan dengan jejaka itu telah berakhir dan dia melihat episod cinta yang tidak kesampaian itu banyak mematangkan dirinya dalam memahami erti mencari cinta sebenar.

Sedar bahawa dirinya bukan lagi muda, dia bagaimanapun tidak mahu gopoh untuk kembali bercinta, sebaliknya mengambil pendekatan memberi fokus terhadap karier demi memastikan dia tidak terlalu memikirkan sangat soal jodoh yang masih belum kunjung tiba.

“Jika ditanya tentang status hubungan percintaan, terus terang Sherry kata, buat masa ini Sherry masih belum ada sesiapa lagi kerana baru putus cinta.

“Kami berpisah tahun lepas setelah hampir dua tahun bercinta. Selepas itu Sherry ambil keputusan untuk menumpukan sepenuh perhatian pada diri sendiri, katanya.

Bagaimanapun Sherry yang tampil anggun pada sesi fotografi baru-baru ini mengakui ada berkawan dengan ramai jejaka tetapi tidak ke arah percintaan. Dia juga tidak akan menolak jika sudah sampai waktu bertemu jodoh.

“Saya ada menjalinkan hubungan dengan beberapa teman lelaki, namun ia sekadar berkawan sahaja, tidak lebih daripada itu,” katanya.
Previous Post Next Post