Malunya temukan Mark, Ainan



MESKIPUN cuaca panas petang itu agak menggigit kulit namum ia sedikit pun tidak mengganggu perjalanan sesi fotografi penyanyi Mark Adam dan Ainan Tasneem.

Seperti perancangan awal, dua penyanyi yang kian meningkat naik namanya itu digandingkan bersama dalam pertemuan bersama Sensasi Bintang baru-baru ini.

Baik Mark mahupun Ainan, mereka tidak pernah bertemu sebelum ini. Jauh sekali untuk berbicara mesra walaupun berada di lembah yang sama.

Namun, dek kerana lagu Malunya, mereka kemudian dipertemukan.

Bermula daripada detik itulah, perkenalan mereka terjalin. Nyata, kedua-duanya punya keserasian bersama. Apatah lagi jiwa dan cita rasa mereka jika diukur tidak jauh bezanya. Kedua-duanya meminati muzik dan suka berkarya.

Mendendangkan lagu ciptaan Mark dan DJ Fuzz, Ainan tampil berpadu suara bersama penyanyi kelahiran Cebu, Filipina itu.

Justeru, Sensasi Bintang minggu ini membawakan kisah mereka berkolaborasi menerusi naskhah Malunya.

SENSASI BINTANG: Ceritakan bagaimana kalian boleh dipertemukan bersama menerusi lagu Malunya?

MARK ADAM (M): Mungkin ada yang tertanya-tanya macam mana kami boleh berduet. Sebenarnya, saya dengan Ainan duduk di bawah syarikat label rakaman yang sama, jadi daripada situ sebenarnya idea untuk berkolaborasi itu muncul. Lagipun, apabila saya mendengar suaranya, saya rasakan lagu itu juga sesuai dinyanyikan Ainan.

AINAN TASNEEM (A): Apabila saya diberitahu syarikat rakaman bahawa saya akan berduet bersama Mark Adam, semestinya ia satu peluang yang baik. Saya dah lama tunggu untuk menyanyi bersamanya. Apatah lagi saya merupakan peminat dia, jadi saya memang teruja dengan peluang ini.

Apa yang kalian boleh kongsikan mengenai lagu Malunya?



M: Lagu itu sebenarnya ciptaan saya bersama DJ Fuzz. Saya terlibat dalam mengatur melodi lagu tersebut. Ia merupakan kesinambungan daripada lagu Pencuri yang saya nyanyikan sebelum ini. Liriknya ditulis oleh Adeep Nahar.

A: Lagu itu sangat catchy rentaknya. Pertama kali dengar demo lagu itu saya dah jatuh hati dengan melodinya. Lagunya cukup santai dan tak begitu berat untuk didengar. Sekali dengar orang mungkin akan ingat lagu itu.

Apa istimewanya lagu ini buat kalian?

M: Lagu Malunya ini sebenarnya menampilkan tiga orang kerana turut melibatkan rapper Juzzthin untuk wujudkan elemen harmoni dalam lagu. Malah, menerusi lagu ini juga, sudah ada peminat Ainan menjadi pengikut saya juga.

A: Ini single pertama saya berduet bersama penyanyi lelaki. Tambahan pula, ini peluang yang bermakna kerana dapat bekerjasama dengan penyanyi kegemaran saya. Uniknya, bagi bahagian solo kami rakam berasingan. Kami bertemu ketika bahagian paduan suara sahaja. Itulah pertama kali berjumpa dan segalanya dipermudahkan.

Apa yang boleh kalian katakan mengenai pasangan duet kalian?

M: Dia seorang yang sangat merendah diri. Mudah bekerjasama dengan dia. Lagipun suaranya serasi dengan suara saya, jadi dari segi aspek nyanyian tak ada masalah. Sebenarnya, sebelum berduet saya sudah kaji diri Ainan, dari segi suara dan cara nyanyiannya. Saya merasakan kami tiada masalah untuk berduet.

A: Dia pandai mengajar saya cara ton suara yang sesuai untuk nyanyikan lagu itu memandangkan dia juga guru vokal. Mark tidak lokek untuk berkongsi ilmu muzik. Saya sendiri rasakan kami tiada masalah berduet sebab kami ada keserasian itu.

Mungkin kalian ada perkara yang ingin dikongsikan mengenai sambutan puasa kali ini?

M: Ini tahun ke-12 saya bergelar Muslim. Waktu mula-mula berpuasa memang saya agak sukar, asyik tengok peti ais sahaja. Tapi, sekarang dah okey. Biasanya, kalau berbuka saya akan makan kurma, kemudian bubur lambuk baru makan nasi. Menu biasa yang wajib ada, ayam goreng.

A: Alhamdulillah, setiap tahun saya menyambutnya bersama ahli keluarga di sini (Kuala Lumpur) memandangkan bulan Ramadan akan jatuh pada waktu saya cuti semester seperti sekarang.

Saya belum pernah ada pengalaman berpuasa bersama kawan-kawan di kolej. Kalau sahur itu, paling tidak saya akan minum air kosong dan kurma. Untuk juadah berbuka pula antara menu yang menjadi kegemaran saya ialah kebab.

Apa perkembangan terkini kalian?

M: Selain menyanyi, saya mula menceburi bidang lakonan dengan berlakon dalam drama Haji Rock yang akan ditayangkan pada Hari Raya Aidiladha nanti. Agak susah juga berlakon sebab kena hafal skrip. Dapat skrip tengok setebal 72 muka surat, tapi ia satu pengalaman yang bagus.

A: Saya kini baru sahaja memulakan latihan praktikal selama tiga bulan di sebuah syarikat di Bukit Jalil. Memandangkan saya kini di Kuala Lumpur jadi ia lebih mudah untuk saya memenuhi undangan fotografi atau persembahan. Saya juga sudah merakamkan lagu ciptaan Glenn Fredly berjudul Setengah Hati. Lagu itu dijangka bertemu pendengar selepas sambutan Aidilfitri nanti.




Previous Post Next Post