RAMAI orang beranggapan hantu itu sesuatu yang realistik atau sesuatu yang benar-benar wujud, sedangkan tidak ada satu sebutan pun berkaitan dengan hantu di dalam kitab suci al-Quran.
Namun kita diberi petunjuk di dalam al-Quran tentang jahatnya pengaruh iblis, syaitan dan jin. Kita juga diberitahu yang makhluk-makhluk itu boleh menyerupai apa sahaja untuk menyesatkan umat manusia terutama jin kafir.
Atas kesedaran untuk memberi didikan kepada penonton, Pierre Andre menerusi filem terbarunya, Jin, menterjemahkan rasa ketakutan yang sebenar.
Menerusi filem yang dijayakan oleh Zul Ariffin, Mon Ryanti, Zarynn Min, Harun Salim Bachik, dan Imam Muda Naufal, Pierre membawa untuk menyingkap semula gangguan-gangguan yang pernah dialami oleh orang lain sebelum ini yang sering kali dikaitkan dengan hantu dan sebagainya.
Secara ringkasnya, Jin adalah sebuah filem seram klasik yang menceritakan perjalanan sepasang suami isteri muda yang bernama Syafiq dan Lily. Syafiq yang berlatarbelakangkan seorang peniaga berusaha untuk meningkatkan taraf hidup keluarganya dengan membeli sebuah rumah agam untuk isterinya yang tercinta.
Melihat rumah yang begitu besar dan cantik membuatkan Lily jatuh cinta dengan rumah tersebut. Namun apa yang mereka tidak tahu adalah sejarah yang terdapat pada rumah itu.
Rumah yang pernah bertukar milik beberapa kali itu menyimpan beberapa cerita dan gangguan yang serius. Pada peringkat awal mereka tidak merasakan apa-apa ketika mendiami rumah itu sehinggalah beberapa siri gangguan kecil yang terjadi kepada Lily.
Namun, disebabkan mereka berdua merupakan orang bandar dan kurang mempercayai perkara ghaib mereka terus menolak teori tersebut. Lily hanya menyangka ia adalah gangguan dari haiwan dari hutan berdekatan.
Bagaimanapun setelah beberapa kali Lily diganggu, dia mula memberi perhatian terhadap gangguan tersebut. Lily cuba untuk memberitahu Syafiq, namun suaminya berkeras tidak mahu mempercayai perkara-perkara yang tiada unsur logik akal.
Keadaan menjadi lebih teruk apabila Tok Wan, nenek kepada Lily yang sudah nyanyuk tinggal bersama-sama mereka. Gangguan menjadi semakin keras, Syafiq juga kerap diganggu oleh makhluk yang cuba memasuki badan Tok Wan.
Sehinggalah pada satu malam apabila Syafiq mendapat panggilan yang mengatakan salah sebuah kedainya terbakar dan dia terpaksa meninggalkan isterinya di rumah bersama Tok Wan yang ketika itu sudah dalam rasukan jin cuma mereka sahaja tidak mengetahui.
Penuh kejutan, debaran
Secara keseluruhan, apa yang penulis boleh simpulkan mengenai filem ini adalah sebuah kelainan daripada Pierre. Apatah lagi, Pierre sebelum ini memang terkenal dengan filem-filem seram yang sudah menjadi 'makanannya'.
Ini kerana, berbeza dengan filem seram lain, Pierre tidak mempamerkan wajah-wajah yang menakutkan secara kerap sebaliknya lebih fokus kepada gangguan dan membuatkan penonton tertanya-tanya, siapa yang mengganggu? Apakah entiti yang mengganggu itu?
Perjalanan cerita biarpun secara straight forward, namun masih mampu memberi kejutan kepada penonton dengan bantuan kesan bunyi yang cukup baik.
Selain itu, permainan pencahayaan yang suram memberikan mood seram kepada penonton sekali gus menyuntik debaran dalam menanti apa yang akan berlaku seterusnya.
Gandingan pertama kali
Selain itu, antara lain yang memberi satu nafas baharu kepada karya Pierre kali ini adalah gandingan pertama kali, Zul Ariffin bersama Mon Ryanti.
Membawakan watak sebagai suami isteri, kedua-dua mereka kelihatan serasi bersama biarpun tidak pernah bekerjasama sebelum ini.
Tiada kejutan dalam lakonan kedua-dua pelakon ini, namun buat Mon, tatkala watak memerlukan dia membawa rasa ketakutan, Mon berjaya melakukannya dengan baik.
Bahkan dengan kekusutan dirinya yang sering kali diganggu membuatkan penonton akan turut sama terasa.
Justeru bagi merasai sendiri ketakutan dan kejutan serta jawapan mengenai apakah yang terjadi pada Lily dan Tok Wan? Dapatkah Syafiq menyelamatkan keluarganya dan rumahnya itu dari gangguan jin? Mengapakah makhluk tersebut mahu mengganggu mereka di situ ?
Jangan lupa menyaksikan filem ini di pawagam berdekatan.