
IBU muda ini mengakui tidak pernah menduga bergelar ibu dalam usianya yang masih muda. Baginya, usia 25 tahun adalah angka yang masih awal untuk menimang cahaya mata.
Bintang Papadom ini bagaimanapun memberitahu teruja dengan kelahiran puteri sulungnya yang diberi nama Sofia Arissa, 3 bulan.
Bahkan dia tidak pernah menolak ketentuan daripada ALLAH SWT yang membuka hatinya untuk berkahwin pada usia muda kerana kehidupannya kini cukup bahagia dan sempurna di samping suami serta anak tercinta.
Ditemui di majlis akikah Sofia Arissa dan rumah terbuka di kediaman mertuanya di Kemensah Height baru-baru ini, pelakon yang dikenali sebagai Liyana Jasmay ini sempat berkongsi pengalamannya sebagai seorang ibu.
Meskipun masih kekok namun, menjadi ibu mengajarnya lebih matang berbeza di zaman solonya dahulu. Akui isteri kepada Fathuddin Mazlan ini segala-galanya demi Sofia Arissa.
Serik berjauhan
Usia anaknya yang baru sahaja mencecah 3 bulan antara sebab mengapa Liyana Jasmay mengambil keputusan untuk mengurangkan aktiviti lakonan dalam tempoh tertentu.
Katanya, pengalaman meninggalkan anak selama seminggu kerana menjalani penggambaran di Krabi, Thailand baru-baru ini membuatkan dia serik berjauhan dengan Sofia.
“Saya ke sana untuk pembikinan drama Hatiku di Krabi. Sebenarnya saya menerima tawaran ini ketika saya sedang mengandung enam bulan.
“Mula-mula saya fikir semuanya akan baik, tetapi selepas bersalin segalanya berubah.
“Masa penggambaran memang hati saya tidak keruan dan asyik teringatkan Sofia sahaja,” katanya drama terbitan syarikatnya, Mermaid Studios itu akan disiarkan di TV9 September nanti.
Akui pelakon filem Histeria ini, dia perlu lebih bijak menerima sebarang tawaran lakonan daripada mana-mana produksi buat masa sekarang.
“Saya tidak mahu menyusahkan orang lain kerana tidak mampu memberi komitmen kepada mereka.
“Jadi lebih baik saya tolak awal-awal sebelum perkara tidak diingini berlaku, lagipun masa saya sekarang lebih banyak untuk Sofia berbanding perkara lain,” ujarnya.
Tambah Liyana, kesan pengalaman itu, dia nekad tidak mahu meninggalkan Sofia dalam tempoh yang lama.
“Tidak kiralah penggambaran dalam atau luar negara, jika mengambil waktu yang lama, saya tidak akan menerimanya.
“Rasanya paling lama pun dalam tempoh 12 jam sahaja,” katanya merasakan perubahan besar kepada dirinya sejak menjadi ibu.
Impi keluarga besar
Tidak lokek berkongsi sisi peribadinya sebagai ibu, Liyana memberitahu buat masa sekarang dia masih belajar menjadi ibu yang sempurna buat anaknya itu.
“Nasib baiklah ada kakak, mak dan wan. Merekalah yang membantu saya menjaga Sofia.
“Sampai sekarang pun kalau dengar Sofia menangis, saya akan menjerit memanggil mereka,” katanya ketawa.
Bercerita mengenai kerenah anaknya, akui Liyana, Sofia hanya akan minum susu botol sekiranya dia tiada.
“Kalau dia tahu saya ada bersama, memang dia akan menolak minum susu botol. Pernah bila saya bagi dia susu botol, dia pandang saya.
Mula-mula memang dia minum tetapi sekejap sahaja,” ceritanya.
Dalam pada itu, Liyana memberitahu dia mengimpikan keluarga yang besar.
“Saya dan suami memang nak anak ramai, lagipun keluarga kami suka anak ramai.
“Mak pun pernah cakap dia mahukan 16 cucu dan kami sendiri tidak kisah selagi diberikan rezeki oleh ALLAH SWT.
“Apa pun, anak ini rezeki, jika ada, adalah dan jika tidak kami terima sahaja,” katanya tidak kisah jika Sofia mendapat adik dalam masa terdekat.
Jadi anak solehah
Bercerita mengenai perancangan untuk anaknya, akui Liyana, semuanya masih terlalu awal.
“Sofia masih kecil, saya dan suami masih belum memikirnya perancangan tertentu untuknya.
“Apa yang kami harapkan dia menjadi anak solehah dan menyenangkan ibu bapa sudah cukup.
“Kalau daripada segi pendidikan, pekerjaan dan lain-lain tu, rasanya masih jauh,” katanya tidak kisah jika anaknya mengikut jejak langkahnya suatu hari nanti.
Selain itu, Liyana memberitahu, dia juga menerima tawaran komersial bersama anaknya.
“Memang dah ada beberapa pihak yang hubungi saya, tetapi masa tu Sofia masih kecil.
“Saya tidak kisah selagi komersial tersebut melibatkan anak dan saya sendiri,” katanya tiada halangan mendedahkan anak kepada industri sejak kecil.
Dalam pada itu, Liyana menolak kemungkinan dia akan berhenti berlakon buat masa terdekat. Menurutnya, buat masa sekarang dia masih belum terfikir ke arah itu.
“Saya hanya akan mengurangkan aktiviti lakonan dan bukan berhenti terus. Kalau adapun, mungkin saya akan lebihkan untuk kerja di belakang tabir dan fokus kepada syarikat saya sendiri,” katanya perkara itu hanya dilakukan jika usianya sudah menginjak ke angka 30 tahun.
Sedikit perkembangan terbarunya, Liyana akan muncul dengan filem Isyarat Cinta serta Sindiket tahun hadapan dan bakal melancarkan album pertamanya.