Fasa bahagia Erin Malek



DI saat teruja menikmati keceriaan suasana Aidilfitri terselit perasaan berdebar menantikan hari bahagianya.

Berkongsi perasaan itu, pelakon remaja, Erin Malek akui hatinya semakin berbunga memikirkan saat dia dan tunangnya, Mohamed Farriz Mohamed Fauzy, 30 disatukan.

“Terus terang memang saya tidak sabar menantikan hari bahagia kami yang dirancang bakal berlangsung pada 10 Oktober ini.

“Bayangkan, walaupun majlis akan diadakan lebih kurang dua bulan lagi, saya dan Farriz telah membeli tiket ke Los Angeles sebagai destinasi berbulan madu kami selepas majlis perkahwinan nanti.

“InsyaALLAH, saya harap semuanya akan berjalan dengan baik,” ujarnya sambil tersenyum.

Pemilik nama sebenar, Nur Arina Abdul Malek ini juga memberitahu persiapan majlis perkahwinannya kini sedang dijalankan secara berperingkat.

“Sebenarnya kalau diikutkan masa yang kami ada memang singkat. Jadi persiapan untuk majlis memang saya dan Farriz lakukan daripada awal lagi.

“Memandangkan saya hanya akan kembali bekerja pada pertengahan Ogos, jadi saya akan gunakan cuti hari raya ini untuk fokus pada persiapan majlis kami nanti,” katanya penuh teruja.

Majlis pertunangan Erin dan Farriz telah dijalankan di rumah ibunya, Harryazah Hassan yang terletak di Duta Suria Residency, Ampang pada Jun lalu.

Tak takut kahwin muda

Mengulas lebih lanjut isu ‘kahwin muda’ yang sering diutarakan kepadanya, Erin menjawab tidak mahu membuang masa dalam percintaan yang tidak serius.

“Bagi saya, perhubungan yang tidak ada hala tuju adalah perkara yang hanya akan membuang masa. Lebih baik saya tumpu pada kerja dan keluarga.

“Jadi, memang saya bersedia berkahwin dengan orang yang betul-betul serius dengan perhubungan dan rancang untuk masa depan bersama.

“Saya tidak nampak kahwin muda tu satu masalah, asalkan tak mengganggu karier dan apa yang saya nak buat dalam hidup,” ujarnya

Tidak gusar atas rezeki sebagai selebriti terjejas selepas kahwin, Erin berserah kepada Tuhan dalam menentukan hal tersebut.

Kumpul duit raya

Bercerita mengenai sambutan hari rayanya, Erin cuba memanfaatkan masanya bersama keluarga.

“Memandangkan tahun ini adalah kali terakhir saya beraya sebagai seorang yang berstatus single, jadi saya luangkan seberapa banyak masa yang ada bersama keluarga.

“Tambahan pula Farriz beraya di kampungnya di Kelantan, jadi masa saya banyak dengan keluarga.

“Paling penting, tahun ini saya cuba kumpul duit raya banyak-banyak sebab tahun depan sudah tidak layak,” katanya berseloroh.

Tambah Erin lagi, sambutan Syawal kali ini juga bermakna buat dirinya sebagai tunangan orang.

“Sebenarnya bukan hari raya sahaja, tapi sambutan Ramadan juga begitu bermakna buat saya.

“Sejak awal Ramadan lagi saya sudah fokus kepada keluarga ke dua belah pihak. Kami berbuka puasa secara bergilir-gilir sebagai persediaan awal mengenali dan merapatkan lagi hubungan kekeluargaan.

“Pada masa yang sama, waktu itu juga saya gunakan untuk belajar memasak untuk persediaan saya sebelum bergelar isteri, tambahan pula Farriz suka makan di rumah,” kongsinya.


Previous Post Next Post