Penyanyi Yuna yang kini berada di luar negara sedang sibuk mempromosikan album terbarunya yang berjudul 'Nocturnal' di sekitar Amerika Syarikat. Bukan sahaja sibuk mempromosikan albumnya, tetapi Yuna sibuk membuat persembahan di sana. Murah rezeki Yuna.
Bercerita mengenai perniagaan butiknya, November Culture, yang telah dilancarkan pada Jun 2014 jangan tidak tahu, Yuna sama sekali tidak lepas tangan kepada pekerjanya malah dia mengawasi perjalanan butiknya itu. “Setakat ini Alhamdulillah semuanya baik. Sibuk itu memang sibuk sebab saya kena monitor from US. Setakat ni saya monitor trough online semua sebab saya yg buat sendiri tempahan design, pricing semua. Boleh katakan saya buat semuanya melalui online dan team saya di Malaysia akan tolong saya dari segi production atau set up shop semua di Malaysia”.
Beralih kepada bulan Ramadan, pastinya berbeza bagi Yuna lagi pula jauh dengan keluarga. “Puasa di US agak sukar kerana masa untuk berpuasa sangat panjang, susah mencari makanan yang halal. Jika ada pun agak jauh dan perlu memandu untuk mencari makanan halal. Selain itu saya jauh dari keluarga jadi tidak berapa seronok kerana tidak dapat berbuka bersama mereka. Saya rindu makanan Malaysia, teh tarik dan nasi daun pisang. Alhamdulillah ibu saya akan datang ke Amerika pada hujung bulan ini untuk menemani saya”, kata Yuna yang menggemari Char Kueh Teow ketika berbuka puasa.
Selain dari itu, Yuna akan pulang ke tanah air untuk menyambut Hari Raya nanti untuk menghabiskan masa dengan keluarga dan rakan-rakannya. Al maklumlah Yuna pun jika pulang ke Malaysia hanya sebentar sahaja itu pun kerana dia ada persembahan pentas atau perkara yang tertentu. Selain dari itu, Yuna akan membuat persembahan di MTV Worldstage Ogos ini. Jadi sambil bercuti Hari Raya, sambil bekerja juga.
Buat peminat Yuna sekalian, sedikit ucapan dari Yuna buat anda semua :
“Saya ingin mengucapkan selamat menyambut bulan Ramadan dan banyakkan bersabar sepanjang bulan suci ini. Terima kasih kerana menyokong muzik saya selama ini dan jangan lupa untuk ke kedai butik saya, November Culture di Subang SS15”.