Park Bom obses pembedahan plastik



WAJAH Park Bom pada tahun ini, nyata terlalu berbeza pada saat awal kemunculannya pada tahun 2009.

SEJAK kebelakangan ini nama Park Bom, anggota kumpulan 2NE1 sering menjadi sebutan media di Korea Selatan. Terbaharu, penyanyi yang bernaung di bawah syarikat rakaman YG Entertainment telah dituduh menyeludup dadah jenis amfetamin dari Amerika ke Korea Selatan.

Berita penyeludupan dadah itu masih hangat diperkatakan, namun, perubahan wajah Park Bom juga semakin mendapat perhatian peminat.

Ironinya, pembedahan plastik merupakan satu perkara yang normal buat penduduk Korea Selatan.

Seorang pakar bedah di negara berkenaan pernah memberitahu, 95 peratus selebriti di Korea Selatan menjalani pembedahan plastik untuk mencantikkan wajah mereka.

Park Bom juga tidak terkecuali daripada senarai berkenaan. Perubahan wajahnya semakin ketara tahun demi tahun menyebabkan peminatnya bimbang kerana wajahnya semakin mirip dengan patung Barbie.

Sebelum menjadi pelatih di YG Entertainment, Park Bom bersekolah di Amerika Syarikat.

Dikenali dengan nama Jenny Park, dia merupakan salah satu atlet bola sepak wanita di sekolahnya.

Menjadi saksi kematian rakannya yang rebah dan mati, menyebabkan Park Bom trauma dan mengambil keputusan untuk berpindah ke Korea Selatan.

Ketika berjaya melepasi uji bakat YG Entertainment wajah Park Bom cukup berbeza dengan Park Bom yang dikenali hari ini.

Matanya ketika itu cukup sepet, rahang wajah juga agak besar tidak tirus seperti hari ini. Bukan itu sahaja, dia turut melakukan implan dagu serta pembedahan membesarkan payudara.

Lebih daripada itu, Park Bom juga didakwa memalsukan usia sebenarnya daripada pengetahuan umum.

Park Bom mendakwa, dia lahir pada tahun 1984, bermakna tahun ini dia berusia 30 tahun. Hakikat sebenarnya wanita ini dilahirkan pada tahun 1982, yang menjadikan dia berusia 32 tahun.

Dia bersama kumpulan 2NE1 mula melancarkan kerjaya nyanyian pada 17 Mei 2009 menerusi lagu single Fire. Dalam video muzik lagu berkenaan, peminat sudah boleh melihat perubahan padai wajahnya, namun waktu itu perubahan yang dilakukan tidak terlalu ketara daripada wajah sebenarnya.

Bagaimanapun tahun lalu, Park Bom mengejutkan ramai peminatnya apabila hadir dalam sebuah majlis. Bukan kerana pakaian yang dikenakannya, tetapi perubahan wajahnya yang semakin berubah dan kelihatan aneh.

Peminat yang bimbang dengan keadaan idola kesayangan mereka telah meminta Park Bom berhenti melakukan pembedahan plastik di wajahnya kerana kini bukannya semakin cantik tetapi aneh dan hampir serupa dengan patung Barbie.

Sungguhpun begitu, seperti biasa Park Bom tidak pernah mengaku melakukan pembedahan plastik walaupun wajahnya semakin berubah daripada wajah yang asal.




Previous Post Next Post