Suasana raya tiga ternama Hisyam Hamid, Hanis Zalikha, Nelydia Senrose



TANPA kehadiran kaum keluarga dan sanak saudara, sambutan Aidilfitri pasti tidak bermakna. Itu ungkapan yang sering kita dengar mengenai pengertian Aidilfitri saban tahun.

Namun, bagi Hisyam Hamid, Nelydia Senrose dan Hanis Zalikha, ketibaan Syawal amat bermakna lebih-lebih lagi apabila ia dapat disambut dengan keluarga tercinta.

Berkesempatan mewawancara tiga figura itu menerusi sebuah sesi fotografi yang diaturkan khas oleh HBO Asia di Hotel Le Meridien, Kuala Lumpur baru-baru ini, ketiga-tiga pelakon tersebut ternyata begitu teruja berkongsi cerita mengenai kisah hari raya masing-masing.

Walaupun terpampang riak penat pada wajah mereka, namun keceriaan sebaliknya jelas terpancar dan senyuman terus terukir tatkala bicara mula membutirkan tentang pengalaman menyambut hari raya bersama keluarga dan sanak saudara.

Pengorbanan Hisyam Hamid

Selepas namanya dikenali menerusi drama bersiri Ariana Rose, perjalanan karier Hisyam Hamid, 29, di Malaysia dilihat semakin rancak.

Akui aktor kelahiran Singapura ini, atas kesibukan itu, dia terpaksa menyerahkan tanggungjawab untuk mempersiapkan anak-anaknya bersempena kedatangan Syawal seratus peratus kepada isterinya.

"Sejujurnya, saya agak lewat memulakan persiapan untuk Aidilfitri tahun ini. Maklumlah, ini merupakan kali pertama saya bekerja di Malaysia pada bulan Ramadan.

"Jadi, segala persiapan raya anak-anak, saya telah serahkan kepada isteri yang kerap berulang-alik dari Kuala Lumpur ke Singapura. Lagipun, sebelum saya sibuk di sini, dia jugalah yang mengambil tanggungjawab itu," lancar bibirnya mengukir kata ketika ditanya mengenai persiapannya sekeluarga saat menjelang raya.

Tambah Hisyam, impak jadual lakonan yang agak padat, dia telah memulakan kerja pada hari raya keempat lalu dan terbang ke Krabi, Thailand bagi memenuhi tuntutan penggambaran di sana.

"Tahun ini agak sibuk. Selalunya saya, isteri dan anak-anak akan berbuka bersama setiap kali tibanya bulan Ramadan. Namun pada tahun ini, saya berpeluang untuk berbuka bersama mereka pada awal dan akhir Ramadan sahaja.


HISYAM kini berada di Krabi, Thailand atas urusan kerjaya lakonannya.

"Kemudian, pada Syawal keempat saya akan terbang ke Krabi, Thailand bagi memulakan penggambaran sebuah telemovie di sana," tuturnya.

Hisyam berpendapat, walaupun tahun ini masa yang diluangkan ketika bulan Ramadan dan Syawal bersama keluarga adalah sangat terhad, namun dia menganggap bahawa ia hanyalah sebagai salah satu pengorbanan daripadanya untuk mengejar cita-cita.

"Nak cakap sedih pun ya. Sebab saya sudah terbiasa meluangkan masa bersama keluarga. Apabila kurang masa bersama, perasaan itu akan jadi lain sedikit. Namun, ini merupakan pengorbanan saya untuk capai cita-cita. Insya-Allah, semuanya akan baik-baik pada kemudian hari," ujarnya ikhlas.

Ketika ditanya mengenai sambutan hari raya di Singapura, Hisyam berkata, suasana di sana sangat meriah, cukup berbeza jika dibandingkan di sini.

"Di Singapura, 30 hari dalam bulan Syawal itu diperuntukkan untuk menziarahi sanak saudara. Jadi, walaupun pada penghujung bulan, perasaan untuk berhari raya itu masih ada," ujar Hisyam yang kurang gemar melancong ke luar negara pada bulan Syawal.

Kekuatan raya Nelydia

Pelakon tinggi lampai ini ada sebab tersendiri mengapa dia tidak mempunyai rasa untuk pulang ke kampung sempena kedatangan Syawal pada tahun ini. Selepas neneknya meninggal dunia, Nelydia Senrose, 20, menjelaskan, keinginannya untuk berhari raya di Kota Bharu, Kelantan semakin memudar.

"Nenek saya baru sahaja meninggal tahun lepas. Kekuatan saya untuk pulang ke Kelantan adalah kerana nenek saya. Jadi, apabila dia telah pergi menemui Ilahi, saya tidak mempunyai sebab untuk teruja pulang ke kampung," tutur- nya membuka bicara.

Begitupun, jelas pelakon yang mula mengorak langkah menerusi drama bersiri Spa Q ini, dia tetap akan pulang ke Kelantan bagi menziarahi sanak saudara yang masih menetap di situ.

"Walaupun perasaan teruja untuk pulang itu semakin menipis, tetapi saya akan pulang untuk bertemu dengan kaum keluarga yang lain. Setelah sibuk bekerja selama setahun, ini merupa- kan masa yang terbaik untuk bertanya khabar sesama sendiri," ujarnya.

Bercakap mengenai persiapan, Nelydia mengakui, dia lebih gemar membeli keperluan hari rayanya pada saat-saat akhir. Selain disebabkan faktor kekangan masa, adik kepada pelakon Uqasha Senrose ini mengakui bimbang, jika ukuran badannya tidak sama apabila dia membeli baju terlalu awal.

"Selain sibuk dengan penggambaran, saya juga risau apabila membeli baju raya terlalu awal. Tubuh saya ini senang kecil dan senang besar. Justeru, lebih baik beli pada saat akhir," ujarnya sambil tersenyum.

Melanjutkan bicara tentang juadah yang bakal dihidangkan pada pagi raya, Nelydia memberitahu, ibunya yang akan bertungkus lumus menyediakan setiap lauk dan juadah sehari sebelum tibanya Syawal.

Katanya, antara juadah yang sering dihidangkan pada pagi raya termasuklah rendang, lemang dan beberapa jenis lauk-pauk lain.

"Mama yang akan masak setiap hidangan. Jika mama ada kelapangan, dia akan membuat sedikit kuih raya," ujar Nely- dia yang akan menghabiskan masa selama seminggu bersama keluarga sebelum kembali ke lokasi penggambaran.


HANIS dan Nelydia berkongsi keterujaan masing-masing dalam menyambut Aidilfitri.

Mentong cara Hanis

"Hari raya pertama kami sibuk menerima tetamu yang datang. Pada hari raya kedua pula kami akan panaskan lauk yang berbaki dan mentong beramai-ramai sambil menonton televisyen. Tahu apakah maksud mentong?" tanya Hanis Zalikha, 24, ketika dia bercerita tentang rutin hari rayanya.

Ujar penulis blog selebriti yang kini telah bergelar pengacara dan pelakon itu, mentong merupakan dialek Jawa yang membawa maksud makan berulang kali walaupun sudah berasa kenyang. Jelasnya, itu merupakan aktivitinya sekeluarga pada hari raya kedua setiap kali menjelang hari lebaran.

"Setelah puas mentong pada hari raya kedua, barulah kami akan berjalan menziarahi keluarga pada hari raya ketiga," beritahunya.

Menurut Hanis, antara masakan ibunya yang paling digemari adalah ayam masak merah. Tutur Hanis, bukan dia sahaja yang gemar kepada masakan itu, malah sanak saudara dan sahabat handai yang datang ke rumahnya juga akan mencari ayam masak merah hasil air tangan ibunya.

"Setiap tahun, itulah masakan yang dicari oleh saudara dan teman-teman yang datang ke rumah. Ayam masak merah ibu saya sangat digemari," katanya yang turut menggemari masakan lain seperti rendang daging, rendang ayam dan kuah lodeh.

Selain meriah dengan kedatangan sanak saudara, Hanis turut berkongsi tentang kegemaran bapanya mengacau dodol di belakang rumah mereka yang terletak di Bukit Jelutong, Shah Alam.

"Mengacau dodol di tengah-tengah bandar. Ia mungkin kedengaran agak pelik tapi itulah yang sering dilakukan oleh bapa saya. Dengan kuali yang besar dan unggun api yang dinyalakan menggunakan kayu, kami sekeluarga bergotong-royong mengacau dodol," tuturnya.

Namun bagi Hanis, kedatangan Aidilfitri membawa makna yang cukup besar buatnya.

Kata pelakon itu: "Ai- dilfitri membawa pe- ngertian yang sangat besar dan menerusi pel- bagai cara.

"Selain meraikan hari kemenangan setelah penat menahan nafsu selama sebulan, Aidilfitri juga dapat mengeratkan lagi hubungan silaturrahim sesama sendiri."


Previous Post Next Post