Didie Alias rasa kekok



SELAMA 15 tahun bahagia menguruskan lima orang anak, pelakon dan pengacara Didie Alias akui tidak sangka sekali lagi dikurniakan cahaya mata hasil perkahwinan keduanya.

Biarpun teruja menyambut orang baharu dalam keluarga, Didie bagaimanapun akui agak kekok menguruskan putera bongsunya, Muhammad Dayyan yang dilahirkan Jun lalu.






“Pada awalnya memang agak serabut juga menguruskan Dayyan, maklumlah sudah 15 tahun saya tidak merasa. Mahu dukung pun saya sudah kekok, inikan pula mahu menyusukan dia.

“Jadi rutin saya kembali pada awal-awal sewaktu pertama kali melahirkan anak. Jadi memang banyak perkara yang saya belajar tambahan pula saya lahirkan Dayyan melalui pembedahan, jadi saya juga perlu beri perhatian untuk diri sendiri,” ujarnya ketika di temui pada majlis sidang media Anugerah Lawak Warna 2014, baru-baru ini.




Pada masa yang sama, Didie turut berkongsi respons anak-anaknya yang dikatakan begitu teruja dengan kehadiran anak bongsunya itu.

“Alhamdulillah, anak-anak memang teruja sampai ada satu ketika mereka berebut untuk menjaga Dayyan.

“Sekarang ini, tumpuan utama memang pada Dayyan. Begitu juga dengan suami saya yang sangat bersyukur kerana impiannya jadi kenyataan,” katanya sambil tersenyum.

Beralih pada kariernya, Didie memberitahu dia kini sibuk terlibat dengan program Super Spontan musim ketiga. Namun dia terpaksa hadkan tawaran seni.

“Sementara Dayyan masih kecil, saya terpaksa tolak dulu tawaran lakonan drama bersiri kerana ia melibatkan masa yang panjang,” ujarnya akhiri perbualan.
Previous Post Next Post