Zizan Razak: Kontrak Melodi tamat, bukan berundur


TIDAK lagi bersama Melodi, Zizan masih aktif di kaca televisyen.

SELEPAS empat tahun mengemudikan rancangan hiburan popular TV3, Melodi, Zizan Razak akhirnya mengumumkan pengundurannya pada episod akhir Ahad lalu (29 Jun).

Menerusi siaran secara langsung itu, Zizan yang baru pulang dari Tokyo, Jepun, kelihatan sebak dan menitiskan air mata ketika mengumumkan berita itu. Pada masa sama Zizan ditemani hos bersama, Awal Ashaari.

Zizan antara lainnya mengucapkan kata-kata terima kasih kepada produksi Melodi dan penonton setia yang mengikuti perkembangan rancangan itu yang bersiaran selama satu jam setiap hari Ahad pukul 12.30 tengah hari.

Rancangan Melodi yang disiarkan di TV3 sejak tahun 1993 pernah dikendalikan oleh pengacara popular tanah air seperti Fara Fauzana, Dira Abu Zahar, Datuk Aznil Nawawi dan Fauziah Ahmad Daud.

ARTISMELETOP! mendapatkan kenyataan lanjut daripada pelakon filem Abang Long Fadil itu berhubung pengundurannya daripada mengacarakan rancangan Melodi. Ikuti temu bual tersebut.

ARTISMELETOP!: Selepas empat tahun bersama Melodi, apakah punca sebenar Zizan berundur daripada rancangan itu?

ZIZAN RAZAK: Kontrak saya sudah tamat dan saya tidak merancang untuk melanjutkan kontrak itu. Jadi, Ahad lalu adalah episod terakhir saya bersama program tersebut. Bukan saya berundur tapi kontrak tidak disambung sebenarnya.

Adakah anda sedih dengan keputusan yang telah diambil?

Ya, memang sedih kerana ini antara program televisyen dan pasukan yang amat saya sayangi dan senang untuk bekerjasama.

Anda akhirnya menitiskan air mata, mengapa?

Sudah berminggu-minggu saya tahan sebelum muncul di kaca televisyen bersama Melodi buat kali terakhir dan rezeki saya sampai di sini. Tapi perkara ini biasa berlaku, sebelum ini pun Fara Fauzana pernah mengakhiri khidmatnya bersama Melodi dan kali ini giliran saya pula. Bukan sebab silap sesiapa dan tamatnya saya dengan Melodi juga bukan sebab ada masalah. Saya tidak boleh sorok perasaan saya ketika itu dan akhirnya menangis juga.

Sepanjang bersama Melodi, apakah pelajaran penting yang anda dapat kutip?

Banyak yang dapat saya pelajari sepanjang bersama Melodi, daripada tidak berapa pandai hingga menjadi diri saya hari ini terutama aspek pengacaraan televisyen secara langsung.

Bersama pasukan ini juga tidak banyak masalah dan jika ada teguran pun mereka sampaikan secara baik-baik. Mereka bertanggungjawab ke atas saya dalam segala aspek bukan hanya kerja semata-mata.

Siapakah yang bakal menggantikan posisi anda sebagai hos tetap Melodi selepas ini?

Susah untuk saya nyatakan siapa yang bakal menggantikan saya sebab perkara ini sangat subjektif. Kadang-kadang orang yang tidak kelakar pun boleh menjadi hos sebab ia melibatkan pengetahuan dan minat yang mendalam. Sukar untuk saya menilai siapa yang layak menggantikan saya selepas ini.

Komen anda mengenai beberapa hos jemputan yang pernah digandingkan bersama Awal Ashaari untuk mengendalikan siaran langsung Melodi?

Sepanjang ketiadaan saya ke Jepun selama sebulan, saya tidak dapat mengikuti siaran Melodi dari sana. Jadi saya tidak boleh komen lanjut mengenai perkara ini.

Memandangkan Zizan telah disunting oleh Astro untuk menjadi artis rasmi stesen televisyen swasta itu, adakah selepas ini anda hanya akan dilihat menghiasi rancangan terbitan Astro sahaja?

Tidaklah, saya masih akan menerima tawaran untuk terbabit dengan stesen televisyen lain juga selepas ini. Bukan hanya tertakluk di Astro sahaja.






Bagaimanakah hala tuju karier anda selepas ini, tambahan pula anda kini diuruskan oleh Astro?

Masih sama seperti sebelum ini, cuma mungkin ada perbezaan dari segi pengurusan kerja. Saya sentiasa mencari yang terbaik untuk diri dan karier saya. Astro banyak berbincang dengan saya sebelum menerima sebarang tawaran kerja berdasarkan kemampuan diri saya.

Terlanjur berbicara mengenai hala tuju karier dan pengurusan, bagaimanakah perkembangan kes yang membabitkan anda, bekas pengurus anda, Marina Juki dan syarikat pengurusan anda, Wirefame Entertainment Sdn. Bhd.?

Saya berharap pihak media akan memberikan saya sedikit masa untuk menyelesaikan isu ini dalam kalangan rakan niaga kerana ia merupakan isu peribadi berkenaan syarikat. Saya akan menghubungi pihak media untuk memberikan penjelasan selanjutnya apabila keadaan membolehkan saya berbuat demikian.

Bagaimana boleh anda katakan apabila banyak pihak mengaitkan kekasih anda, Emma dalam isu ini?

Emma tidak ada kena mengena dalam kes ini. Orang yang kenal Emma akan tahu kedudukan ini kerana ini soal syarikat, bukan tentang kisah peribadi.
Previous Post Next Post