Lisa Surihani Mahu Hias Rumah Anak Yatim


Lisa Surihani akan melakukan aktiviti amal di rumah anak yatim bersama rakan-rakan artis.

Pelakon Lisa Surihani memberitahu dia mempunyai cara bebeza berbanding artis lain dalam menjalani aktiviti amal kebajikan sempena Ramadan kali ini.

Lisa berkata, dia bersama beberapa rakan artis memilih untuk menghias rumah anak-anak yatim dengan pelbagai kelengkapan baharu yang secara tidak langsung memberi semangat kepada mereka menyambut Hari Raya.

"Saya dan beberapa rakan artis seperti Tam Suhaimi, Sari Yanti, dan Intan Ladyana sedang merancang untuk buat aktiviti amal di rumah anak-anak yatim sebelum Hari Raya ini,

"Kami membuat keputusan untuk menghias dan memberi wajah baru kepada bilik dan rumah mereka, ini perkara yang berbeza daripada aktiviti kebajikan lain yang selalunya memberi sumbangan makanan dan baju raya," ujarnya kepada mStar Online.

Tambah Lisa, buat masa ini dia masih lagi mencari maklumat dan dalam proses memilih rumah anak yatim yang akan dikunjungi itu.

Sementara itu, Lisa berkata, perkara tersebut dilakukan bagi memberi sedikit kegembiraan kepada anak-anak yatim yang kurang bernasib baik.






"Sepanjang Ramadan ini saya tidak ada sebarang penggambaran, jadi saya dan beberapa rakan artis memikirkan satu aktiviti yang sesuai dilakukan terutama dalam membuat amal kebajikan.

"Selepas itu kami fikir untuk beri sumbangan kepada anak-anak yatim tetapi dengan cara yang berbeza kerana sudah ramai yang buat jamuan serta bagi baju raya kepada mereka.

”Selepas itu kami ambil keputusan untuk datang dan bersama-sama mereka menghias rumah tersebut seperti tukar karpet, kain langsir dan sebagainya supaya mereka gembira untuk menyambut Aidilfitri," ujarnya.

Bagaimanapun kata Lisa, mereka akan bertanya terlebih dahulu kepada rumah-rumah anak yatim berkenaan sama ada perkara tersebut menganggu keselesaan mereka atau tidak.

Tambah Lisa, acara tersebut juga akan dilakukan dalam keadaan sederhana tanpa liputan media.
Previous Post Next Post