Lala, Jangan manipulasi kenyataan saya



LALA bakal membintangi drama Hanya Satu yang akan disiarkan di portal Tonton bermula 15 September ini.

BERGENANG air mata pemilik nama Wan Sharmila Wan Muhamed ketika ditanya tentang dakwaan kononnya dia bakal mendirikan rumah tangga pada bulan ini.

Bagaimanapun, pelakon yang lebih mesra disapa sebagai Lala itu tidak pula mengiya atau menidakkan desas-desus tersebut.






"Saya lebih selesa berdiam diri daripada dikaitkan dengan sesiapa buat masa ini," katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran drama siri original Tonton berjudul Hanya Satu di Empire Shopping Gallery, Subang, Selangor baru-baru ini.

Meskipun tidak memberikan sebarang jawapan, cerita mengenai pelakon itu dirisik dan dikhabarkan bakal berkahwin dengan seorang juruterbang mewarnai dada-dada akhbar sejak akhir-akhir ini.

Tidak cepat melatah dengan cerita itu, Lala berkata, dia lebih selesa berdiam diri kerana enggan kenyataannya dimanipulasi oleh sesetengah pihak yang tidak bertanggungjawab.

"Berhubung gosip yang tersebar, saya tidak mahu memberikan sebarang kenyataan kerana bimbang kenyataan saya akan dimanipulasi. Lagipun, perkara peribadi ini melibatkan banyak pihak dan banyak hati yang perlu dijaga.

"Saya tidak pernah memberikan sebarang kenyataan mengenai hubungan cinta saya dengan sesiapa pun. Apatah lagi berita mengenai perkahwinan. Soal jodoh itu urusan Tuhan, jadi saya serahkan kepada Yang Maha Esa," luahnya.


LALA tidak mahu mengiya atau menidakkan desas-desus kononnya dia bakal mendirikan rumah tangga pada bulan ini.

Ditebak mengenai soal jodoh, Lala menegaskan, dia kini lebih selesa untuk fokus kepada kariernya sebagai pelakon bagi memberikan naskhah terbaik buat peminat.

"Buat masa ini saya sibuk mencari rezeki. Saya anggap ini harga yang perlu saya bayar apabila terjun dalam bidang lakonan.

"Saya yakin ada hikmah dengan setiap perkara yang terjadi. Saya tidak mahu mudah melenting tetapi perkara ini akan diingat sampai bila-bila sebagai pengalaman berharga sepanjang berada dalam industri seni," katanya.

Mengulas lanjut, pelakon dan pengacara itu mahu mengambil pendekatan untuk tidak berkongsi mengenai kisah peribadinya kepada umum.

"Bukan tidak mahu berkongsi tetapi khuatir jika perkongsian itu akan memberi kesan negatif kepada saya dan karier.

"Bagaimanapun, jika ada perkara yang boleh dikongsi, saya tidak keberatan untuk menceritakannya," kata Lala lagi.


Previous Post Next Post