Fizo, Kamal, Hairul sokong Jerman atau Argentina?


FIZO, Kamal dan Hairul sangat teruja ketika kali pertama melawat Nou Camp di Barcelona, Sepanyol baru-baru ini.

JERMAN atau Argentina? Itu persoalan yang bermain dalam benak fikiran setiap peminat bola sepak di seluruh dunia ketika ini. Final Piala Dunia 2014 bakal berlangsung pada pukul 3 pagi Isnin, 14 Julai ini menyaksikan Jerman dan Argentina masuk ke gelanggang pertarungan.

Persoalan tersebut tidak ketinggalan berada dalam benak fikiran golongan artis tempatan. Jika aktres jelita, Maya Karin yang sememangnya dari awal menyokong Jerman dan ternyata cukup gembira serta teruja apabila pasukan tersebut berjaya masuk final, lain pula dengan tiga aktor kacak Fizo Omar, Kamal Adli dan Hairul Azreen.

Ketiga-tiga Fizo, Kamal dan Hairul merupakan peminat tegar pasukan tuan rumah, Brazil yang kalah teruk 1-7 kepada Jerman pada peringkat separuh akhir.

"Saya sangat marah dengan kekalahan Brazil kepada Jerman tempoh hari," akui Kamal.

Sementara menurut Hairul pula, dia sama sekali tidak menyangka Brazil akan kalah memandangkan ia adalah pasukan tuan rumah. "Saya ingat sebagai tuan rumah, Brazil akan melalui jalan mudah untuk ke final Piala Dunia kali ini, tetapi rupa-rupanya tidak," tuturnya dalam nada kecewa.






Ujar Fizo pula: "Saya sedih dan terkejut dengan kekalahan Brazil tetapi dalam masa yang sama kagum dengan kemenangan Jerman."

Sebelum itu, ketiga-tiga pelakon tersebut sebenarnya telah berada di bumi Sepanyol dari 23 hingga 30 Jun lalu mengikuti rombongan percutian artis ke Barcelona dibawa oleh butik mutiara terkenal tanah air, Rafflesia, The Pearl Centre dan syarikat penerbangan antarabangsa, AirFrance. Turut serta dalam percutian tersebut ialah pelakon Tasha Shilla dan Miera Leyana.

Pada hari ketiga berada di Barcelona, Fizo, Kamal dan Hairul telah berpeluang melawat Nou Camp, stadium milik salah sebuah kelab bola sepak terunggul di dunia, FC Barcelona yang menaungi antara pemain bola sepak tersohor dunia seperti Lionel Messi, Neymar dan Xavi. Dengan kapasiti tempat duduk mencecah 99,354, Nou Camp merupakan stadium terbesar di Eropah.

Biarpun Sepanyol kecundang awal dalam saingan Piala Dunia kali ini, namun ketiga-tiga Fizo, Kamal dan Hairul merupakan peminat tegar FC Barcelona.

Berikut antara coretan pengalaman mereka ketika berada di Nou Camp, serta jawapan masing-masing tentang pasukan manakah antara Jerman atau Argentina yang menjadi pilihan mereka sebagai juara Piala Dunia 2014.


FIZO turut ditemani isterinya, Mawar Abdul Karim.

Fizo Omar

ADAKAH anda seorang individu yang bergelar 'gila bola'?

Sejak dari kecil lagi, saya sudah terlibat secara serius bermain bola sepak di peringkat negeri dengan mewakili Kelantan. Kemudian saya juga terlibat dalam beberapa kejohanan peringkat umur sehinggalah berjaya mewakili Malaysia bawah 16 tahun dalam Kejohanan Piala Nike yang diadakan di Korea Selatan. Apabila menyambung pengajian di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Arau, saya juga terpilih juga mewakili Perlis bagi skuad Piala Presiden dan Liga Super. Antara kenangan manis apabila bersama Perlis adalah ketika berjaya memenangi Piala Malaysia pada tahun 2005. Saya bermain di posisi tengah dan pertahanan ketika itu. Tamat pengajian, saya beralih angin ke Kuala Lumpur dan mewakili pasukan Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang juga merupakan pasukan bola sepak terakhir disertai sebelum saya mengambil keputusan untuk bersara dari dunia bola sepak selepas sudah terlibat dalam bidang peragaan dan lakonan. Selepas tidak aktif bermain bola sepak, saya memang gila menonton setiap perlawanan bola sepak terutama Piala Dunia yang berlangsung empat tahun sekali ini.

Gambarkan perasaan anda ketika menjejakkan kaki buat pertama kali ke Nou Camp?

Sudah tentu saya cukup teruja kerana Nou Camp merupakan stadium yang cukup mengagumkan dari segi segala-galanya. Saya berhasrat akan kembali ke sini untuk menyaksikan perlawanan bola sepak secara langsung.

Apakah pandangan anda terhadap FC Barcelona sebagai antara kelab bola sepak terulung di dunia?

FC Barcelona merupakan sebuah kelab bola sepak yang amat profesional khususnya dari segi penyusunan kedudukan para pemainnya ketika beraksi di padang.

Siapakah pemain FC Barcelona yang menjadi idola anda?

Lionel Messi dan Neymar .

Apakah produk FC Barcelona yang anda beli di Nou Camp dan berapa jumlah kos yang telah digunakan?

Hampir semua jenis produk FC Barcelona yang ada di Nou Camp saya beli termasuklah jersi, baju-T dan kasut. Kos yang dihabiskan tak perlu saya sebut di sini rasanya.

Pilih dua pasukan yang akan bersaing pada final nanti? Apakah pasukan yang anda harapkan bakal menjuarai Piala Dunia kali ini?

Brazil lawan Belanda, juaranya ialah Brazil.

Memandangkan pasukan pilihan anda sudah mengalami kekalahan, jadi apakah pasukan manakah bagi anda yang bakal menjuarai Piala Dunia kali ini antara Argentina dan Jerman dan kenapa?

Saya pilih Jerman berdasarkan daripada segi disiplin bola sepak memang sangat mantap. Keseluruhan pasukan Jerman sangat komited. Jerman adalah pasukan yang sempurna.


KAMAL ADLI menegaskan dia marah dengan kekalahan pasukan Brazil di tangan Jerman.

Kamal Adli

ADAKAH anda seorang individu yang bergelar 'gila bola'?

Saya memang melibatkan diri dengan sukan bola sepak sejak bersekolah lagi. Sebenarnya saya hampir-hampir menjadi pemain pasukan bola sepak negeri Selangor dan saya sepatutnya hadir untuk bermain dengan mereka buat kali pertama. Namun, atas sebab peribadi saya tidak dapat hadir, jadi haluan saya untuk menjadi pemain bola sepak profesional terpadam begitu sahaja. Buat masa sekarang, dalam kesibukan jadual kerjaya seni, saya aktif dengan futsal.

Gambarkan perasaan anda ketika menjejakkan kaki buat pertama kali ke Nou Camp?

Sedikit kecewa kerana tidak dapat menonton perlawanan bola sepak secara langsung di Stadium Nou Camp. Namun, saya bertuah kerana terpilih ke Barcelona dan berpeluang menjejakkan kaki buat kali pertama di sini. Sementelah ini kali pertama saya menjejakkan kaki ke Eropah. Di Nou Camp, saya berpeluang untuk mengetahui dengan lebih terperinci tentang FC Barcelona.

Apakah pandangan anda terhadap FC Barcelona sebagai antara kelab bola sepak terulung di dunia?

Saya memang sangat suka dengan corak permainan FC Barcelona. Ia muncul antara kelab terulung di dunia hasil sokongan padu dan profesional dari segala aspek terutama memiliki stadium (Nou Camp) lengkap dengan segala fasiliti yang sempurna serta bertaraf dunia.

Siapakah pemain FC Barcelona yang menjadi idola anda?

Lionel Messi dan Neymar.

Apakah produk FC Barcelona yang anda beli di Nou Camp dan berapa jumlah kos yang telah digunakan?

Saya beli dua helai jersi dan dua helai baju-T. Kosnya mencecah ratusan ringgit.

Pilih dua pasukan yang akan bersaing pada final nanti? Apakah pasukan yang anda harapkan bakal menjuarai Piala Dunia kali ini?

Jerman lawan Brazil. Juaranya saya pilih Brazil.

Memandangkan salah sebuah pasukan pilihan anda sudah mengalami kekalahan, jadi apakah pasukan pilihan anda yang bakal menjuarai Piala Dunia kali ini antara Argentina dan Jerman dan kenapa?

Saya sebenarnya mahu Jerman kalah sebab pasukan itu sudah kalahkan Brazil dengan teruk. Jadi, saya pilih Argentina sebab Lionel Messi merupakan salah seorang pemain dalam pasukan itu. Saya harap Argentina akan kalahkan Jerman dan buktikan bahawa Argentina juga ada pemain yang berkualiti.


HAIRUL AZREEN merupakan peminat tegar pasukan Brazil.

Hairul Azreen

ADAKAH anda seorang individu yang bergelar 'gila bola'?

Saya sebenarnya bukanlah gila bola sangat, tetapi saya obses dengan FC Barcelona. Sebelum ini, impian saya untuk menjejakkan kaki ke Stadium Old Trafford yang dimiliki kelab Manchester United sudah tercapai. Kini impian saya untuk sampai ke FC Barcelona juga nampaknya sudah tercapai.

Gambarkan perasaan anda ketika menjejakkan kaki buat kali pertama di Nou Camp, stadium bola sepak milik FC Barcelona?

Bagaikan sedar dalam mimpi apabila saya berdiri di dalam Stadium Nou Camp. Ini kerana FC Barcelona merupakan kelab bola sepak idola nombor satu saya. Sememangnya ini merupakan kali pertama saya menjejakkan kaki ke sini, jadi saya berasa sangat teruja terutama apabila dapat berjalan di laluan dari bilik persalinan ke padang. Rasa macam tak percaya dan sehingga saya mahu berlari masuk ke atas padang.

Apakah pandangan anda terhadap FC Barcelona sebagai antara kelab bola sepak terulung di dunia?

Faktanya adalah saya memang tak pandang kelab bola sepak lain. FC Barcelona merupakan kelab bola sepak paling berjaya di dunia termasuk antaranya termasuklah menjadi juara empat kali Kejohanan Liga UEFA dan dua kali juara FIFA Club World Cup.

Siapakan pemain FC Barcelona yang menjadi idola anda?

Lionel Messi, Neymar, Xavi dan Andres Iniesta.

Apakah produk FC Barcelona yang anda beli di Nou Camp dan berapa jumlah kos yang telah digunakan?

Saya beli beberapa helai jersi dan baju-T yang bernilai RM423 setiap sehelai.

Pilih dua pasukan yang akan bersaing pada final nanti? Apakah pasukan yang anda harapkan bakal menjuarai Piala Dunia kali ini?

Sebelum ini saya ramalkan Sepanyol dan Brazil akan masuk gelanggang final Piala Dunia kali ini, tetapi Sepanyol sudah tersingkir awal-awal lagi. Jadi, saya memang mengharapkan Brazil yang akan bergelar juara.

Memandangkan pasukan pilihan anda sudah mengalami kekalahan, jadi apakah pasukan manakah bagi anda yang bakal menjuarai Piala Dunia kali ini antara Argentina dan Jerman dan kenapa?

Bagi saya, harapan sudah hancur apabila Brazil kalah. Antara Argentina dengan Jerman, saya tak tahu nak pilih yang mana sebagai juara. Sebabnya, Jerman sudah kalahkan pasukan pilihan saya, Brazil. Argentina pun saya tak pilih, jadi saya tak pilih kedua-duanya. Saya tetap pilih Brazil dan sanggup tunggu empat tahun lagi untuk Piala Dunia berlangsung sekali lagi dan Brazil akan menjadi juaranya.
Previous Post Next Post