Maya Karin Sedih Dalam Ria


FIGURA ini cukup prihatin dengan setiap apa yang berlaku di sekeliling dirinya.

DEMAM bola sepak Piala Dunia yang melanda tidak tertumpu pada khalayak umum sahaja. Malah, demam yang hanya datang empat tahun sekali ini turut dirasai oleh selebriti dan personaliti tanah air.

Umum mengetahui, pelakon cantik berdarah kacukan Maya Karin, 35, merupakan anak jadi kelahiran Bayreuth, Jerman. Justeru, aktres yang mula dikenali menerusi filem Pontianak Harum Sundal Malam ini tidak terkecuali menunjukkan sokongan pada negara kelahirannya itu ketika perlawanan antara pasukan Jerman menentang Brazil yang berlangsung awal minggu ini.

“Saya menonton perlawanan Jerman menentang Brazil bersama tiga orang rakan lain. Ketika mula-mula Jerman menjaringkan gol, saya berasa sungguh gembira.

“Begitupun, selepas mereka berjaya menjaring gol kedua hingga kelima, saya jadi tidak keruan. Saya terus menjerit berlari-lari keliling rumah sambil melompat-lompat. Saya seperti tidak percaya!,” tutur Maya yang ditemui pada sidang akhbar memperkenalkan program-program Astro sempena Aidilfitri dan majlis berbuka puasa Astro di Hotel Royal Chulan baru-baru ini.






Menangis

Namun, kegembiraan Maya terus terpadam tatkala pelantun lagu Teka-Teki itu terbaca dan melihat gambar-gambar mengenai insiden pengeboman tentera Israel terhadap Gaza selepas berlangsungnya perlawanan tersebut.

“Sejujurnya, kegembiraan kemenangan negara Jerman dirampas oleh berita pengeboman tersebut. Saya begitu sedih dan insiden itu membuatkan saya hampir menangis,” ujarnya.

Tambah Maya, apa yang mampu dilakukan sebagai seorang manusia biasa adalah memanjangkan doa setiap kali bersembahyang dan meminta agar keselamatan penduduk di Gaza kekal terpelihara.

“Itu sahaja yang termampu untuk dilakukan sekarang. Tiada yang lebih baik daripada berdoa dan meminta agar mereka berhenti daripada menyerang Gaza.


MAYA KARIN begitu teruja apabila Jerman layak masuk ke final Piala Dunia kali ini.

“Namun, jika kita benar-benar mahukan keamanan, kita harus bersatu dan berbuat sesuatu yang mampu untuk mengubah keadaan sekarang,” ujarnya lagi.

Raya di London

Menyentuh mengenai persiapan hari raya, Maya yang kerap ke luar negara untuk menyambut kedatang Aidilfitri telah memilih kota London, England sebagai destinasi pilihannya tahun ini.

Ujarnya, dia bakal menyambut lebaran bersama ayah serta adik perempuannya sebelum pulang ke Malaysia bagi mempersiapkan diri sebelum pementasan teater muzikal Supermokh bermula.

“Cuti raya pada tahun ini tidak terlalu panjang, cuma lima hari. Tahun lepas, saya sudah beraya bersama ibu saya di sini. Justeru, saya memilih untuk meraikan kedatangan Syawal kali ini bersama ayah dan adik di London.

“Lagipun, jarang sekali saya bertemu dengan ayah saya. Kebetulan, adik saya baru sahaja bertunang. Jadi, boleh saya menghabiskan masa bersama-sama mereka,” katanya sambil tersenyum.

Melanjutkan perbualan mengenai persiapannya untuk hari raya nanti, Maya tidak mahu berlebih-lebih dalam menyediakan juadah.

Katanya, dia lebih gemar jika sambutan hari raya diadakan secara sederhana sahaja.

“Apa yang penting adalah kami dapat berkumpul setelah lama tidak berjumpa. Selain dapat bertanya khabar dan meluangkan masa, kami juga dapat menikmati juadah hari raya bersama-sama,” ujarnya yang bakal menyediakan makanan kegemaraannya, lontong pada hari raya pertama di London.
Previous Post Next Post