Cinta baharu Nita


NITA bakal membuat kemunculan semula dalam bidang nyanyian menerusi single baharunya tidak lama lagi.

SEJAK dua tahun lalu, kelibat penyanyi Nita Hamzah tidak dilihat dalam banyak acara hiburan. Dia juga tidak muncul di media massa.

Perkembangan tentang penyanyi itu hanya dapat diketahui melalui Instagram miliknya.

Penyanyi kelahiran rancangan realiti TV, Malaysian Idol musim kedua itu sebenarnya menikmati kecintaan terhadap laut melalui aktiviti menyelam.

Mentakrif manisnya kehidupan sebagai penyelam tidak sama seperti menyanyi.






Kepuasan yang dikecapi bukan untuk seketika, tidak juga sekadar untuk dirakam sebagai tatapan kenangan ataupun membawa rajuk selepas percintaannya bersama Zahid Akademi Fantasia musim kedua (AF2) terkandas di tengah jalan, tetapi kerana minat mendalamnya pada dunia selam skuba.

"Saya sudah lama tidak muncul dalam acara hiburan atau media massa bukan disebabkan sudah berhenti menyanyi. Saya ambil pendekatan untuk mencuba sesuatu yang baharu. Tak sangka pula dunia selam skuba amat menarik, malahan membuatkan saya menghabiskan masa selama dua tahun mendalami minat tersebut," kata Nita membuka bicara saat pertemuan bersama Sensasi Bintang baru-baru ini.

Melalui minatnya dalam aktiviti selam skuba juga, wanita berusia 34 tahun itu memberitahu, dia kini memiliki lesen menyelam sebagai pembantu jurulatih menyelam di Pulau Tioman, Pahang dan Mabul, Sabah.

Bagaimanapun, minat wanita berzodiak Scorpio itu pada dunia selam skuba mula terhakis sedikit demi sedikit apabila rindunya terhadap dunia nyanyian kembali bertamu.

Sejak tahun lalu, Nita mengambil keputusan untuk menetap kembali ke Kuala Lumpur dan meneruskan kerjaya nyanyiannya.

Kekasih

Begitupun, timbul gosip nakal yang mengatakan Nita kembali ke Kuala Lumpur disebabkan seseorang yang dicintainya.

"Saya kembali bukan disebabkan kekasih. Selama dua tahun tinggal di pulau, saya ada berulang-alik ke Kuala Lumpur menjayakan persembahan korporat atau makan malam. Cuma, sejak tahun lepas, saya kembali menetap di Kuala Lumpur kerana ingin menghasilkan single terbaharu.


DUA tahun menyepikan diri, Nita sebenarnya menjadi pembantu jurulatih menyelam skuba di Pulau Tioman, Pahang dan Mabul, Sabah.

"Buat masa ini, saya masih lagi sedang mencari lagu dan komposer yang sesuai untuk kemunculan semula. Saya meminati muzik rock yang tidak terlalu berat, namun perlu melihat genre muzik yang diminati ketika ini sebelum menghasilkan single baharu," kata Nita yang pernah muncul menerusi album berjudul Nita pada tahun 2008.

Tanpa berselindung, Nita juga mengakui, hatinya kini sudah dimiliki oleh seorang jejaka biasa bernama Fareez sejak setengah tahun lalu.

Biarpun berbeza usia sebanyak 10 tahun, namun Nita menganggap Fareez seorang yang cukup matang daripada usia sebenarnya iaitu 26 tahun.

"Saya kenal dia (Fareez) melalui kawan baik. Dia kerja biasa sahaja. Saya tidak kisah dia kerja apa atau usianya lebih muda daripada saya.

"Apa yang penting, dia seorang yang kelakar, malah dia juga kelihatan lebih matang daripada saya," kongsinya yang belum ada perancangan untuk berkahwin dalam masa terdekat.




Kempen Pinktober 2014

Sempena menjayakan kempen Pinktober 2014, Nita juga bakal mengadakan persembahan bersama Dina Nadzir di Hard Rock Cafe Kuala Lumpur pada 19 Oktober depan.

Menganggap persembahannya sebagai mimpi menjadi nyata, Nita mengakui, dia sudah lama menyimpan impian untuk berduet bersama rakannya itu.

"Saya rasa sangat berbesar hati apabila dipanggil untuk menjayakan kempen ini bersama Dina. Sebabnya, saya tidak pernah berkongsi satu pentas dengan Dina walaupun kami adalah hasil daripada program realiti yang sama satu ketika dahulu. Selain itu, saya juga cukup teruja menjayakan persembahan di Hard Rock Cafe," jelasnya.

Mengulas lanjut, ujar Nita lagi, hasil jualan tiket persembahannya bersama Dina itu nanti akan disumbangkan kepada Majlis Kanser Malaysia.

"Selain persembahan nyanyian saya dan Dina, pada hari itu juga akan diadakan penjualan barangan cenderamata edisi khas kepada para pengunjung," ujarnya.

Tiket persembahan Nita dan Dina dijual pada harga RM60. Pembelian tiket boleh dibuat menerusi Mike Manicka di talian 016-268 8914.
Previous Post Next Post