Zed Zaidi
KEMELUT dalaman yang melanda Persatuan Seniman Malaysia akhirnya memberi tamparan hebat buat ahli-ahli mereka.
Setelah melalui pelbagai proses dan 'naik turun' mahkamah pada hujung tahun lalu, akhirnya Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) Seniman ke 14, diputuskan terbatal dan tidak sah.
Keputusan mahkamah ketika itu sekali gus membawa kepada pengguguran jawatan Ahli Jawatankuasa (AJK) Seniman termasuk Presidennya, Rozaidi Jamil atau lebih dikenali sebagai Zed Zaidi.
Segala usaha Zed dalam memastikan Seniman sebagai persatuan tertua yang ditubuhkan pada 1 Januari 1974, bertindak memayungi kebajikan artis tempatan akhirnya terhenti di situ sahaja.
Walaupun persatuan ini masih wujud, namun kepincangan serta pengguguran AJK menjadikan Seniman seakan tidak 'bernyawa' lagi.
Segala aktiviti dan pengurusan persatuan itu lumpuh sehinggakan mereka terpaksa melepaskan pekerja dan gagal menyalurkan sumbangan kerana kewangan persatuan dibekukan.
Di saat itu, ramai dalam kalangan ahli mula merasa tempiasnya apabila mereka terpaksa berdepan dengan kesukaran untuk mendapatkan tawaran lakonan, isu pembayaran produksi dan ahli yang memerlukan sumbangan.
Apatah lagi, individu yang selama ini melahirkan rasa untuk menyelamatkan Seniman mula menjauhkan diri dan diam seribu bahasa.
Malah, bermula 21 November lalu, pengurusan Seniman diambil alih oleh Pendaftar Pertubuhan (ROS), dalam masa dua bulan.
Namun, dalam tempoh itu, ROS gagal melaksanakan AGM 14 kerana ianya di luar bidang kuasa ROS.
Namun, hasil perbincangan bersama AGM 14 bakal dilaksanakan tidak lama lagi. Kita ikuti temu bual khas bersama bekas Presidennya, Zed Zaidi mengenai penganjuran kali ini.
Bilakah AGM 14 bakal dilaksanakan?
Insya-ALLAH, kalau tiada aral, Seniman bakal mengadakan AGM 14 pada 27 September depan. AGM 14 bakal dikendalikan oleh bekas Presiden Seniman terdahulu, Harun Salim Bachik.
Dalam mesyuarat ini, kami akan mengikuti segala syarat-syarat yang telah dipersetujui bersama dan ditetapkan ROS.
Adakah anda tidak terlibat dalam AGM 14?
ROS mengesahkan bahawa AGM 14 akan diketuai oleh Harun Salim Bachik. Pun begitu, saya kemungkinan terlibat kerana ketika pimpinan Harun, saya merupakan Timbalan Presiden Seniman. Selain itu, beberapa AJK terdahulu juga akan turut terlibat.
Di manakah lokasi pilihan AGM 14 kali ini?
Kami masih belum memilih lokasi sebenar, namun kemungkinan besar ianya akan diadakan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) atau di Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas).
Namun, banyak perkara lagi yang masih belum diuarkan termasuk pemberitahuan kepada ahli-ahli. Mungkin sedikit masa lagi, Harun akan memaklumkannya secara umum.
Bagaimana pula mengenai ura-ura AGM 14 bakal diadakan oleh Persatuan Kebajikan Artis-Artis Pelapis (Perkap)?
Saya tidak tahu mengenai perkara itu dan menganggap ia hanya khabar angin sahaja. Ini kerana kami akan mengadakan sendiri AGM 14. Lagipun, Perkap mempunyai objektif sendiri dalam persatuan mereka.
Jadi, biarlah kami sebagai ahli dan AJK yang menguruskannya sendiri.
Adakah anda yakin bahawa AGM 14 kali ini berjalan dengan lancar tanpa masalah berbangkit?
Saya tidak boleh meletakkan AGM 14 sebagai satu mesyuarat yang diyakini akan berjalan dengan lancar. Namun, kami sebagai AJK akan membuat sehabis baik untuk mesyuarat kali ini mengikut syarat-syarat yang ditetapkan.
Sekiranya tiada 'pengacau', ianya akan berjalan dengan lancar. Namun, ada beberapa perkara yang merumitkan keadaan ketika ini.
Saya dapati, hampir separuh daripada ahli Seniman telah dinafikan hak mengundi dalam konflik terdahulu. Antara nama-nama besar yang mana tidak dapat mengundi termasuk pelakon Rita Rudaini, Syarifah Amani dan Nadia Mustafa.
Mungkin kerana keahlian mereka tidak dikemas kini pada era pimpinan terdahulu.
Siapakah yang mula menyuarakan keahlian ini?
Perkara ini telah dikemukakan pelakon veteran, Abu Bakar Omar, sebelum ini, malah penafian ahli ini turut melibatkan saya. Namun, saya juga bersiap sedia sekiranya nama saya disahkan tiada dalam senarai keahlian.
Siapa sahaja yang dipilih, ia adalah yang terbaik untuk persatuan dan ahli-ahli.
Bagaimana pula dengan bajet untuk penganjuran? Adakah ianya menerusi dana persatuan?
Saya sendiri tidak tahu mengenai perkara itu namun kemungkinan besar, kami semua perlu mengeluarkan duit sendiri untuk menampung perbelanjaan kerana dana persatuan masih dibekukan.
Setelah itu, barulah kami akan membuat tuntutan menerusi dana persatuan. Namun, saya berpendapat, lagi elok sekiranya Abu Bakar Omar yang mengeluarkan perbelanjaan yang lebih besar kerana semua ini berpunca daripada langkahnya.
Jika benar dia sayangkan persatuan, dia perlu berkorban.
Apa pandangan anda mengenai individu yang ingin bertanding untuk jawatan Presiden hanya untuk tempoh yang singkat?
Saya tidak memandang perkara itu sebagai perjuangan dalam persatuan namun lebih kepada kepentingan peribadi.
Setiap tiga tahun, pemilihan akan diadakan dan dalam tempoh itu, kita perlu membuktikan kemampuan kita untuk menguruskan persatuan ke arah yang lebih baik.
Bukan untuk tujuan tertentu tanpa memberi apa-apa kejayaan kepada persatuan. Apa tujuan menjadi presiden sekejap sahaja? Untuk platform ke peringkat yang lebih tinggi? Tolonglah jangan jadikan persatuan sebagai batu loncatan. Masih banyak perkara yang perlu dilakukan dalam membantu ahli-ahli.
Akhir sekali, adakah anda yakin akan meraih sokongan daripada ahli untuk mendapatkan semula jawatan terdahulu?
Saya tidak meletakkan harapan terlalu tinggi kerana ianya melalui proses pemilihan daripada ahli. Namun, hampir separuh ahli Seniman telah dibatalkan keahlian, malah sebahagian besar daripada mereka adalah penyokong saya.
Saya tiada masalah dalam hal ini, namun saya sedikit terkilan. Dalam kes saya, saya hanya diberikan peluang untuk setahun setengah sahaja.
Walaupun ada beberapa perkara telah berjaya, namun ada lagi isu yang masih belum diselesaikan termasuk permohonan kediaman, insurans, kad diskaun dan royalti kepada ahli.
Kalau boleh, saya ingin usul-usul yang telah saya bentangkan itu berjaya dan dapat dinikmati ahli persatuan. Saya lakukan bukan untuk diri saya sendiri, namun atas dasar persatuan. Saya tidak kisah kalah atau menang, yang penting ianya berjalan dengan baik dan tiada unsur-unsur jahat.