Awie, Maya berselimut emosi SuperMokh


KEGUSARAN Awie membawakan watak Mokhtar sehingga terbawa-bawa ke mimpi.

SELEPAS pementasan teater SuperMokh Sebuah Muzikal pertama yang dilakukan pada November tahun lalu, Panggung Sari, Istana Budaya, Kuala Lumpur Isnin lalu bergema sekali lagi.

Berdiri atas nama SuperMokh Sebuah Muzikal Restaging (SSMR), pihak produksi masih mengekalkan barisan pelakonnya, Awie dan Maya Karin sebagai tonggak utama.

Begitu juga dengan jalan cerita yang diketengahkan. Tidak jauh bezanya jika ingin dibandingkan dengan edisi sulung sebelum ini.






Cuma pada pementasan kali ini, plot yang digarap dalam tempoh durasi selama kira-kira dua jam itu dilihat tampil lebih kemas dan tidak meleret-leret.

Pembukaan pentas yang dimulakan dengan pembentangan latar sejarah Allahyarham Datuk Mokhtar Dahari secara ringkas, sedikit sebanyak membantu membawa penonton menyelusuri profil legenda bola sepak negara itu.

Pada saat emosi dibawa menjengah ke dalam kehidupan lampau SuperMokh, pihak produksi dilihat bijak bermain dengan latar props yang berjaya membawa penonton mengimbau kembali zaman kegemilangan bintang bola sepak itu.

Sebagai contoh, penggunaan layar skrin besar dan replika stadium yang menggambarkan suasana sebenar sewaktu perlawanan bersejarah pasukan bola sepak kebangsaan yang berjaya menewaskan Korea Selatan pada Pesta Bola Merdeka sekitar tahun 1970-an benar-benar memberi imbauan nostalgia.

Mengajak penonton melayari kembali momen-momen penting dalam sejarah hidup Mokhtar, jalan cerita yang dipacu oleh dua pengarah berbakat, Hans Isaac dan Harith Iskander itu juga sarat dengan turun naik emosi.

Dalam memberikan fakta kisah pengorbanan diri yang dilakukan Mokhtar terhadap arena bola sepak negara secara total, persembahan turut diselang-selikan dengan gerakan lincah daripada barisan penari yang membuatkan jalan cerita tampak lebih bertenaga.

Di pentas sama juga, dirungkai sisi hidup Mokhtar yang selama ini mungkin tidak diketahui umum.

Dirumus daripada sudut pandangan isteri tercintanya, Datin Tengku Zarina Tengku Ibrahim, penonton disajikan dengan babak romantis yang ada pada diri legenda sukan tersohor itu.


MAYA menyanyikan empat buah lagu pada persembahan teater kali ini.

Bukan itu sahaja, pergolakan emosi yang pernah dihadapi bekas penyerang jersi nombor 10 negara itu selepas membuat keputusan untuk mengundurkan diri daripada sukan bola sepak juga diterjemah dengan baik.

Ketika itulah bermulanya segala inti pati elemen yang cuba diketengahkan keluar satu demi satu. Unsur kekeluargaan, kecintaan, pengorbanan dan juga semangat setiakawan diadun sebati.

Hans lakukan penambahbaikan

Bagi mengelakkan jalan cerita yang mendatar, Hans dan Harith mengekalkan strategi yang sama dengan memasukkan telatah lucu Kenny lakonan aktor Douglas Lim.

Lawak selamba yang dilakukan benar-benar membuatkan panggung teater riuh dengan tawa penonton.

"Kita tidak mahu penonton disajikan dengan sebuah persembahan yang terlalu serius. Atas sebab itulah, kami menyelitkan sedikit unsur-unsur jenaka untuk menghiburkan penonton.

"Sungguh pun begitu, makna yang cuba ingin disampaikan itu masih ada. Ia juga sekurang-kurangnya dapat mengelak daripada keseluruhan jalan cerita itu menjadi mendatar," ujar Hans selaku pengarah merangkap penerbit teater tersebut.

Bukan itu sahaja, pada persembahan kali ini, Hans turut memberikan beberapa bonus elemen lain berbanding persembahan pada tahun lalu sebagai usaha penambahbaikan.

"Perkara yang selalu menjadi pertanyaan orang ramai adalah perbezaan. Apa yang saya boleh kongsikan, pada pementasan kali ini ada sedikit kelainan yang cuba kami tonjolkan kepada penonton.

"Sebagai contoh, persembahan pemancar cahaya diod (LED) dipanjangkan sedikit selama hampir 90 saat dan terdapat beberapa tambahan lagu lain yang dibawa masuk," katanya.

Pada persembahan kali ini, menurut Hans, dia lebih memberi penekanan kepada permainan emosi.

"SuperMokh ini lebih sarat dengan emosi. Kita tekankan dari segi penghayatan dan bahasa tubuh supaya mesej yang ingin disampaikan itu dapat diterima penonton," katanya.


PENAMPILAN Dina memberikan unsur humor dalam pementasan teater Supermokh.

Awie mimpi Mokhtar

Apa yang pasti, lakonan Awie membawakan watak sebagai Mokhtar patut diberi pujian.

Biarpun persembahan itu bukan yang pertama kali, bagi Awie ia tetap memberikan cabaran lain daripada sudut berbeza.

Lebih-lebih lagi, dalam usahanya untuk mengekalkan momentum dalam membawakan watak utama.

"Kali ini ada sedikit penambahan dari segi karakter diri saya. Saya perlu menjadi seorang yang lebih manja dan romantik kerana itu sebenarnya diri Allahyarham," kongsinya.

Cerita Awie, kegusaran untuk membawakan watak utama itu membuatkan dia terbawa-bawa hingga ke dalam mimpi.

"Saya sampai termimpikan arwah. Apa yang saya ingat dalam mimpi itu dia bercakap dalam bahasa Inggeris kepada saya.

"Apabila saya rujuk kepada isterinya, memang Datin beritahu yang jika di rumah, arwah berkomunikasi menggunakan bahasa Inggeris. Memang itu menggambarkan diri Mokhtar," kongsinya.




Maya Karin tertekan

Berbeza pula dengan Maya Karin yang membawakan watak isteri Mokhtar. Katanya, persembahan pada kali ini membuatkan dia sedikit berada dalam keadaan tertekan.

"Saya diberikan lagu baharu empat hari sebelum pementasan bermula. Bayangkan saya kena menghafal dan mempraktikkan lagu itu dalam masa singkat. Memang buat saya terkejut pada mulanya.

"Apa pun, saya bersyukur kerana semuanya berjalan lancar," katanya yang banyak membuat rujukan dengan tuan empunya badan, Datin Tengku Zarina bagi menghayati karakter tersebut.

Teater muzikal yang dipentaskan bermula 8 September hingga 21 September itu turut menampilkan pelakon Rashidi Ishak, Dina Nazir, Douglas Lim, Phoon Chi Ho, Oliver Johanan dan Clarence Kuna.
Previous Post Next Post