Amyra putus, Dazrin tunda


PEMBATALAN pernikahan Dazrin dan Amyra mengejutkan ramai pihak. Ada yang mendakwa pelakon Ramona Zam Zam sebagai perosak kebahagiaan pasangan yang bertunang sejak tahun lepas ini.

KATA pepatah, 'sangkakan panas hingga ke petang, rupanya hujan di tengah hari.' Sudah berkompang dan bergendang satu Malaya, akhirnya persiapan perkahwinan yang dilakukan terpaksa dilupakan begitu sahaja apabila majlis pernikahan antara pelakon, Amyra dengan tunangnya, Dazrin Kamaruddin yang sepatutnya berlangsung Jumaat lalu dibatalkan.

Mereka menyulam cinta sejak sama-sama membintangi drama bersiri Jodoh musim pertama di saluran Astro Ria. Dua pucuk muda itu sepakat mengikat tali pertunangan pada 25 Ogos tahun lalu.

Akur dengan suratan, pemilik nama sebenar, Nur Amira Izzati Rosli, 23, itu tetap enggan mendedahkan punca keretakan hubungannya dengan Dazrin.

Amyra yang popular menerusi drama Ku Cinta Kau Seorang itu berkata, dia reda biarpun majlis perkahwinan mereka terpaksa dibatalkan empat hari sebelum majlis berlangsung.

"Apa yang boleh saya katakan semuanya berlaku kerana tiada jodoh antara kami. Selepas perbincangan antara kedua-dua belah keluarga, kami nekad mengambil keputusan untuk membatalkan perkahwinan yang sepatutnya berlangsung pada Jumaat lalu.

"Maaf. Saya tidak dapat berkongsi punca kami mahu membatalkan majlis pernikahan ini. Perkara itu terlalu peribadi. Lagipun saya menghormati hubungan yang pernah terjalin sebelum ini.

"Saya juga ingin memohon maaf kepada saudara-mara dan sahabat-handai yang sebelum ini bertungkus-lumus membantu saya dan Dazrin menyiapkan persiapan perkahwinan," ujar Amyra ketika dihubungi Sensasi Bintang baru-baru ini.

Jelas Amyra, persetujuan untuk membatalkan tarikh perkahwinan itu berlaku dalam keadaan yang profesional antara mereka.

"Sebenarnya pada bulan Ramadan lalu kami sudah mula berbincang dan cuba untuk mencari kata putus. Namun, pada Isnin lalu saya tampil membuat kenyataan kepada media kerana tidak manis berdiam diri memandangkan jadual majlis perkahwinan mereka sudah ada dalam kalendar pihak media.

"Tiada sebarang pergaduhan yang berlaku selama kami mendapatkan kata putus. Malah, sehingga hari ini hubungan kami masih baik dan rapat," kongsi Amyra.

Sungguhpun begitu, ketika ditebak tentang usaha untuk kembali berbaik seperti sediakala, Amyra memberitahu, dia berserah kepada takdir-Nya.

Katanya lagi, tidak ada seorang wanita pun yang sanggup melihat kehancuran dalam sebuah hubungan percintaan yang dibina. Biarpun berat di hati Amyra, namun dia tetap mahu kuat melayari kehidupan hari muka.

"Saya tetap rasa terkilan kerana ini merupakan impian keluarga untuk melihat kami berumah tangga. Lebih menyedihkan tarikh pembatalan tersebut sangat hampir dengan majlis perkahwinan kami.

"Apa yang membuatkan saya kuat kini ialah saya percaya setiap jodoh itu telah ditentukan oleh Tuhan. Sebagai hamba-Nya, saya harus menerima dengan reda dan percaya bahawa jodoh itu rahsia Tuhan," kata Amyra sambil memberitahu dia belum berkesempatan bertemu Dazrin untuk berbincang lebih lanjut mengenai status hubungan mereka.

Duta Aura White itu menambah, dia turut berasa kecewa kerana rancangan untuk membawa ahli keluarga bercuti bersama-sama sewaktu bulan madu mereka tidak kesampaian.

Sementara itu, Dazrin yang mula dikenali menerusi drama bersiri Adam Dan Hawa menegaskan, mereka hanya menunda tarikh pernikahan, bukannya memutuskan ikatan pertunangan.

Jelas Dazrin lagi, walaupun Amyra membuat kenyataan tentang pembatalan pernikahan mereka, perancangan untuk berkahwin akan tetap diteruskan. Cuma tarikhnya sahaja yang masih belum ditetapkan.

"Perkahwinan kami yang dijadualkan pada 8 Ogos lalu memang dibatalkan tetapi saya akan tetap meneruskan majlis perkahwinan kami. Berilah saya masa untuk berbincang dengan Amyra tentang hala tuju majlis perkahwinan kami.

"Malah, saya juga mahu membetulkan keadaan di sini bahawa isu gambar yang mengaitkan saya dan pelakon, Ramona Zam Zam itu cerita mengarut.

"Mungkin ada pihak yang sengaja mahu mencetuskan kontroversi memandangkan tarikh pernikahan kami semakin hampir. Banyak spekulasi yang dicipta," ujar Dazrin ketika ditanya tentang status hubungannya dengan Amyra.


Previous Post Next Post