TANPA kita sedari, Aidilfitri sudah masuk minggu kedua. Hari raya yang disambut pada 28 Julai lalu ternyata membuahkan bermacam emosi buat seluruh muslimin dan muslimat.
Hari ini, suasana sambutan Syawal masih belum pudar dalam ingatan umat Islam. Ketika ini juga, jemputan ke rumah terbuka pula menjadi aktiviti utama sepanjang Syawal yang berbaki dua minggu sahaja lagi.
Begitu jugalah yang berlaku kepada dua penyampai radio ini. Masing-masing sibuk menyusun jadual untuk memenuhi undangan rumah terbuka sanak-saudara dan sahabat-handai.
Lebaran yang disambut dengan penuh kesyukuran itu telah memberi 1001 makna kepada Azura Zainal yang bertugas di RED FM dan DJ Lin yang terkenal dengan segmen Suria Cinta di Suria FM.
Mana tidaknya, tahun ini menjadi saksi Azura menyambut Aidilfitri buat kali pertama bersama suami, Ibrahim Cristiano Genuino Da Silva.
Sementara itu, DJ Lin yang bersiaran setiap Ahad hingga Jumaat mulai pukul 10 malam itu begitu seronok beraya di kampungnya di Larkin, Johor setelah dua tahun bekerja pada hari raya pertama.
Bertemu DJ Lin dan Azura Zainal, Sensasi Bintang menyelusuri perjalanan raya mereka pada tahun ini sebagai penyampai radio di Kumpulan Star Radio.
SENSASI BINTANG: Ceritakan pengalaman bekerja ketika menyambut Hari Raya Aidilfitri di konti radio.
DJ LIN (D): Aidilfitri tahun ini, giliran saya bercuti kerana sudah dua tahun bekerja ketika menyambut Hari Lebaran. Namun, momen bekerja sewaktu Syawal tahun lalu masih segar dalam ingatan. Bayangkan sebaik selesai mengendalikan segmen Suria Cinta pada pukul 2 pagi, saya terus pulang ke kampung di Larkin. Pada hari raya pertama selepas melawat saudara-mara, saya kena memecut kereta pulang ke Kuala Lumpur (KL). Sekali lagi di dalam konti dan kemudian lari balik semula ke Larkin. Penat tak payah cerita lah, namun pengalaman tersebut sangat berharga kerana bertugas sebagai penyampai radio bukan kerja mudah. Saya harus komited dengan setiap kerja yang dilakukan.
AZURA ZAINAL (A): Setiap kali sambutan Hari Raya Aidilfitri saya mahu bekerja, tiada gunanya saya mengambil cuti kerana saya bertugas pada waktu malam. Biasanya saya akan beraya bersama keluarga sampai petang dan pada sebelah malam kami berehat. Seronoknya bekerja ketika hari raya ialah saya berpeluang berinteraksi bersama pendengar serta berkongsi pengalaman raya bersama.
DJ LIN mengendalikan segmen Suria Cinta di Suria FM bermula pukul 10 malam hingga 2 pagi.
Kalian beraya di mana dan bersama siapa pada tahun ini?
D: Sudah hampir sembilan tahun saya bergelar janda. Jadi setiap tahun saya dan anak-anak akan pulang beraya di rumah ibu di Larkin.
A: Setiap tahun saya akan beraya di Kuala Lumpur kerana keluarga saya menetap di Petaling Jaya. Rutin harian kami pada pagi raya ialah menziarahi sanak-saudara di sekitar KL dan paling jauh kami akan pergi beraya di rumah pakcik sebelah bapa di Bentong, Pahang. Selebihnya kami akan menghabiskan masa di sekitar ibu kota memandangkan pada waktu itu jalan raya sangat lengang. Seronoknya raya tahun ini adalah kali pertama saya beraya bersama suami.
Sewaktu menyambut 1 Syawal lalu, apakah makanan kegemaran wajib yang menjadi santapan kalian?
D: Bercakap pasal menu raya, terlalu banyak makanan istimewa yang akan dihidangkan kepada para tetamu. Antaranya ialah daging kambing masak merah, rendang ayam, sambal tumis, lodeh, ketupat dan lemang. Pada hari raya pertama rumah ibu saya pasti dikunjungi peminat-peminat Suria Cinta yang menetap di Johor. Oleh itu, saya dan adik-beradik telah menyediakan lauk yang banyak untuk menjamu tetamu yang datang.
A: Empat tahun dahulu ketika arwah mak masih ada, dia selalu menyediakan nasi impit, serunding, lemang dan biskut raya. Menu-menu ini wajib dihidang pada pagi raya. Tahun ini kami sekeluarga masih meneruskan tradisi begitu walaupun mak telah tiada. Setiap kali tibanya Syawal, sayalah orang yang paling sibuk di dapur kerana masih tinggal bersama ayah dan adik-beradik di Petaling Jaya.
Bagaimana pula dengan peruntukan duit raya pada tahun ini?
D: Alhamdulillah tahun ini saya peruntukan duit raya sebanyak RM5,000. Selepas bekerja selama setahun inilah masa paling sesuai untuk saya membuat amal jariah. Tetapi niat itu haruslah betul nescaya mendapat keberkatan daripada-Nya.
A: Saya pula tidak pernah memperuntukan duit raya secara tetap. Saya bagi duit raya mengikut kemampuan.
AZURA ZAINAL mula melibatkan diri sepenuh masa dalam dunia penyiaran radio sejak dua tahun lalu.
Bagaimana kalian melihat trend ziarah-menziarahi ketika sambutan hari raya dan adakah kalian merancang untuk mengadakan rumah terbuka?
D: Tradisi ziarah-menziarahi sesama jiran tetangga, saudara-mara, sahabat-handai dan beraya di rumah peminat sudah menjadi suatu kemestian kerana sudah dua tahun berturut-turut saya menganjurkan peraduan konvoi raya rumah peminat di Facebook. Saya percaya langkah ini sedikit sebanyak dapat mengeratkan hubungan silaturahim antara kami. Jika tiada aral melintang saya bakal mengadakan rumah terbuka di Johor.
A: Rumah saya sentiasa terbuka untuk semua. Budaya ziarah menziarahi bukan lagi menjadi agenda utama ketika menyambut hari raya buat orang zaman sekarang. Ramai pula warga kota yang lebih selesa menjadikan cuti hari raya sebagai hari percutian keluarga.
Apakah cabaran besar yang kalian hadapi ketika bekerja sebagai penyampai radio sepanjang Ramadan baru-baru ini?
D: Cabaran besar sewaktu Ramadan baru-baru ini ialah menyediakan makanan berbuka puasa untuk kedua-dua anak saya Nureen Aresya, 13, dan Nazreen Asyran, 11, yang berpuasa penuh pada tahun ini. Banyak jemputan berbuka puasa tidak dapat saya tunaikan kerana mahu berbuka puasa bersama mereka di rumah. Saya juga terkejar-kejar untuk ke konti kerana perlu dahulukan dua permata hati.
A: Selama dua tahun bekerja syif malam, waktu bersama suami dan keluarga untuk berbuka puasa agak terbatas. Malah, saya juga tidak berpeluang untuk solat tarawih secara berjemaah di surau. Jika dulu hampir setiap hari saya akan ke surau bersama ayah.